Jurutrengkas

My photo
Menulis untuk memudahkan ingatan, biarpun tahu susah itu barulah 'hidup'.

Friday, 30 December 2011

Erti


Hidup ini tuntutnya adalah pengertian.

Dan semua kita tahu yang sekalian kita juga mahu sangat, untuk dimengerti dan difahami sepenuhnya dengan tulus jujur sekalian marhaen lain.

Sabarlah sahabatku.

Sedar yang satu ini.
Hidup akan lebih dihargai dan diambil tahu, jika kita sendiri yang ambil tahu dan hargai wujudnya kita sebagai manusia. Baru nanti, kemudiannya dipanjangkan itu untuk sekalian yang terpandang oleh kita-kita.

Insya’Allah; terbuka nanti pada kudus jiwa-jiwa insan lain untuk mendalami dan memahami hati kita yang satu ini.

Bila?
Ah, aku sendiri tak pernah tahu.
Ia diibaratkan seperti kematian. Bilanya kita tidak akan pernah mampu tahu, tapi datangnya itu sudah tentu diyakin pasti; kerana itu sendiri janji Illahi, dan janji-Nya tentu benar, kan?

Dan pasti, hidup akan lebih indah pada turut-turut waktu yang menyusul tiba.
Lebih indah dari yang pernah lubuk dalam jiwa pernah terlintaskan.

Percayalah untuk sekali ini!
Kerana itu yang aku yakin percayakan.
Barangkali.

*senyum*

Wednesday, 28 December 2011

Ber-Andai Pada Jadi


Hidup ini kan benar semuanya; pada sudut dan darjah yang pasti saja berbeda.

Andai di takdir 'dia' itu temunya pertama dalam kalimah cinta dan itu yang dijodohkan dari azali; dialah jodoh benar kamu.

Andai yang itu hanya satu singgahan manusia yang apa-apa dan buat sebaris dua kata gembira dalam seperenggan penuh muka surat sakit dan benci hati; dialah ajaran benar kamu tentang duga dan manusia; dan hati yang bukan mati.

Andai yang itu tak lebih dari mimpi indah yang bawa kamu melayang ke awan tinggi, dan sedar-sedar dia di panggil pulang oleh pemiliknya yang benar; benarlah, ada yang Maha Tinggi KasihNya dari apa yang kita mampu taruhkan.
dan
Andai yang itu tak lebih dari gemuruh rasa yang cukup-cukup dalam tapi hilang dari terjemahan bahasa yang bisa dihadam oleh pemahaman sidia; percayalah itulah kebenaran yang Maha Esa nyatakan pada 2:216.

Sesungguhnya, kita tidak benar mengetahui yang benar andai ilmu itu bukan dimilikan pada kita juga kan sahabat?

*senyum*

Friday, 23 December 2011

Bila cinta bertasbih; Bila-lah cintaku mahu bertasbih.

Dan apabila mereka digulung ombak yang besar gunung, mereka menyeru Allah dengan tulus ikhlas beragama kepada-Nya. Tetapi ketika Allah menyelamatkan mereka sampai di daratan, lalu sebahagian mereka tetap menempuh jalan yang lurus. Adapun yang mengingkari ayat-ayat Kami hanyalah pengkhianat yang tidak berterima kasih” – Surah Luqman ayat 32

Adakah kita hanya ada Tuhan Pencipta yang Maha Esa pada ketika kita di sudut susah kemanusian?

Apakah tauhid dan jihad kita itu lurusnya hanya pada ketika hati tiada siapa tempat berpaut selain dari-Nya?

Dan apabila bah musibah telah rebah; tiang-tiang iman dan dinding syukur pada Maha Esa rebah bertaut menurut. Dan insan tanpa syukur wujud seperti satu kelahiran semula.

Ada hati; fikir dengan ilmu Ketuhanan.

Subhanallah.

Wednesday, 14 December 2011

Permainan



Pada 'dunia' yang langkah kita diterbataskan kekunci atas, bawah, depan dan belakang, tentu saja fikir perlu berlari jauh dari 'hanya yang kelihatan'; untuk keluar dengan gema ketawa kepuasan seorang pemenang.

Dan yang tidak kelihatan itu 'helahnya' hanya diketahui oleh 'pengatucaranya' sahaja kan?.

Begitu juga dunia yang diatasnya kita berpijak ini.

Cumanya, kita ada lebih dari empat kekunci gerakan dan (pastinya juga) kita tiada butang 'restart' bagi setiap 'game over'.

'Token' permainan ini hanya ada satu.
'Pengatucaranya' juga hanya ada satu.

Tuesday, 13 December 2011

Kita ada kompas dan peta.


Dua petunjuk yang perlu kita baca. Tapi, marhaennya manusia, bacaan kita tak cukup benar tepat; sebab ilmu kita tak benar dalam darjahnya. Maka, tersesat lah hendaknya.

Maka, salah peta kah? Salah Kompas kah? Atau semata salah kita yang culas tafsiran?

Arakian,  kalau lah orang ‘ber’agama Islam itu semborono dalam amalannya, masih salah agama Islam itu kah?

*senyum*

Jangan kita nilai pada manusia yang ada padanya, kerana manusia itu sendiri setidak sempurna kita walaubagaimanapun. Maka, nilailah isinya seperti mana kita mahu dinilai isinya nanti-nanti.

Bukan begitu?

Atau komas itu tetap salah juga?

Monday, 12 December 2011

Ber-Jalan


Berjalan itu yang amannya dalam redup.
Ada sepoi-sepoi angin.
Sambil berucap sepatah dua dan tawa-tawa kecil sopan.

Tapi.
Dalam lumba jalan, bukan begitu.
Tak ada lain dari terus dan lurus dengan mata tajam.
Ada hala tuju jitu.

Oh.
Barangkali hidup begitu.
Nampak lebih manis kalau mampu santai dan seaman jalan-jalan manusia.
Tapi, sebenarnya ini satu perlumbaan.
Berjalan tapi masih harus laju.
Tuju jalan yang satu.
Trek-nya tak boleh sasar.
Harus yang itu, dan kekal itu.

Tapi.
Ada juga yang berlumba buta-buta.
Santai mencari pendedahan dari menang persembahan.
Tahu tentu kalah dari belum melangkah.
Alasan?
Diri tak mampu.
Yang lebih Nampak, mereka tak mahu.

Barangkali.
Mereka seperti kita-kita yang mengalah sebelum mengerah.
Mengikut arus tapi jalan sendiri tak terus terurus.
Hanya ketawa gelak walau dah kalah bergalak.
Dan hidup.
Hanya menunggu mati.
Oh.
Barangkali.

*sedih*

Thursday, 8 December 2011

Kita, Apa Yang Kita Kejar


”Cantik kan sayang?” sambil bergelek lembut.
Membiar halus seni jahitan tudung itu memeluk tubuhnya penuh manja.
Sehalus buatannya yang cukup indah.
Pada harganya juga indah; bagi peniaga.

”Hmm” mendatar.

”Hmm ajer? Takkan tak cantik?” ’hmm’ takkan pernah cukup dengan harga pelaburan untuk menjadi seindah ini.
Tudung ratusan ringgit itu masih cantik terletak pada gayaannya.

”Sayang nak beli apa ni?”
”Ayang, kan di kedai tudung ni. Takkan nak beli kedondong” mencebik gaya muncung masam-masam manis. Biar mencuih manja, pinta di pujuk dan di raih peluk.

”Kan bertudung itu untuk dilabuhkan pada pakaianya, dan menyimpan sorok pada pandangan?”

”Dan tak kena lah kalau yang ayang nak kenakan ini masih nampak tembus semuanya. Tak bertudung la gayanya”

”Abang tu yang tak reti fesyen manusia. Hidup kena berubah. Kena ada gaya dan penghormatan. Takkan salah untuk berindah siap untuk abang juga”

”Fesyen itu manusia aturnya. Dan bukan fesyen yang Allah tanya nanti.”

Senyap.
Sekejap.
Biar seketika hanya deru angin yang berbisik.

”Belilah” pujuk bahasa itu.
Sambil di peluk manja oleh si suami.
“Belilah”
Dan nampak kaca mata riang pada si isteri.
“Belilah kalau mencari manusia yang sayang mahukan, dan bukan syurga Tuhan”
Erk.
“Dan dan putuskan mahu yang mana nanti, cari abang di kereta. Abang tak mahu subahat” sambil di lerai peluk manja tadi.

Tak mahu kalah.

Tak mahu salah.

Biar patah dari bengkok dalam tak sedar.

Wednesday, 7 December 2011

Untuk parut itu.



Biarlah parut pedih semalam berbekas hitam pada betis mulus itu.
Paling-paling tidak, Maha Esa beratkanla hati kamu dan jauhkannya dari membiar dedahkan mulus itu pada tatapan khalayak.
Walaupun yang mahu elakkan adalah nampak gelap parut hitam itu dan bukan pada hitam hati naluri kamu.
Hanyalah andai kita lebih tahu.

***

Yang disuruh itu bukan berkurung, malah bukan juga bertudung semata.
Yang disuruh adalah bertutup dan melabuhkan pada dada-dadamu.
Barangkali, kainya tak lekat dijahit benang-benag; lantas terbiar tersingkap pada langkah-langkah lembut mereka.
Oh.

***

Yang dipohon ikut itu bukannya pada ustaz mahupun ustazah, tapi pada ilmu yang diikat Islam pada tiang-tiang akidah jelas.

***

Maka.
Kalau yang kita pandang hanya pada iklan gazzet cereka, pasti kita tak lebih dari tahu meneka-neka dan percaya jalan cerita filem yang sebenarnya.
Bukan begitu?

Tuesday, 6 December 2011

Ada yang bertanya

"Kenapa harus kamu melangkah pandang sedang apa yang kamu hayatkan ini adalah sebaik-baik perhentian penglihatan manusia?"
 
*senyum*

Dan itu sebaik-baik keputusan.

Hidup ini bukan warnanya cuma hitam atau putih, tapi lebih dari sekadar wujudnya kelabu di antara. Ada warna hidup lain yang terbias pada sudut lain perjalanan yang tak berhujung ini. Maka zalimlah kita membiarkan bias mata kita memandang hanya pada yang terjangkau dek pasang penglihatan kita ini, tanpa membias sejauh yang tak tergapai selain dari mendapat petunjuk-Nya.

Sesiapapun bisa memilih untuk memandang. Tapi biarlah memandang itu tidak lebih dari sekadar mengalih jalur lihat kita pada biasan yang berbeza dan memilih untuk membiar ada spektrum baru yang membawa bauan baru dalam hidup; tak kisah ianya berwarna corak indah atau tak lebih dari hitam pekat kusut gelap. Yang pasti, ia baru, dan kita takkan pernah sesal memilihnya.

Monday, 5 December 2011

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Untuk semua,
seadilnya, kita sendiri tak suka follow blog yang kita tidak suka.
dan lagi benci, bilamana blog yang dah deleted tapi tak sempat kita unfollow dok berlonggok di dalam reading panel kita.

Jadi, untuk semua yang pernah follow blog AJ Nismihan yang mana kemudiannya dah di buang; dengan amannya dimaklumkan bahawa AJ Nismihan dan restablished semua URL lama beliau dan beri anda peluang untuk unfollow blog-blog berkenaan.

Lagi satu.
Bagi yang baru perasan blog-blog yang di 'bloglist' kalian tu termasuk blog-blog AJ Nismihan yang dah lama tak ada (dan tetiba hari ini keluar dalam list updated blog), boleh mengambil inisiatif untuk update bloglist kalian dan buang mana yang tidak perlu.

Kan?

*senyum*

Aku menulis macam aku bukan AJ Nismihan.
Tak adil kan?
Oh.
Ya.
Ajuhanif itu sendiri AJ Nismihan.
Dan kedua-duanya aku.

Yang mana lebih hidup dari yang lagi satu?
Kedua-duanya hampir mati.
Tapi.
Hampir bermakna, belum lagi mati kan.

Untuk blogger yang aku sayang kalian, tetap aku akan jenguk laman kalian walaupun aku ini AJ Nismihan, Ajuhanif mahupun sesiapa saja.

Do you smell that?
Oh.
Ya.
Bukan smell like teen spirit.

But.
It just me.
Ya.
A smell of being so me; myself.

*senyum*

Sunday, 13 November 2011

^ Muda



Sepetang tadi, aku melangkah senyum kepada FZ150 milik adik ipar yang usianya belum pun genap suku tahun. Sesekali, membiar adrenalin ini diusik uji ke’muda’annya, apalah salah. Mahu saja aku biarkan wajah ini dihempas deru petang yang redup ini sepuasnya.
Cumanya, bukan seorang. Si isteri pun ada sama. Mahu rasa seperti sang muda berkepit sayang ke sini sana. Dan bukan juga berdua; sufia yang sulung mahu jadi teman. Mahu jadi pengingat pada ‘babah’ dan ‘mama’ yang muda itu cerita lama.

*senyum*

Dan sungguh, membelah petang dengan deras angin sebebas ini memang mencampakkan aku kepada tahun-tahun dulu. Pada kemuncak muda-muda usia yang gagal kenal penat bersiang malam dengan gelak dan impian di jalanan; walaupun hakikatnya ada si Dia dan Sufia bersama.

Benarlah.

Usia ber-angka itu apalah sangat kalau kita bisa terus muda selagi mana kita mahu percaya.
Kalau tidak, masakan abang-abang yang baru ‘bermula hidup’ masih ‘muda’ dengan teman hidup ‘ter’baru.
Masih segalak riang, seusik mesra bilamana bertemu rakan sedarjah dulu-dulu.

*senyum*

Andai sajalah.
Aku mampu percaya, daya aku ini semuda mampu bila bersusun rukun dan tertib amal untuk-Nya.
Dan percaya, aku ini terlalu tua untuk tidak bersedia menuju detik dipanggil-Dia.

Ameen

Notakaki.
Ramai percaya, hidup kena ada pelan B andai yang A itu gagal. Tapi, tak ramai yang terus percaya, kita ada 24 alphabet lain untuk terus berancangan bila kedua yang mula itu kandas. Barangkali.

Friday, 11 November 2011

Lupa


Seringkalinyamanusia terlupa, bertapa manusianya kita, sehingga menuntut kesempurnaan diluar keterbatasan mampu daya.
Menjadi marhaenyang rendah duduknya, pasti tak mampu kita gapai selangit tinggi junjung dedaundi pantai. Leka membetul fikir mencari suluh pada gelap bercahaya bulan, pasti nantiterlalu asyik untuk biarkan dunia lain jadi mati.
Untuk ada salahsilap itu, siapalah kita untuk menidakkannya.
Andai sepangku pemohonanmaaf tak cukup, apalah daya lagi jadinya.

“Awak hati-hati nanti ya?”


Sambil biar paut matapada pandang yang bakal hilang, sekejap nanti.

Insya’Allah
Cumanya, jangan awakkira gerak waktu di gelang manis tangan itu. Takut dunia sengaja henti, biarkanawak penat untuk terus berdiri pada pendirian yang sama” dan senyum. Seorang.

Pada pencuri hati,gagal dijumpai garis-garis bibir yang sentiasa buat runsing dunia itu tiadaapa-apa.

Jangan melangkah lagikalau patah-patah bahasa yang awak susun hanya semata menambah risau yang belummahu surut. Saya berdiri sendiri pun belum tentu lurus, lagi mahu tanggungkalut-kalut jiwa fikir yang pasti tak ada dinding sudahnya

Oh.
Tergelincir.
Difikir lantai itubelum cukup basah untuk dibiar berlumur dengan rumpai-rumpai usik lagi, rupanyasudah bisa paut pada kaki dan tarik untuk jatuh menghempap bumi.

*senyum*

Notakaki:
Biar ada jauh, untuk tahu dekat itu bagaimana.
Biar ada sakit untuk sayang pada sihat yang belum hilang.
dan
biar ada mati, untuk tahu hidup itu bagaimana.

Thursday, 10 November 2011

^ Semula


Menangis lah kita biar seketika, jika itu benar perlu.
Tapi jangan berpanjangan; kerana kita tak ada sepanjang itu masa yang nak dibiarkan.
Barangkali ada sepak mula dunia yang kita tertinggal dek perhentian ini. Tapi itu tiada apa-apa andai kita kutip apa yang perlu di hentian ini.
Dan untuk itu, i give you no condolence. There is no ‘death’. This is just a new begining. We just dont know what the Great behind this. Only Allah Knows rite!
Oh.
Allah Maha Mengetahui.
Yang ini pasti.
Cuma, setakat mana tingkah laku kita pasti-kan ia, kan?

*senyum*
 tapi kelat.

Menangis lah kita biar seketika, jika itu benar perlu.

Tapi jangan berpanjangan; kerana kita tak ada sepanjang itu masa yang nak dibiarkan.
Barangkali ada sepak mula dunia yang kita tertinggal dek perhentian ini. Tapi itu tiada apa-apa andai kita kutip apa yang perlu di hentian ini.
Dan untuk itu, i give you no condolence. There is no ‘death’. This is just a new begining. We just dont know what the Great behind this. Only Allah Knows rite!
Oh.
Allah Maha Mengetahui.
Yang ini pasti.
Cuma, setakat mana tingkah laku kita pasti-kan ia, kan?

*senyum*
 tapi kelat.

Tuesday, 8 November 2011

^ Air

Tangki air. Yang mampu tertampung olehnya tak lah sebanyak mana, tapi masih juga kita biar air mengalir masuk tak sudah-sudah. Kenapa? Sebab kita biarkan sebahagian yang lain turun ke tangki-tangki lain di sekalian keliling kita. Ya, kita tahu, kalau dibiarkan saja, pasti melimpah dan tak berfaedah sudut mana pun kita pandang.

Begitu juga aku pandang hidup. Minda kita tak sebesar mana, sedangkan kita tak sudah-sudah mencari sudut ilmu untuk kita isikan. Ah, bukan aku harus kamu kutip buang semua yang kamu ada, tapi tak salah untuk kita biarkan apa yang kita ada tersalur kepada sekalian yang ada disekeliling kita kan? Biar mereka menumpang dengan apa yang kita tahu, dan panjangkan selagi mampu. Mana tahu, kita bisa ruangkan lagi minda kita untuk ilmu baru.

Ilmu lama? Ah, paling-paling tidak, kita ada sidia dan dia yang kita beritahu hari ini untuk ingatkan kita esok-esok apa yang harus perlu kita tahu.

Bukan begitu?

***


Dan untuk tidak biarkan semua ini ‘mati’ di kotak draft, aku terbitkan sebagai foto, dan biar andai kalian mahu, panjangkan dalam susun huruf kalian. Ini yang termampu dalam ruang masa kali ini.

Ah, ada maknanya?

*senyum*


Thursday, 3 November 2011

Cuba Duga Hidup

Peperiksaan.
Kita boleh bersedia sehabis baik, meramal sedaya mampu, tapi tetap yang akan keluar di peperiksaan nanti bukan kita yang tentukan susah payahnya nanti.
Begitu juga hidup.
Kita boleh bersedia sehabis mampu, tapi hujungnya Allah yang tentukan susah payah hidup.
Dan kita kena hidupkan apa yang kita perlu, sebelum nanti-nanti baru kita boleh hidupkan apa yang kita suka.

Wednesday, 2 November 2011

* Peperiksaan

Assalamualaikum kepada sahabat-sahabatku.

Seminggu.
Oh.
Lebih.
Seharusnya ia bukan 'sabatical' yang aku rancangkan; tapi rancang Allah tentu-tentu lebih benar dari aku. Membiar deretan fikiran aku 'menyemak' di susun kotak deraf bukan satu yang menyenangkan; tapi ia harus lebih mudah dari aku buang satu persatu atur kata dan biar ia menjadi tidak kurang dari sampah yang sedang sibuta sendiri bisa bau busuk-busuk rosaknya.

Jujurnya, aku rindu pada dengar derap-derap melodi kekunci papan elektronik ini yang ditekan dengan riak emosi.
Rindu pada gaya kalian menyusun bilah-bilah kalimah menjadi 'catalyst' fikir.
Tapi, siapalah kita untuk membunuh rindu itu andai ia hanya muncul bila nyata dunia beri aku sedetik ruang melepas nafas berat yang tersimpan di celah-celah himpit tanggungjawab.

Dan aku hanya mampu tersenyum; bila mana aku sedar yang aku juga harus perlu jatuh untuk benar-benar rasa sakit lenguh, dan baru aku mampu tahu beringat nanti.

Sesekali, menyusur laman lain, buatkan aku belajar semula, dan aku tahu; banyak lagi yang aku harus pahatkan semula, agar aku bukan si munafik; mengajak kepada kebenaran sedang hati tak bergerak waima seinci.

Oh.

***


Kita, hanya mampu bersedia sehabis daya untuk peperiksaan. Dan bergulung juta ramalan pun, bukan kita yang sediakan soalan 'finalnya'. Maka, berhabis baik lah untuk kita memilih jawapannya A, atau mungkin B kah, C,  atau kalau tidak pun D.
Peganglah percaya, yang baik mana pun pilihan kita, jawapan yang akhir tetap apa yang ada pada skema pemarkahan, dan bukan pada apa yang kita pegang.
oh.
melainkan, kita pegang pada skema itu.
barangkali.

*senyum*

...dan satu.
Kadangnya, jawapan gerak hati kita sudah benar tepat, tapi gagal kita gores dengan pena 2B mahupun kadangnya culas tak sekadar sepenuh bulatan OMR; gagal juga kebenaran itu dikira markahnya kan?

*senyum*

Betul itu bukan harus sekadar betul, tapi kena cara betulnya.

Thursday, 20 October 2011

^ Botani


Menanam pokok perlu ada ilmu botaninya. Kalaupun tak sedikit, banyak tahunya sudah cukup. Biar yang disemai tumbuh tunasnya, yang dibaja buah bunga hasilnya. Mencuba tanpa ilmu boleh, tapi nanti, kita mudah teralih, meletakkan sesuatu bukan pada tuju. Dengan ilmu juga kita tahu, tak semua cobaan harus berjaya seratusan; pasti ada gagal, buruk, busuk, berkulat dan tumbangnya.

Begitu juga hidup, perlu kenal ‘tanah’nya sebelum menyemai, perlu sedia di’coba’ bila sampai. dan semua itu hanya mimpi, melain kamu ada ilmu dihati.

Begitu juga berkasih, bukan harus ‘membaja’ tanpa kira cuaca, bukan disiram ‘pohon’ sesuka jiwa, ada takat dan sukat, ada peraturan boleh tidak dan bukan main ‘lantak’.

Ada jelas hukum, cuma ikut lah suka kita; sekadar mengambil tahu atau membiar ia berlalu, atau tidak-tidakpun mengunyah satu-satu (biar jadi tulang-belulang menongkat jiwa yang lemah mengulang jalan menunggu masa; dipanggil).

Wednesday, 19 October 2011

^ Simpang


Pada tiap perjalanan, bertembung kita dengan simpang-simpang. Selintas fikirpun, pasti minda harus membuang pandang kanan dan kiri, sebelum menelah mahu terus atau biar yang lain lurus dahulu. Biarlah berlampu isyarat atau tidak, pasti keputusan perlu dicari sebelum sempat terus berlari.

Seperti hidup, satu perjalanan. Tak lari dari bertembung temu dengan simpang-simpang yang pelbagai. Samada jelas mohon kita pilih jalan-sedia-atau-berhenti, mahupun yang samar-samar wujud di ceruk pelusuk hati, fikir perlu dibiar gerak, dan rasional perlu mumuktamatkannya kelak.

Cuma, kadang-kadang kita berhenti terlalu lama di simpang itu, dan biar rasa sakit perit dijamah jiwa nan sedu, sedangkan kita tahu keputusannya hanya berhenti seketika atau terus jalan; dan hakikat hidup harus dibiar melangkah juga-juga kan?

Monday, 17 October 2011

^ Latih


Di gelanggang latihan, biarlah dipadankan dengan pelatih terhebat. Biar teruji mampu daya dan nanti. Biar dikerah keringat terdaya, menyambut sana-sini letaknya bulutangkis dia. Kalah biar teguh berlawan. Berpeluh biar tentu berbaloi; kerana tahu untungnya bukan hari ini, tapi esok lusa yang tak terjangka.

Tidaklah mahu berlatih hanya dengan ‘lawan’ yang hanya meletak tangkis mudah pada jangkauan dan tak ubah seperti permainan di laman rumah semata. Tingkah yang menunjuk kita hebat, sedangkan ia tak lebih dari membantut apa yang perlu.

Tapi.

Pada dunia nyata; kita lebih selesa berkawan dengan ‘sparring partner’ seperti di laman rumah, dan bukan yang benar-benar biar tahu lemah kita di mana; dan berganding tampung yang mana capek, tutup yang mana sopek.

Sedangkan kita tahu yang dunia ini bukan bagaimana yang kita suka aturkan; tapi bagaimana kita bersedia untuk diaturkan.

Barangkali-lah.

Saturday, 15 October 2011

^ Anggap


Melihat kelibat manusia sana sini berbimbit telefon-telefon pintar, hati pasti mudah menelah yang mereka ini pasti marhaen yang bijak serba-serbi hal teknologi. Tahu yang terbaru dan ambil kisah yang terindah.

Sedangkan, ada saja yang bertelefon tapi tak lebih dari berpanggilan dan mengunci jam penggera. Entah apa saja 'pre-loaded' aplikasi yang penuh lebih tiga empat muka tidak pernah diguna buka; melainkan tertekan iconnya dek kedaifan diri mengenal itu ini.

Seperti juga hal kalau yang berkopiah. Jangan ditelah mereka itu lebih bijak Islam nya dari kita; walaupun kita tidak sebijak mana. Dan jangan setiap patah dia yang kita dengar bicara lantas jadi hukum agama yang harus patuh ikut.

Segala macam benda dan pakai, tak lebih dari wasilah kehidupan.
Jadi, jangan menghukum sebelum mengenal.
Ilmu bukan sekadar gah untuk ada, tapi untuk didalam hayatinya.

Thursday, 13 October 2011

^ Uji


Pada kita yang sentiasa berjaya dan hidup penuh dengan bintang-bintang menuju ke puncak kerjaya, pastinya kejayaan yang kecil-kecil ibarat bilis yang boleh dikuak-kuak air biar ketepi. Ya lah, apa sangat hal yang kecil-kecil itu sedangkan hal besar pun bisa kita susun-susun ikut aturan hati kita.

Hidup jadi begitu mudah dan terus-terusan dipermudahkan.

Dan sekali, datang bencana. Ada peristiwa yang bawa kita terjelepuk jatuh ke bumi.

Pasti pedih dan perit. Masakan tubuh yang sentiasa berselimut dengan penyaman udara ini mampu menempuh terik mentari yang menjilat seluruh yang boleh.

Dan waktu itu; “Ya Allah, kenapa lah aku ini diuji oleh Mu. Kenapa aku? Kenapa aku ya Allah, Kenapa AKU!”

Oh.
Sesekali teringin sangat telinga kita dijamah bahasa “Ya Allah, kenapa lah aku ini diberi kekayaan oleh Mu. Kenapa aku? Kenapa aku ya Allah, Kenapa AKU!”

Barangkali (ya, benar-benar barangkali), Tuhan itu hanya ada apabila kita susah. Tuhan itu terlalu sibuk menguruskan orang yang susah, maka tidak perlu kita sibukkan ‘Dia’ mendengar kata syukur kita.

Tuhan lah. Kalau Allah?

*senyum*

Sedang yang sebenarnya senang itu dugaan, dan susah itu nikmat-Nya; hanya jika kita mengerti.

Monday, 10 October 2011

^ Dengar


Di meja kerja. Sibuk itu ini. Telefon tiba-tiba berbunyi.

Angkat ganggang, dan biar ganggang itu lemas diapit bahu dan tulang dagu; asalkan deria dengar menangkap apa yang terlontar dari ganggangan itu sudah cukup.

Berbicara. Ada nada serius, dan sesekali gelak kecil. Gelak korporat. Waktu itu, jemari masih berlari di papan keyboard; menaik sepatah dua, kemudian ‘backspace’ dan ulang-ulang sama. Atau waktu itu, menulis dengan pena; tapi lebih lihat seperti menconteng. Ada dizahirkan, tapi tak ada batin maknanya.

Dan perbualan tamat.

Ganggang diletak semula. Minda fikir kembali semula; dan baru sedar, tadi yang dibuat-buat tak ada hasil. Taipan/tulisan tadi tak lebih dari sampah yang merugikan.

Dan semuanya harus mula semula.

Ah. Barangkali itulah jadi bila hati menari tak sama dengan jasad yang menyusun gerak. Mahu saja jatuh tersungkur terseliuh rasa. Barangkali juga, kalau kita bertakbiratul ihram, dan biar saja fikir kita berkeliaran tanpa jaga dalam solat. Yang akhirnya nanti hanya ada gerak-gerak yang kita ‘sedar-sedar saja dah habis’.

Barangkali la.

Friday, 7 October 2011

^ Percaya


Perkara yang benar itu adalah apa yang kita mahu percaya itu benar dan pasti selebihnya satu konspirasi penipuan besar-besaran yang belum pernah sudah.

Maka, tidak salahlah andai fakta 'benar' itu berbeda dari marhaen ini kepada marhaen yang lain. Kerana setiap mereka singgah dan tumpang pada blog yang berbeda, menampung ilmu dengan akhbar yang berbeda, dan berbincang panjang di kedai yang berbeda dan kopi 'kuat' yang berbeda.

Hampir semua kita percaya yang benar itu hanya perlu bertempat, dan bukan menyeluruh.

Mungkin sebab itu digaduhkan sekarang adalah apa yang mereka pegang dan pejuangkan 'benar' dan bukan yang dah terang-terang Tuhan janjikan benar dan terjaga sampai akhir nyawa.


Barangkali lah.
Atau setidakpun, itu yang kebanyakan kita percaya.

Janji dari Tuhan lah.
Kalau dari Allah, pasti ada saja semua pegang percaya.

Thursday, 6 October 2011

^ Simpan


Dari sekalian yang kamu dengar dan bacakan, ada yang kamu harus pahat kemas di fikir, dan selebihnya biar dibuang dari simpanan.

Ibarat tebu. Pasti disiat buang keras kulitnya, dan yang dijamah tak lebih dari manis airnya. Dan tidaklah kita ini rugi menyisihkan yang wajar, walaupun dibeli kita tadi adalah sebatang tebu. Cuma, tidaklah kita ini bijak andai dijamah adalah seluruhnya yang ada.

Biarlah berdikit, tapi lengkap seadanya.

Wednesday, 5 October 2011

^ Hormat


Bukan sematanya apa yang kita bahasakan itu satu 'penghormatan', sebaliknya, 'faham' dan 'gerak diam' yang menyuluhnya lebih terang dari simbah cahaya bulan penuh di pekat malam.

Kelmarin dulu, kita di dirian 'rostroum' berkata 'diam' dan 'tolong dengar'. Hari yang kemudian, kita di khalayak dan pula disuruh 'diam' dan dipesan 'dengar'.

Barangkali, 'menghormati' kita ini bertempat.

Atau mungkin juga, ini hanya satu lagi 'boomerang' kehidupan?

Saturday, 24 September 2011

^ Hantaran


Rendah tinggi iman bukan disukat dengan redup pandang pada hantaran yang disusun kemas berhias, serta naskah Al-Quran yang berhias cermat - tetapi pada 'kemas' mana jiwa yang menghantar sekalian dulang hantaran itu.

Apakah setinggi duduk simpuh sahajakan darjat tinggi kitab suci itu di mata kita? Atau, nilainya hanya serendah susunnya dulang-dulang lain, yang manalah tahu, bisa dilangkah dilanggar dek insan-insan naif yang balighnya belum sampai (mahupun yang dewasa usia juga barangkali, tanpa sedar).

Andai yang merendahkan yang tinggi itu kita, siapalah agaknya yang diharap nanti tinggikan kita yang sedia 'rendah' duduk ini nanti?

Friday, 23 September 2011

^ Janji

 Berselilih sentuh pada jemari sang pasangan tanpa ikatan yang menghalalkan, dan berjanji sehidup semati - sedang permulaan hidup dulu berjanji dia pada Allah untuk patuh pada aturan.

Pastilah tak ganjil apabila asas janji itu adalah dengan satu pemungkiran janji, dan putus akhirnya juga adalah kecundangnya segunung janji-janji.


Apalah sangat nak disedihkan, kalau kita sendiri tahu- bilamana kita sendiri gagal menghargai diri (dan mana tahu, dengan Allah juga kita tidak cukup menghargai-Nya) pasti saja nanti, kita akan GAGAL dihargai orang.

Wednesday, 21 September 2011

^ Patuh


Kewajipan bertalipinggang keledar itu hanyalah pada tika kamu beratur menuju roadblock, atau mana-mana saja diketika-ketika lain yang 'tok' polis dan 'abang' JPJ hadir. Selain dari itu, talipinggang keledar yang di kereta itu biarlah tak digunakan.

Itulah yang kita percaya. Pemandu 'patrol car' pun percaya perkara yang sama (rasanya).

Hampir semua kita percaya yang patuh itu hanya perlu bertempat, dan bukan menyeluruh.

Mungkin sebab itu, bertudung litup hanya perlu ketika solat dan di surau, atau bagi sesetengah di sekolah dan di pejabat. Kerana dipercayai, Tuhan tidak ada di sesak-sesak pasar malam dan pasar ramadhan, tak ada di majlis rumah terbuka syawal, mahupun di facebook.

Barangkali lah.
Atau setidakpun, itu yang 'kelihatan' seperti kita percaya.

Tuhan lah.
Kalau Allah, pasti ada saja di mana-mana.

Tuesday, 20 September 2011

^ Gelap


Kegelapan itu hanya hadir bilamana tiadanya 'cahaya', dan bukannya dek wujud datangnya satu jisim yang bisa kita gelarkan kegelapan itu sendiri.

Seperti juga hidup.

Hidup juga bisa gelap kerana tiadanya cahaya yang sebenarnya berdefinasi cahaya, dan tentu saja bukan dek wujudnya zarah-zarah 'gelap' menyeliputi hidup ini.

Monday, 7 February 2011

Dalam sebaris, ada se'karang'. Balik tirai teater, ada 1000 lagi cerita.

Berdiri sandar, sambil-sambil melampias saki baki debu nikotin dari kelonsong hembus.
Meliar mata berkejaran dengan jalur sinar cahaya mentari ‘membelek-belek’ dan ‘membogel’kan sekalian susuk tubuk yang melintas.

Dunia ini indah. Sungguh.” sambil pelahan senyum menjadi ukir pada bibir yang tidak pernah merah bugar dek di peluk rakus dengan nikotik berbatang-batang seharian.
Lagi banyak billboard kata tidak, lagi banyak dia berkata ia.

Mahu jadi teman sunyi” bisingnya dahulu, dan masih bisik susum kalimah yang sama berulang-ulang. Berbalam menhentam gegendang telinga si pemesan, sampai sudah muak hujungnya.

Sesekali, kita harus jatuh terhempas penuh perit baru kita tahu erti sedikit itu penuh syukurnya” itupun kalau sempat.

Indah bagai pun, ada sudahnya.” dan berpaling. Ah. Tak sedar. Yang di tunggu tadi sudah pun sampai berbimbit troli tolak.

*senyum*

Yang ko tunggu itu aku ke, lenggok montok sana?.
Rezeki. Benda depan mata. Bukan luak pun aku pandang” mendakap pemilik suara. Berpelukan penuh erat. Yang jauh, sesekali pandang, pasti sempurna penuh warna; sedang yang dekat, harumlah setaman bunga pun, pasti hidu bisa hilang selera dan busuk saja yang lekat.

Pahala ko yang luak. Kerling pandang macam nak koyak-koyakkan mulus tubuh depa tu pasal
Ops. Belum masuk waktu. Karang kalau nak panjang-panjang, ko rembat la kayu khatib sat lagi. Gebang la panjang-panjang” dan berlalu. Mengalih bagasi yang bersusun tadi jadi bimbit pada tangan. Ah, bukan banyak sangat, dua saja. Dasar anak manja, itu pun harus ber’kerata’ segala.

Dan dua pasang kaki melabuh pergi. Setapak demi setapak. Sambil hilai tawa menjadi benang pengikat senyum-senyum dua sahabat tadi.

Dan momen lain menjadi pengisi ruang yang tak penah kering dari manusia.
Yang bagainya, bagai-bagai.

Apa yang kamu cari dan siapa kamu esok nanti, hari ini benihnya ada di genggam kamu. Dalam satu hembus, ada 5-6 cerita yang tak penah habis, sampai sudah. Sudahnya di mana ya?

Friday, 28 January 2011

Ada, cuma masanya mungkin belum tiba dulu.

"Kenapa tidak dari dulu, dinda bertemu dengan kanda."
"Andai ya, pasti takkan pernah ada duka yang menjadi sembilu perit dalam jiwa dinda, hingga kering jernih mata dinda."
"Dan hari ini, hanya ada pandangan sayang saja yang mampu dinda kemaskan pada rangkul tubuh kanda."

Tersenyum halus sambil pelahan di rangkul kemas sang suami.
Tanpa sedar, pelahan lembut di letak kemas kepala bersandar pada bahu sang suami; dan suami yang mengemaskan ikat tali leher di diri cermin meja paling sedikit pada sandaran bahu, dan mengucup halus di ubun-ubun isteri.
Biarpun berlapit lapis anak tudung dan tudung, kucup itu meresap dalam-dalam dan senyum jadi kuntum kembang tanpa sedar.
Dan senyum itu cukup benar manisnya.
Ah.

"Elok saja yang jadi ini dinda."
"Maksud kanda."

"Susunnya dah demikian. Biarpun kanda berpaut lama pada birai pandang dinda, tapi dinda tak pernah nampak lebih dari pandang yang biasa. Dan kanda sedia saja menunggu, dan berdoa, biar pasrah sayang dinda jodohnya pada kanda."

"Tak salah kah dinda bercinta dan putus yang dulu."

"Dan bukan putus itu hajat dinda kan?"
"Sejarah dulu buatkan dinda itu dinda untuk kanda hari ini kan?"

*senyum*

"Semuanya teratur. Dan mana tahu, andai kita yang bertaut sayang tahun-tahun dulu, kita sendiri bisa lerai dan sudah seperti hayat sayang yang dulu?"
"Dan syukur, Allah bukakan hijab hati pada masa yang kena, dan moment yang benar."

"Pasangan yang betul takkan jadi pada moment yang salah kan?"

"Macam tu lah" *sambil mencubit gebu pipi sang isteri sayang*

Dan di mana-mana, ada kisah yang sama.
Cuma dindanya kadang ’
awak’, kadangnya ’sayang’ kadangnya ’baby’.
Tapi memahami perlu ada.
Jiwa kita bukan bahu hiasan, di pahat ukir sekali dan di bayang indahnya panjang sampai sudah.
Selam dan faham sekaliannya setiap masa, dan tahu yang tiada sempurna dalam sesiapa.
Belajarlah menerima, dan sedar yang Maha Tahu bukan kita.

Thursday, 27 January 2011

cliche is it?

Jauh mana pun kita melangkah, kita hanya ada sepasang kaki ini untuk menatap; dan sekeping hati yang bisa kita lontar jauh-jauh.
Adakah fikir kita sejauh itu? {di biar soalan itu tidak berjawab.}

***
Semalam.
Berdiri tinggi di puncak bukit. Di pekik lahung sedaya yang mampu.
“Hoi dunia. Aku mahu berubah”
Bukan sekali.
Tapi dua.
Ah, bukan. Tiga.
Dan tersenyum.
Senyum yang bukannya sedikit; berjela tanda puas.

Sudahnya sampai di situ.
Selepas senyum tadi hilang, semua yang lain sama seperti kelmarin dulu.
Hari ini sendiri seperti kelmarin dulu.
Dan pekik azam semalam hayatnya hanya sepelahung gelombang suara.
Dan kemudian, hilang.

Kita masih seperti dulu.
Dan sugul.
Hilang manis tadi, murung menjadi galang ganti.

Dan memerhati kalendar di meja; menghitung hari untuk ‘mula’ azam lain.

ulang [chorus] dan [bridge] berkali-kali

Wednesday, 19 January 2011

Sekejap; di hentian bas.

Lu jangan la nak merokok ni wei. Benda nih tak baik pun untuk kesihatan. Buat bawak mati” sambil menghembus asap kretek yang berbaki di nafasnya.
Dan batuk sekali dua.
Batuk kecil.

Yang mendengar pun buat endah tak endah.
Tak ada apa yang signifikan.

~Ala, dia sendiri dok merokok, lagi mau pesan jangan-jangan pada orang. Cermin diri la dulu~ bisik pelahan sang remaja kemas berbaju kemeja putih, berseluar tempah kemas diseterika side tepi. Kasut saja tak cukup putihnya, tak cukup keringnya. ~aku ingat jemur kasut bawah peti air ni sempat kering untuk kelas petang nih~.

Bisik saja.
Tapi tak terdengar pun kumat kamit itu pada yang lain, selain dari dia.
Yang lain di hentian bas tengahari begini hanya sibuk berkipas-kipas manual melampiaskan panas dari diri.

Habis, yang abang merokok tu buat apa?” kali ini baru jelas suara di lontar sang budak untuk di dengar; dan di balas jawab.
Bila masa aku kawin dengan kakak lu. Kakak lu cantik sangat ka.” sial. Menjawab cara sial macam ni la yang malas nak dilayan. Kalau nak jadi lawyer pun jangan jadi buruk, nanti orang tak pandang lu!

Ala aku dah terjebak. Lu budak mat smart tak payah la nak mengisap. Nanti lu ketagih. Ketagih tak da hujung nanti doh.

Itu jer yang sempat di tangkap telinga.
Bas pun dah sampai.
Lewat 10 minit dari biasa.
Dan paling-paling awal pun, sudah terlewat 10 minit juga lah sang pelajar ke kelas nanti.

Sang perokok masih di bawah.
Masih di hentian bas tadi bila bas sudah pun pergi.
Masih berkepuk-kepuk asap si durjana rokok yang dihembus keluar.
Dan sekilas teriang-iang pesan dia tadi.
{Lu jangan la nak merokok ni wei. Benda nih tak baik pun untuk kesihatan. Buat bawak mati}

Hati kecil membisik.

~Bukan semua yang berperi laku kejahatan itu jahil dengan kebaikan, cumanya, ada hati yang lebih terdorong dengan kesedapan dunia yang sekejap, dan biar natijah esok-esok yang panjang jadi sampingan terbuang kosong-kosong~

Dan senyum.

Bukan pada si gadis berbaju rona hijau yang manis berlesung pipit terletak kemas di bujur sirih wajahnya, tapi tersenyum pada bagai-bagainya dunia.
Bagai-bagainya senario hidup.
Itu saja.

dan terlintas di fikir jiwa;
~Dalam sebusuk mana pun keadaan, ada pengajarannya. Dalam sebusuk-busuk kalimah yang tersusun di basah bibir, ada baik yang boleh di ambil simpan juga. Dan pesan yang baik itu tetap benar baiknya, walau yang berbisik pesan itu sebaliknya.~
Terpulang

Monday, 17 January 2011

Andai cukup dalam pandangan kamu, harus tentu kamu sentuh debar jiwa ini.

Maaf, masanya dah sampai”, sambil pelahan menunduk sedikit mengapai beg merah jambu yang kemas di susun kelmarin.
Ah bukan.
Semalam.
Yang baru dikemas semalam.
Semalaman berjaga dengan penuh kusut jiwa. Harus terus, atau tidak.

Biarpun sampai detik yang ini, tak ada satu pun yang aku harus maafkan” dan senyap.
Ada sehela dua nafas yang dilepas penuh berat; untuk ruang toma’ninah yang benar sekejap. Agar yang disusun lafas itu disaratkan dengan fikir dan emosi yang ditafsir aqal dahulu.

Erm. Ya. Tak ada. Tak ada salah yang meletakkan aku mampu memaafkan kamu
Salah aku terlalu besar untuk kemaafan kamu?
Ah, bukan. Kamu tiada salah. Benar tiada. Semua yang aku dengar dari basah-basah bibir kamu mahupun yang aku pandang dan dengar dari laku peri kamu, semuanya baik saja
Dan kamu melafaz seperti kesempurnaan itu adalah aku, sedangkan kamu tentu fasih yang aku sendiri sempurna dengan ketidaksempurnaan setiap insan. Seperti juga kamu?

Angguk.
Pelahan-pelahan disampaikan ya dengan kalimah itu dari tindak jujur demikian. Ya, angguk yang pelahan. Benar-benar pelahan tujahnya.

dan kamu masih seperti kamu kan.”
Kerana aku sendiri mahu kamu seperti kamu” dan mata bertentang.
Ada kejujuran berselimut mata yang berkaca.
Ah, tahan lah kaca itu, aku tak mahu tiris pecah disini. Jangan bisa tembus lagi!

Memang selalu seperti ini kan
Gaduh

Ada malaikat menumpang lalu, barangkali. Kedua-dua bibir membeku dari reaksi, dan suara hilang dari ruang. Terbiar di isi bising-bising sekitar yang entah apa.

"Panggilan akhir. Penumpang Nini Express ke Kuala Terengganu jam 8.30 malam di minta untuk ke Platform."

Wak. Bas awak” dan yang bersambut hanya sehalus-halus senyuman.
Jaga diri ya.”
Assalamualaikum” dan berlalu.
Hanya pandang mata yang mampu dihantar untuk memeluk kemas si gadis itu. Ya, hanya itu yang termampu.
~Pandanglah sekali~
Sekadar hajat hati. Dan si dia tidak bisa dengar debar itu.
Dan hilang.
Kelibatnya hilang ditelan sesak manusia yang berbagai dan susun bising yang merunsingkan.

Sesungguhnya, semua salahmu andainya ada pun telah aku maafkan sebelum pun kewujudnya”
Aku terima kamu seadanya, kerana itu yang aku yakin perlu untuk kamu yang benar-benar ku sayang

Tapi tak guna.
Dilafazlah sepenuh kitab pun kata-kata itu, takkan pernah sampai andai berbicara hanya dengan bayang-bayang diri.
Si dia sudah hilang dari kewujudnya di ruang lingkup pandang mata.

~Andai cukup dalam, pandangan kamu ke mata ku, harus tentu kamu sentuh debar jiwa ini.~ bisik hati.

Berpaling.
Dan melangkah pergi setapak dua. Tiga. Empat.
Terkumat kamit dalam sedar.
 ~Ya Allah, peliharalah gadis itu andaipun dia jodoh ku ataupun tidak. Semoga yang dikejarnya sampai tergapai dan dirahmati atas dia itu oleh-Mu tak putus-putus. Andai baik untuk kamu, Engkau peliharalah pertunangan kamu hingga ke pernikahan dan syurga-Mu ya Rabbi” tiris.pecah empang kaca di mata itu~
Debu habuk barangkali.

TUT! TUT!, TUT! TUT!

Open message-

dan moga Allah pelihara tunang yang aku sayang kerana-Nya ini hingga ke hujungnya juga. Ameen

Ah. Sebak pecah lagi. Basah.

Thursday, 13 January 2011

"Maaf, awak terlalu baik untuk saya."

Itu saja?
Tidakkah ada berjuta lagi alasan untuk sebuah perpisahan yang lebih aman.
Hanya memetik baris kata cliché seperti itu sebenarnya tidak pernah memberi ketenteraman walaupun segambut masa.

Semua, pasti ada kata yang lebih realiti dari yang biasa terucap lidah.

"Bukan. Bukan itu. Aku tak tahu apa lagi yang lebih baik dari itu. Aku tak mahu ada hati dia yang terluka lagi."

Dan bicara tanpa penuh jelas begini boleh henti sakit dia begitu saja kah?
Tidakkah nanti lebih keliru dan hidup penuh dengan tanda tanya yang tak sudah-sudah. Dan aku yakin, jiwa yang tenggelam dengan teka teki hidup selalunya lemas dan lewat mencari sinar baru.
Maka berterus-teranglah.
Biar jelas terang kenapa perlu lantera malam yang satu itu kamu hanyutkan cahayanya. Paling tidak, mimpinya nanti pasti datang yang baik-baik, dan bukan hanya berteman tiris jernih di matanya tak sudah-sudah.

Jujurlah; kalaupun kamu salah.
Berkatalah walau pahit. Kerana hidup ini penuh bittersweet; manis itu muncul juga di hujung-hujung pahit itu.
Dan itu tentu lebih baik dari bermanis-manis penuh sayup setiap detik yang muncul dan tiba-tiba sakit menyerang dan hayat kita putus; tanpa sempat sedar kenapa dan apa.

Boleh begitu?

Wednesday, 12 January 2011

Semalam itu sejarah, hari ini bakal hilang, dan esok belum tentu.

Tinggi rendah letak kita semalam, semua sudah jadi kisah klasik untuk momen ini.
Dan bila esok, semua hanya satu bias pada cermin pandang sisi yang bukan selalu kita pandang lama.

Biarkan saja. Semua itu sejarah kamu yang dah lepas-lepas. Biarlah kita ukir bunga teluki baru untuk esok-esok yang kita hajatkan

Dan tiada siapa yang hina untuk semalam dulu; selagi kita tau mana harus berpaut saki-baki kederat yang ada, untuk keluar dari sengsara. Biarlah yang berbekas itu hanya kekuatan jiwa dan diri yang lebih nampak dari parut-parut luka yang dalam tertusuk perit kelmarin.

Sisi tangis mu dah lenyap kelmarin dulu; dan hayat yang berbaki ini lebih bermakna dan tahu tuju-tujunya. Jadi, takkan aku rugi untuk semua itu bukan?

Sesekalipun jangan diulang sentuh parut yang mula hilang, takut bernanah dan membusuk lebih teruk dari asalnya. Biarkan yang lepas terus lepas, dan jadi kita yang lebih kita hari ini.

Biar kita mula kosong-kosong.

Maaf. Kita mula semula.”
Hai, selamat berkenalan. Saya AJ




* * * 
Kalaupun kamu putera berjulang tinggi, mahupun puteri berdaulat melangit untuk semalam
Hari ini, kita tetap berdiri sama.
Dan harap, kalaupun ada esok, biarlah ada pelangi.
Dan hujan ini, berhenti sekejap: lepaskan lelahnya.

Monday, 3 January 2011

Haruskah aku tahu, itu dia?

"Dia?"
"Ya, dia. Dia yang ditakdirkan untuk aku.
Jadi bagaimana?"
*senyum*

"Aku sendiri tidak pernah tahu yang mana itu pinjaman untuk aku peluk kasih di dunia ini, inikan hal kamu."
"Jadi kita semua buta. Memilih nanti sendiri dalam buta dan tanpa tunjuk nyata."

"Memilih kan ada caranya?"
"Dan aku nanti tertipu dengan pandang mata kasar ini? Hanya bertutup kemas auratnya tak pasti dia itu menghampiri sempurna."
 

Ya aku tahu itu.

"Dan yang hanyut hanya kerana kata sayang itu sendiri marhaen yang dulunya berbasah-basah kalimah Allah di bibir mereka. Jadi bagaimana ini."

"Baliklah pada yang asal."
"Berdoa pada dia. Agar andai dia itu untuk kamu, semarakkan kasih dengan penuh gemalai sayang."
"Dan jika tidak, biarlah dilerai yang mendekatkan kalian dengan selembut-lembut sentuhan, agar luka jiwa itu tidak sedalam mana."
"Selebihnya, usaha dengan petunjuk-Nya."

"Ah, susah saja."
"Dan susah itu sendiri hidup, bukan? Andai seremeh ini pun kamu biar jadi benih-benih runsing, kenapa tidak berkata tidak saja ketika Maha Esa mahu berikan dunia pada kamu dulu?
"

Dan semua menjadi sunyi. Dua-dua, senyap. Sunyi.

Confuse? Or Loss? *smile* In short, i want back to square one. Got it?

Beberapa tahun lepas.
Masih bertanda nama pelajar; tapi gendong kuat tanggungjawab bepersatuan tinggi-tinggi.
Menapak tangga INMIND dengan yakin yang penuh melimpah.
”Ah, beres saja”

Tapi tak lama.

Kertas cadangan jalinan kerja dengan INMIND mentah-mentah di tolak. Dalam senyum-senyum manis mereka itu ada bau busuk idea yang bulat-bulat di luah balik, tanpa hadam secubit pun; selain dari hancur lunyai di cuba kunya tadi.

”Kalian riuh saja mahu adakan itu ini untuk cemerlang yang lain-lain di kampus, tapi, kalian sendiri pandang sesinis mereka bila kami datang menghidang ilmiah panas-panas dari panggangan kan?”

”Kenapa tidak ikut saja yang ada untuk pahat kalian yang lebih baik, sebelum kalian bimbit jiwa hati halus yang lain untuk belajar pukul tendang nyata?”

*senyum*
Ya. Hari itu, aku senyum. Tapi sinis.
Hari ini, aku senyum semula. Tapi manis.

Aku mula sedar,
Sesetengah kita bertebaran di sepeluk daya untuk berkata itu ini, sedangkan ada secubit dua saja yang tinggal dalam ingat dia sendiri; apatah lagi amal.
Sesetengah kita dilambung ayak ke petala pandang atas segala tulis yang kita juih keluar, sedangkan sepatah dua sendiri pun kita jarang ulang baca.

Aku sendiri.
Menulis, membaca, dan tinggal saja.
Sedar-sedar kocek saku aku dah penuh.

”Bocorkan saja hujung saku ini. Biar tembus. Terus nanti, ada ruang untuk aku isi susun yang baru”

Salah bukan?
Jadi, aku kutip balik setiap yang dikocek, dan aku lipat kemas-kemas, semat dalam ingatan dan buat nilaian.
Yang bengkok, betulkan lekoknya; yang dan sedia lurus, tunjukkan pada yang lain, agar ada yang boleh di buat petunjuk.

Aku susun, dan cetak sekalian yang pernah aku tulis dan bukukan. Aku mahu jadi pembaca hari ini; dan biar sisi penulis aku berehat.
Sekejap.

EDITED 3.53pm : To update download link.