Jurutrengkas

My photo
Menulis untuk memudahkan ingatan, biarpun tahu susah itu barulah 'hidup'.

Friday, 19 October 2018

Timbang dan Tara



Hidup ini tentang menimbang risiko
tentang membuat pilihan,
dan bertindak.

Halangan dan dugaan itu benar;
kemenangan bagi orang yang bersabar
dan bersyukur juga benar.

Hidup mu
Jalan kamu
Kamulah memilihnya.

Wednesday, 17 October 2018

Kasut Putih



Seputih-putih ia lahir, cantik dipakai segak digaya. 

Tapi ianya tentu mudah kotor.
Basuhnya juga payah, tetapi perlu, agar kotor tak jadi degil, nanti meletak tak mahu hilang. Nanti berkapur pun masih nampak kotornya.

Begitu juga hidup.
Hati lahir seputih-putihnya, tapi mudah saja kotor berbanding payah mengekal putih. Tapi perlu sentiasa dibersih, agar yang lekat bisa hilang, yang kekal tetap fitrahnya.

Tidak akan sama seputih awal?

Tidak mengapa, kerna kita tetap berusaha, dan yang dinilai bukan siapa kita mula, tapi akhirnya bagaimana.

*senyum*

Tuesday, 16 October 2018

Panggilan Pulang



Seorang lagi sahabat, masanya telah tamat.
Dia telah dipanggil, untuk fasa kemudian,
sebelum dihitung dipengakhiran.

Alhamdulillah, pergi dia dengan baik.
Ucapan baik, dan ingatan baik.

Itu dia.
Cara dia.
Kita? Belum tentu.

Biar basah istighfar di bibir, kerana rapuh jiwa kita tidak tertampung duga tanpa Dia.
Dan panggilanNya kadang tak beramaran, maka sedialah sentiasa untuk terpilih.

* * *

Kadang
Aku berharap panggilan aku sesegera hari ini, agar masih ada buah baik nak dikata dan insan nak mendoa.

Tapi

Buku aku masih merah kalau tak kosong!

Allahu.

Saturday, 13 October 2018

Nyaman Yang Membunuh




Pada sedar, yang mana dinding realistik kita kian kaku dan sukar dilentur, pastilah rupanya kita sudah terjerumus dalam keselesaan; tenggelam dalam fikir yang keras tepungnya.

Harus dicair bancuhannya semula, atau keluar dari produksi roti putih, berevolusi pada biskut dan roti bakar sahaja.

Rupanya, terlalu nyaman juga membunuh, apatah lagi tidak berubah.

Thursday, 11 October 2018

Percayalah, ia berbaloi untuk dilelahkan



Beristeri itu tidak sukar.

Lebih sukarnya pada menjadi alasan untuk isteri itu terus-terusan sayang  dan kita berperi serta bertingkah laku seperti sayang itu selayaknya kita pangku.

Ia bukan beban, tapi peluang memampan sayang. 

Percayalah, ia berbaloi untuk dilelahkan.

Tuesday, 9 October 2018

Itu, Lurus



Allah adakan sesuatu pasti ada hikmahnya. 

Maka, benarkah lah Islam mu, agar lurus kita benar lurus dan percaya kita, benar percaya.

Dikira nanti bukan semata lisan, tapi juga hati yang bernadi, dan tulang-temulang yang beramal.

Monday, 8 October 2018

Hidup Perlu Terus (Bukan Hanya Memandang Tembus!)



Solat itu tiang seri,
Lagi berseri berjemaah cukup

Bulat hati mencari erti,
Lagi beerti mentelaah hidup.

Jangan memandang kosong kaku pada dunia,
Kerana setiap kelongsong waktu, ada isinya

Hidup jangan berandai
Kerana entah-entah bisa memfitnah,
maka muhasabahlah pada tiap makalah.

Thursday, 4 October 2018

Mati Ini, Boleh Kita tangguh?




Aku tak boleh mati dulu, anak-anak masih kecil. Ramai.

Aku tak boleh mati dulu, banyak cita-cita dan harapan masih di senarai.

Aku tak boleh mati dulu, kerana aku belum puas menikmati hidup.

*senyum*

Hakikatnya, sediakan diri untuk temu Dia, nanti Dia akan sediakan juga untuk kamu bisa tinggalkan.

Jagalah Allah, Allah menjagamu.


Nota kaki:
Berserah hanya selepas usaha. Usahalah untuk sediakan peninggalan terbaik. Kerjamu sediakan SOP dan mudahkan agar ia menjadi legasi. Anakmu, cukupkan persediaan, agar dia insan beragama. Pasangan dan keluargamu, santuni dan lengkapkan mereka dengan tanggungjawabmu. Dan selebihnya, Allah ada.

Thursday, 27 September 2018

Syurga Dunia


Untuk sekalian ibu dan bapa.

Kita hanya mampu menyelami nikmatnya melihat anak kecil membesar, andai kita melabur masa dan rasa bersama.

Namun, jika kita persis mesin wang atau pembekal gajet sohorkini atau pak supir ke kafe mewah rasa dan susun letaknya; barangkali mudah terlepas jiwa syurga dunia itu.

Sahabatku, nikmatilah dunia keibubapaan.
Mereka itu, yang perlu kita tanggung amanah, dan jawab soalnya 'kelak'.
Jangan kita meletak sesal disalah waktu.

Wednesday, 26 September 2018

Biar Berpayah Tapi Berhati



Di kala gerimis yang memanjat langit telah pulang menyembah bumi, kita masih memerah habis daya yang berbaki untuk usaha yang kita tidak letakkan hati.

Barangkali, harus dipujuk agar menatang apa yang mendatang, sebelum mampu memeluk apa yang dihajat.

Harus sujud sebentar bertemu Tuhan dahulu, baru mampu balikkan jiwa yang bisa bertahan.