Jurutrengkas

My photo
Menulis untuk memudahkan ingatan, biarpun tahu susah itu barulah 'hidup'.

Saturday 31 July 2021

Water Man #1

"Hope is the great force; it make you see what you want to see" The Water Man.

*senyum*

Hanya jika kita tahu apa yang kita kejar, dan percaya, baru kejar kita bertuju dan 'sampai'.

Kan. 

Thursday 29 July 2021

Giliran

Walau kita paling tahu, tapi belum tentu itu yang paling perlu. Hidup bukan mesti menjadi eksiklopedia paling tebal; memadai cukup fungsi dan mempunyai hati yang berfikir.

Hari baik yang kita kecap hari ini, mungkin esok gilirnya pada orang, kan. 

*senyum*

Tuesday 27 July 2021

Bateri

Sebesar mana juga kuasa yang disimpan di dalam bateri (mahupun bank kuasa), lama-lama surut juga produktiviti. Kuasanya masih kelihatan sebesar yang sama, tapi bolosnya lebih lekas. Seratus peratus yang tidak se-seratus peratus dulu.

Mahu terus nampak segak di papar layan talifon tanpa fungsi? Atau masanya, ada sel yang perlu disalin baru, dinaik taraf atau apa saja?

Kan. 

Sunday 25 July 2021

Bukan Buangkan Saja

Sampah wujud untuk dibuang. Tapi buangnya juga ada etika. Perlunya ikat, dan harus tentu bertutup rapat. Kalau salah hari bulan, busuknya kita yang mendapat.

Sama juga dengan semua 'sampah' dalam hidup. Dalam cakap. Dalam diskusi. Dalam fikiran. Dalam apa saja tentunya.

Buang biar dengan hati, agar tak tertinggal busuknya pula.

*senyum*

Friday 23 July 2021

Belum Tamat

Maraton itu larian yang panjang dan tentu penatnya bukan kepalang. Langkah-langkah longlai dengan baki kudrat tentu terasa sangat-sangat berat dan tiada yang lain sekadar mahu semuanya tamat. Serta merta!

Tapi.

Kita yang pilih maraton ini bukan?

Kita sendiri tahu, sebaik persediaan adalah tahu sebanyak perlu dan membina momentum daya tahan badan. Kita juga tahu, ia bukan pertandingan siapa cepat semata; ia pertandingan dengan diri. Pertandingan dengan kemampuan diri.

Dan kita yang pilih persediaan apa yang kita bawa setiap kali ke lapangan, kan.

*senyum*

Jom. Bangun. Maraton belum tamat. 

Wednesday 21 July 2021

Baiki

Bila ada salah, yang lebih penting bukan siapa yang salah, tetapi apa yang boleh dipelajari dari kesalahan itu.

Kerana apa yang kita ada, tak akan tertanggung seluruh ilmu yang bertebaran di bumi tuhan; apatah lagi langit dan bintang-bintangNya.

Pasti sampai nanti, gilir kita pula yang berbuat silap dan salah. Maka, eloklah lewat-lewatkan silap kita dengan belajar dari apa yang terjadi dan baiki mana yang termampu dek diri.

Kan.

Monday 19 July 2021

Membongkok Dengar

Berapa banyak dan tinggi juga sijil serta pengiktirafan, kita masih kekal manusia. Ya, barangkali manusia yang paling hebat, tetapi masih kekal manusiawinya; yang kadang berbuat silap, kadang berbuat salah.

Terbukalah.

Beri peluang telinga mendengar dan hati menapis. Emosi mungkin lebih reaksi, tapi dalam hal hidup, kita melangkah dengan tujuan akhir di kepala, bukan semata meronta yang mungkin mengundang sesal esok nanti.

Tak salah membongkok mendengar dari bawah, kerana sudut lihat yang terlalu tinggi mungkin terlepas apa yang berakar di bumi. 

Kan. 

Saturday 17 July 2021

Berhenti Sejenak

Hidup ini, kita perlu lebih banyak 'pause' dari bergerak dengan hati semata, Kerana hidup bukan bergalang seorang.

Ya, berhenti yang sekejap.
Barangkali hanya selama toma'ninah dalam solat.
Agar rasional dan gerak hati sempat bersulam dalam rasa.

Dan 'pause' tentunya bukan 'sabbatical'.

*senyum*

Thursday 15 July 2021

Bucu & Sudut

Tiap-tiap satu kisah, banyak bucu dan sudut yang boleh kita ambil dan lerai menjadi kisah-kisah baru; yang mungkin nanti jadi ibu buat kisah-kisah lain yang berjurai, hanya andai kita kisah untuk menghurai.

Jika itu fitrahnya, mana mungkin satu kisah hanya ada satu warna. Pasti ada jalur-jalur warna lain yang bisa terbit dari celah-celah sudut pandang.

Maka jangan sibuk menyalah atau semata membetul apa yang kita suka, bukalah sudut bincang agar yang berbeza jadi rencam mengukuh tiang, bukan menghakis penegak seri.

Percayalah, tiada siapa antara kita yang bodoh; yang ada cuma yang terbuka untuk berbincang atau yang tegar berkeras tak lumat dicincang.

Kita? Pilih. 

*senyum*

Tuesday 13 July 2021

Jalan Pintas

Bukan semua jalan pintas itu jalan yang terpantas. Ia mungkin jalan paling pendek, tapi jalan yang paling sukar dan perit.

Mengira dunia yang tentu menuntut pengorbanan, telitilah jalan mana untuk kita. Jika punya tenaga tiada waktu, jalan pintas saja pilihan. Jika sebaliknya, susurlah ke jalan biasa. Hujungnya, tetap ada satu sisi yang perlu dikorbankan. Kita tidak bisa punya kedua-duanya. 

Paling utama, betulkan tuju dulu. Jika tidak, kita bisa hilang kedua-duanya. 

*senyum*

Sunday 11 July 2021

Rasa Mana Dahulu

Kita ada seribu satu rasa dalam jiwa, dan kita boleh pilih yang paling membahagiakan atau yang paling perlu diutamakan pada mana-mana ketika dan waktu.

Yang penting, pilihan perlu dibuat; dengan sedar. 

Akhirnya nanti, kita yang perlu tanggung dan jawab atas pilihan kita, maka pilihlah yang paling berbaloi menerobos masa, dan bukan semata untuk detik yang ini.

Friday 9 July 2021

Cerita Berdikit

Kita bercerita dengan orang yang kita percaya.

Dan sepercaya mana pun kita dengan orang, masih ada cerita yang perlu kita simpan seorang, kerana kita sendiri belum boleh percaya sepenuhnya dengan diri sendiri, maka bagaimana harus kita percaya bulat pada lain manusia?

Percayalah lah pada yang perlu.
Dan bercerita lah sekadar yang perlu, agar tak bersarang menjadi arang, tak memendam sehingga karam.
Cukup sekadar lepas; dan geraklah lekas.

Masa tak banyak, kan.

*senyum*

Wednesday 7 July 2021

Bercakap Berat


Tidaklah seseorang yang bercakap itu mendengar, selain dari dirinya sendiri. Maka, tidaklah mustahil, pada mereka, yang betul hanya mereka sendiri; sepenuhnya. 

Sedangkan. 

Kurangkanlah bercakap, kerana masih banyak yang perlu kita tengok, baca dan teliti untuk buat bicara kita lebih berisi dan ulas kita diperhalusi; bukan ditaati dengan tuli.

Mahu besar mana lagi, kalau seluruh isi dunia hanya sang debu di alam semesta? 

*senyum*

Monday 5 July 2021

Kongsi

Ilmuan dulu, tetap catatkan hadith-hadith dhoif yang ada dalam kitab-kitab mereka, dan tentu dicatat tanda ianya dhoif. Mungkin nanti-nanti, ada kepingan suai padan baru yang melengkapkan padanan yang jadikan hadith doif tapi sebenarnya sebuah hadith hasan (atau juga palsu rupanya!).

Maka kenapa kita, perlu rasa paling hebat baru mampu berkongsi?

Mana tahu, ada idea-idea dan pandangan kecil yang mampu dikumpul jadi besar, atau setidak-tidak mampu di absahkan sebagai silap/salah.

Kan langkah ke-sejuta pun kena ada yang pertama, kedua dan seterusnya?

*senyum*

Saturday 3 July 2021

Telahan Perlu

Kawal cara manusia berfikir; dan kamu kuasai mereka. Keterdesakan hidup buatkan jalan membuat pilihan semakin runcing dan barangkali menutup semua jalan alternatif.

Benarlah; kita hanya seluas apa kita tahu dan apa yang percaya. Hanya manusia yang percaya bisa kian hidup; biarpun hakikatnya mereka menghampir mati.

Kuncinya, ilmu hanya akan membunuh kalau emosi yang menjadi pemandunya. Jangan menelah kerana emosi dendam, tapi menelahlah kerana ia telahan yang perlu.

Kan.

(catatan dari Kapal Terakhir Di Bumi tulisan Teme) 

Thursday 1 July 2021

Adiwira

Masalah perlu muncul dahulu, baru penyelamat mampu datang dan menjadi adiwira.

Jika tidak, orang yang berkuasa dan milik segala jenis sut, serta semua jenis senjata tidak terlawan, hanya berdiri sebaris dengan manusia kebanyakan.
Oh. 
Mungkin lebih rendah.

Kerana kita yang biasa-biasa ini sudah biasa dengan susah dan payah; dan setiap yang gagal 'membunuh' jiwa mahupun rasa, buatkan kita lebih bernyawa.

Rupanya betul, tiap akhir episod susah, akan datang kemudahan, dan kita naik 'level' lagi untuk tahap yang lebih susah dan 'melawan ketua yang paling besar'. Papan kawalan di tangan kita kan? 

*senyum*