Jurutrengkas

My photo
Menulis untuk memudahkan ingatan, biarpun tahu susah itu barulah 'hidup'.

Thursday 26 December 2019

Mulakan Dulu


Bagi setiap keruncingan yang besar, pastinya ada helai-helai halus peri kepincangan yang menjadi pati.

Maka sahabatku, layanlah setiap satu yang menerpa dengan selayaknya, sebelum ia membarah, hingga menolak rebah daya mandiri kita nanti.

Jangan bernanti-nanti.
Jsnhan berlantakkan sahaja.
Lebih mudah menolah musibah dari membina dari runtuh yang lerai rebah.

Friday 20 December 2019

Kerana Sayang

Allah uji, barangkali kerana kita lupa denganNya.

Jangan mengeluh.
Allah sayang kamu. 
Kan baik begitu, dari dibiar percaya berjaya yang sebenarnya nazak menghunjung jalanNya. 

Kan. 

*senyum*

Sunday 22 September 2019

Memenuhi Keperluan


Kadang manusia, memenuhi peraturan tanpa benar faham keperluan. Maka nanti, kita mengikut dengan tuli dan masih kekal salah serta disalahkan.

***

Bertudung, tapi nampak rambut dan dadamu.
Berjubah labuh, tapi masih nampak betis putihmu ketika membonceng.
Masbuq solat, tapi kami bangun sebelum imam lunaskan salam kedua.
Beriktikaf di masjid, tapi bicaramu pada salah orang dan gosip bergosip.
Mengiklaskan amalan, tapi checked in di fb dan belek berapa ramai like yang menjengah.

Oh

Harus bagaimana nikmatnya bisa sampai, andai yang dikendong hanya fizikal dan bukan spiritual pada tiap ritual yang kamu jiwa kan.

Barangkali, kita yang hanya berkerja tapi tidak mengerjakan kerja di kantor juga begitu kan?

Oh

Saturday 14 September 2019

Hilang


Kalau bukan kerana air yang hilang dari tangki-tangki di kantor (atau kewajiban jumaat) , laman Rumah Allah ini bisa terlalu jauh dari jadual kita yang sibukkan dunia.

*oh*

Sambil menyusun semula not-not seringgit yang rasanya terlalu mahal untuk terjun ke celah-celah tabung kayu usang itu. 

Thursday 12 September 2019

Untung


Dalam sibuk bank dan insuran berislah mencari islam, kita sibuk menyelak peluang menuju konversional?

Untungnya lebih?

Oh.

Untung yang benar untung itu bagaimana?

Wednesday 11 September 2019

Bukan Sekadar Mimpi


Berjalanlah dengan jejak kaki di bumi, tapi impian melayang menerobos langit, kerana kita manusia, lebih kerap sesal dengan peluang yang dibuang (bukan usaha yang dibaja).

Payah?

Percayalah, syurga itu bukan murah!

*senyum*

Tuesday 10 September 2019

Sepenuhnya Percaya


Percaya yang bulat.
Sepenuhnya.
Baik ke mana di bawa hala tuju. Lorong belakang,  sempit atau entah celah mana. Kita percaya sepenuhnya dan patuh. Setiap inci. Kerana hanya itu pegangan untuk sampai.

Dan selalunya, sampai.

*senyum*

Kalau aqidah pada aplikasi seteguh itu dibawa kepada aqidah beragama; percaya sepenuh percaya baik jalan mana yang ditembus tuju, pasti kita juga akan selalu sampai pada 'destinasi' yang dituju.

Monday 9 September 2019

Berpada-pada


Bilamana diberi ruang dan peluang, dan percaya yang buta tanpa periksa, maka baik bagaimana pun bisa jadi sukar nak menolak, inikan pulak bijak dan pandai yang membelit.

Berpada-pada pada segala, kerana manusia kekal kemanusiaannya.

*senyum*

Saturday 7 September 2019

Bercili


Masakan tanpa sedikit cili bisa pudar dan hambar. Maka, harus sedikit berasa dan pedas membekas ke lidah kita.

Begitu juga hidup.

Melintas semata lintas dan menunggu masa melewat usia tidak menjadikan kita gembira dan berjaya, kerana cili-cili hiduplah membuatkan jiwa lebih berwarna dan adrenalin lebih beralun.

Langgar saja dengan usahamu kawan, asalkan ada Allah, semunya lebih mudah kebah!

Friday 6 September 2019

Kita Pilih Yang Mana


Manusianya kita dengan serba kelemahan, maka jangan gebang apa yang kurang, gunakan apa yang lebih pada seboleh mampu.

Berasimilasi-lah dengan kelebihan setiap orang, agar yang dengar nanti hanya cerita yang berjaya dan buka siapa salah, siapa kalah.

Lebih?

Akal untuk berfikir, dan waras untuk pertimbang.

Thursday 5 September 2019

Tahu Dahulu


Menetap matlamat hidup, agar bergerak nanti ada hala nak di tuju.

Maka, ketahui kebenaran terlebih dahulu, sebelum bisa membuat keputusan yang tentu bukan terburu-buru.

*senyum*

Tidaklah salah mengikut khalayak yang ramai, hanya jika jalan itu benar-benarnya benar.


Monday 2 September 2019

Bukan Semata Guna


Sebersih dan kemas mana juga rumah, guna saban hari atau biar nanti tak berpenghuni, tentu juga berdebu dan pinta disapu. Berhabuk,dan boleh jadi berdaki kalau bersihnya biar bernanti-nanti.

Barangkali, hati juga begitu.

Bisa berhabuk dengan was-was atau fikir yang berentah-entah; atau
Sudahpun berdaki dengan rasa betul diri mahupun rasa paling benar.

*senyum*

P/s:
Mengemaslah dengan bermuhasabah,
Sentalkan daki dengan bertalaqi,
Biar kerap dan selalu, agar lurus jalan yang kita lalu

Sunday 21 July 2019

Menghidupkan Hidup


Marah itu wajar, tapi pilih antara memerah emosi atau mengatur ajar. Biar tenang yang menghadap situasi, baru kita nampak ruang refleksi seluas pandang.

Benar kata orang, dalam pada mereka salah, belum tentu kita ini betul.
Maka, berundinglah dengan niat dan bukan meletak hajat menunjuk hebat.
Baru susah tak terlalu payah dan berat tak terlalu sarat.

Mana tahu, hidup bisa lebih hidup, dan baru terasa segar dalam bernafas.

*senyum*

Thursday 18 July 2019

Abid Biarlah Berisi


Apa sahaja.
Ya, apa sahaja.
Perlu ada asbabnya.

Menurut tanpa bertanya, membuat kita hanya tahu amalan, tapi bukan jiwa. Baik dalam beragama, kerja atau hidup, berbuatlah pada yang kamu tahu.
Baru tahu nanti membibit erti dalam hati, dan merangkul rasa yang menjiwa. Baru amal kita ada roh, dan hanya yang ada roh bisa hidup.

*senyum*

P/S:
Bertatih dalam mencari tahu.
Berguru dalam mencari ilmu.
Payah, barulah namanya hidup.
Kerana yang berpayah sahaja baru tahu nimmantnya rasa.

Tuesday 16 July 2019

Bermudah-mudah


Allahu, rupanya marah itu mudah.

Nak memadam kesat kata yang menghentam dinding-dinding emosi yang susah.

Mengutip mainan kayu yang berderai dan sumbing dek berdentum di lantai tadi juga tak senang mana.

Membalut ruang mesra yang dicarik-carik riak seperti orang asing kekwat yang entah siapa itu juga ganjil situasinya.

Yang senang?

Marah saja.
Rektifikasinya nanti, biar tunggu menyesal datang, baru fikir dengan akal yang berulang.

Oh

Wednesday 10 July 2019

Selumbar


Selumbar
Dah buang
Dan berjalan
Tapi masih sakit

Oh

Rupanya
Lepas saban masa
Baru tahu
Ada lagi yang berbaki

Buang

Dan betul-betul teruskan hidup (move on)

Sakit, tapi berbaloi.

Monday 8 July 2019

Tiada Dakwa Dakwi


Dalam beragama, yang wajib tetap wajib, dan tiada berdolak-dalih padanya.

Andai kita mewajibkan yang lain atas asbab pilihan, ia tetap tidak menjadikan yang sunat/harus itu wajib kepada siapa pun (waima kita).

Belajar tidak akan pernah tamat wahai sahabat.

*senyum*

Sunday 7 July 2019

Betul Beradab


Betul, kita memang betul.

Tetapi, menjadi yang paling betul tidak juga memberi lesen untuk habis semua adab dilangkah bendul.

Berhemah dalam menyusun bahasa. Merendah suara menyusun hormat. Yang utama bukan siapa menang, tapi biar kefahaman meresap kesetiap urat benang.

Sesetengah kita mudah terasa.
Ada juga yang sedikit lambat menghadam.
Tapi itulah baru benar hidup yang tak bisa di padam.

Susah?

Barulah pelayar kalau ke laut; bukan berkalau dan berpeluk tubuh, sedang sauh kekal dilabuh!

Friday 5 July 2019

Tahu, Cuma Payah


Kalau bersih, ucapnya rasa manis, senyumnya membugar, membangkitkan jiwa-jiwa barangpun sedikit.

Mustahil pun, masih mampu diumpil pintu-pintu harapan, dan membuka jalan yang tak pernah ternampak puncanya.

Baru sedar, berfikir mampu saja sudah lebih baik dari menidakkannya.

Tahu?

Kalau kotor, apa saja bisa terus kotor.
Dan kotor saja bisa menutup mampu yang sedia terang bersuluh.

Oh.
Tahu.
Tapi lupa.

Tuesday 2 July 2019

Bagi Yang Memerhati


Ilmunya sama, cuma pakej harganya berbeza.
Ada orang, kena kutip dalam kelas beribu.
Ada orang, dapat dalam kelas beratus.
Ada orang, mencungkil dari sembang orang yang ahli secara santai sambil menikmati kopi.

Orang kata, ikut mana rezeki.

*senyum*

Yang pasti, ada ilmu dari setiap yang berlaku, hanya jika kita memerhati dan lebih peka. Menilai dengan rasa, menebak dengan jiwa, nanti nampak manfaat pada semua yang ada.

Bukan harus mengambil tahu semua yang dikata, tapi mengambil rasa jiwa yang bersuara.

Saturday 29 June 2019

Mengatasi Rasa


Jangan kerana kita berjaya biarpun bersusah dan berpayah, kita mendiskaunkan kejayaan orang yang lebih berkemampuan.

Semua berlari pada aras yang berbeza, maka menjadi diri sendiri pada versi yang lebih baik adalah matlamat. Maka, bersainglah dengan tanda aras kita dahulu, baru tahu jauh mana dah dituju.

Percayalah, menang belum tentu benar menangnya, dan kalah bukan tentu benar-benar kalahnya. Yang dinobat barangkali hanya satu dua dan tiga, sedangkan yang berusaha, dan melintas kemampuan norma lebih dari itu (atau tiada siapa!).

*senyum*

Maka benarlah, selagi masih ada jiwa dan rasa, kita tetap bisa jadi lebih baik dari yang terbaik; kerana 'hakimnya' bukan biasa-biasa.

Allahu

Friday 28 June 2019

Hubung dan Kait


Yang penting, bukan berapa sama kita dengan orang, tapi berapa sama kita dengan diri sendiri.

Bukan hubungan tu yang membentuk kita, tapi kita yang membentuk hubungan itu adanya. Maka, hiduplah dengan versi terbaik kamu dan sentiasalah memberi dalam bertolak dan ansur.

Hidup ini penuh dengan entah-entah, dan dari memikirkan entah apa lagi, baiklah bertindah dan berlaku seperti mana kita mahu dilakukan orang.

*senyum*

Tuesday 25 June 2019

Mencicah Bukan Pada Yang Tuli


Bincang beralas ilmu, bersilang pandang pun masih mampu tenang. Membiar jalur fikir dilontar disambut, dibalas kata yang sarat ertinya. Maka yang untung, hanya pada yang mahu berfikir.

Baik muda mahupun tua, mentah atau yang sedang masak elok, semua punya padang yang sama mencicah ilmu yang bertabur bak peluru.

Tapi.

Andai pancang sembang hanya emosi dan entah-entah, kosong dan melayang sesedap rasa; diam lebih elok.

*senyum*

Tuli tetap takkan dengar; maka senyum dan diam sebaik laku.

Monday 24 June 2019

Setitis Dari Lautan


Seandainya, apa yang dibincangkan, tidak pernah dibuktikan benar dan diluar dari makna yang pernah kita tahu, jangan menghukum dengan kata salah atau palsu.

Entah mungkin, ia sebahagian lautan ilmu yang mana kita hanya teroka setitis darinya.

Bersangka baik dan berlapang dada lah sahabat. Baru terang bisa lebih terang, dan langkah lebih susun terarah.

*senyum*

Monday 17 June 2019

Meletak Pada Laluan


Letak lah di mana sahaja, asalkan bukan menidakkan hak yang lain. Laluan ini bukan hak siapa yang mutlak, tapi adat berkongsi, sama beringat sambil sama memberi. Ada masa kita perlu melepaskan izin, dan lain ketika laluan dibuka untuk kita.

Laluan ini ada di jalanan. Ada di lapangan. Ada di kerjaya atau hal hidup semata-mata.

Asalkan tahu, ia hak yang dikongsi sama, pasti aman menyusun hidup, dan susah kita tidaklah menyusahkan.

Sunday 16 June 2019

Rencam Pada Warnanya


Pada setiap satu perancangan, banyak rencamnya. Seorang pasti tidak mampu membuatkannya sempurna, maka berkongsilah sedikit usaha pada yang ahli.

Biar seluas mana kita memandang, ada belakang yang tidak kelihatan, dan pasti juga bayang-bayang yang menutup ruang. Maka, belajar mengambil pandang dari yang lain, baik sama mahupun berbeza disiplin, agar yang diputus bukan semata gerak hati, tapi langkah yang penuh berhati-hati.

*senyum*

Betul lah.
Menganyam dengan banyak warna dan besar kecil siat mengkuang, baru menawan hasilnya siapnya nanti

Saturday 15 June 2019

Faham Dan Hadam


Percayalah dengan celik, dan bertanyalah pada yang kabur, kerana menerima sahaja yang disumbat tanpa dahulu memeriksa, ibarat sampah keladak yang menutup ruang-ruang berfikir kamu.

Ambil tahu dan hadam dengan kefahaman, agar berpesan dengan aman, dan melangkah dengan barakah. Baru sedap benar sedap, dan diam menjadi hikmah.

*senyum*

Thursday 13 June 2019

Sekadar Pembaca Skrip


Bila yang mebutir pada lisan hanya sekadar rutin, bukan bilah kata yang menurut dari jiwa, kita hanya hidup pada skrip-skrip yang tak siapa ambil kisah erti dan pengertian.

Apatah lagi, hanya salin dan tampal dalam kumpulan-kumpulan bicara, tanpa pernah kisah untuk mengambil ibrah sebalik kata yang dibahasakan.

Esok, balik petak mula, dan tak ada siapa ambil tahu tentang jabat semalam.

Oh.
Tipu.
Dan yang tertipu hanya kita yang sangkanya berjaya menipu.

Tamat.

Tuesday 11 June 2019

Secukup Rasa


Rasa cukup bukan perlu menanti banyak.
Memadai, kita menikmati apa yang kita ada, dengan cara yang kita mampu.
Memadai, kita percaya ada bahagian orang pada setiap sedikit yang kita ada.

Rasa cukup bukan membunuh jiwa maju dan berjaya.
Cuma, ia tidak menghukum kita yang sedang berusaha kerana jayanya belum tiba.
Memadai, menghargai pelajaran hari ini untuk bekal esok yang lebih boleh diusahakan.

Benarlah telahan orang, rasa cukup adalah untuk orang berjiwa besar.
Dan.
Tiadalah yang lahir-lahirnya terus menjadi besar tanpa melalui payah susah berjiwa kecil.

*senyum*

Monday 10 June 2019

Berusahalah Dengan Kecukupan


Dalam bersyukur dengan rezeki yang kita terima, jangan berdengki pada rezeki yang diterima orang. Biar usaha yang datang berganda, kerana Allah suka pada yang mencuba.

Percayalah, pada banyak yang diterima mereka, tidaklah ia sedikitkan apa yang kita terima.

Senyumlah, dan hiduplah dengan gembira.

Akhirnya, bukan harta yang membeli bahagia, sebaliknya jiwa besar yang menjadi utama!

*senyum*

Friday 7 June 2019

Anak Fitrahnya Berfikir: Perhatian


Membelek buku membaca, dan satunya yang mengeja. Ada yang betul. Ada yang ketawa saja bila tersasul; dan ini lebih kerap.

Menulis aksara A kecil yang kadang seperti D di cermin dan kadang seperti p terbalik. Tertawa. Dan lebih baik betul cara dari semata marah untuk lawa.

Benarlah, bila mana anak rasa mereka 'berkeluarga', tidak perlu susuk televisyen itu untuk mereka gembira. Biar sahaja tawa dan senyum menguntum waktu, dan panjang malam terasa suntuk.

Mari, bunuh penat kita dengan matlamat. Matlamat melihat senyum si anak mekar hari ini, untuk peribadi esok yang belum tentu untuk kita.

*senyum*

Thursday 6 June 2019

Harus Ditunggu?



Jika pandangan dan rasa kita tidak lagi diperlukan, kenapa harus lagi kita menunggu?

*senyum*

Sahabatku.
Hidup ini rencamnya tak pernah monotone. Ada ketika condongnya ke kita, dan kadang yang lain menyondong jauh dari mata.
Berlapang dadalah, kerana bukan semua mampu kita corak dan ubahkan.
Buat sebaik mampu, dan mengharap bukan pada manusia (kerana mereka juga pengharap seperti kita).

~Maka harus tunggu?~

Itu, aku pulangkan pada kamu.

*senyum*

Saturday 1 June 2019

Bukan Semata Bina



Bila melabur masa yang baik tuk keluarga, terasa lebih sayang pada setiap detik. Benarlah, rasa dan jiwa itu hidup. Segar bila betul dijaga, dan bisa layu andai terbiar sayu.

Ambil peluang betul diri, melihat potensi yang belum kita temui. Tiada siapa sempurna, maka saling melengkapi, agar pedas sama dicicip, manis sama dinikmat.

*senyum*

Sunday 26 May 2019

Bertuju Melangsung Hidup


Panel sesentuh bisa retak seribu, dan hanya 'screen protector' mengelaknya berderai. Namun, masih mampu hampir se'responsive' dahulu.

Barangkali ia tahu, hanya kekal berfungsi membuatkannya terus relevan di tangan dan tidak dicampak buang.

Oh.

Makhluk seperti itu sendiri mahu langsung dengan hidup, kita yang berakal mahu mati sebelum ajal?

*senyum*

Barpun jalanmu sebenarnya buntu, hiduplah dengan hala dan tuju, baru kamu bisa maju dan terus melaju.

Tuesday 21 May 2019

Berhenti Untuk Begerak Semula



Dalam kita menempuh rutin yang entah bila habis jangan dilupa kita ada hidup yang hendak dihidupkan, ada jiwa yang perlu kita didik menjadi insan.

Maka dalam sibuk menyusun waktu, berjeda lah sebentar; menyusun semula diri dan gerak semula.

Jeda mu bisa dengan solat, atau memadai menilai pandang dengan syukur dan senyum.

Semoga yang disayang tahu kita sayang; yang menghargai tahu kita sama seerti.

*senyum*

Monday 20 May 2019

Menilai seribu satu rasa dalam menerbit kata.


Apabila derap jari menaip di papan kekunci menganti kata yang bergetar di lisan, apalagi guna bertentang mata kalau skrin kecil di telapak tangan juga menjadi pilihan.

Yang keluar untuk bersoreh, yang bertemu melepas rindu, atau sekadar berkumpul meraih kenangan, natijahnya masih sama: melainkan kamu berhenti memenatkan diri dan sosialmu.

Monday 15 April 2019


Bagaimana hati itu berbolak balik, begitu jugalah respon kita pada tiap dugaan menetap iman.

Maka tentu sahaja langkah memahat ilmu dalam hidup tidak pernah berakhir, kerana faham kita belum tentu betul, amal kita belum tentu sempurna; maka merendah dirilah pada Maha Pencipta.

Semoga tiap titip ilmu di jalanan panjang kehidupan mampu kita hadam langkah demi langkah, dan kita terjemah dalam hidup yang benar hidup.

*senyum*

Saturday 13 April 2019

Mahu Bawa Ke Mana?

Selamat
Setakat mana mahu dibawa harta itu? Kalau bukan hak, nanti nikmatnya tetap tidak akan sampai. Bukankah berdikit tapi nikmat lebih baik, dari banyak yang entah apa rasanya (kosong).

Oh.

Barangkali terlalu menilai sehingga terlupa bersyukur; hingga jiwa terkulai menanti rebah tersungkur.

Tuesday 9 April 2019

Mengira masa yang aku buang untuk kesedihan



Sekecil-kecil hati, sakitnya bisa membunuh seluruh jiwa, kerana kita membiar sakit itu menjadi nadi setiap sendi yang bernyawa.

Mengira masa yang aku buang untuk mati dengan kesedihan, aku tekad mahu hidup biarpun hanya jantungku sahaja yang berdegup.

Setakat mana tekad ini melekat?

Aku tidak mahu kejian dan sinis kamu.
Cukuplah kamu biar aku bangun sendiri, jika bukan membantu.

*senyum*

Sunday 24 March 2019

Anak Fitrahnya Berfikir: Puji


Hukumnya sama, jiwanya masih bertatih mengenal salah dan betul. Tentu saja langkahnya sekejap padu sekejap layu. 

Berpada-pada pada semua.  Pada patuh, tunjukkan kita setuju. Berterima-kasih bila perlu. Puji bila sikapnya terpuji. Baru anak tahu mana lampu hijau mana lampu merah.

Jangan harap mereka sentiasa lurus,kerana kita sendiri tak selurus mana. Bimbing. 

*senyum*

Thursday 21 March 2019

Tahan Mendidik


Bijak andai kita memilih mendidik diri, dan bukan semata menahan rasa dan kehendak.

Andai ditahan, sekali pecah tahanannya bisa lagi rakus dari asal dan tidak terbendung. Kalau dah di didik, bijaknya nanti bisa nampak biji dan butir, baru cantik lebih terukir.

Sama juga, bab makan minum. Bab hati. Turut sama bab masa, atau apa saja.

Betulkan punca, bukan semata melekas mengejar masa.

Wednesday 20 March 2019

Bercukupan Semua



Adat bersaudara, pasti ada balah mahupun berbuat salah. Penting, pada apa reaksi balas; dan bukan semata menang.

Belajar meletak cukup, agar sempit tak pernah terhimpit, dan lengkap dengan yang ada.

Semoga Allah permudahkan setiap urusan kita. Lapangkan rezeki kita dan beri kita rasa sayang dengan orang sekeliling kita.

Saturday 9 March 2019

Yang Dikejar Lupa





Paling sibuk. Penuh manusia bersilih pandanganmu bertukar senyum yang entah nampak atau tidak. Mengekor manusia-manusia lain yang kejarnya tak pernah habis. 

Masuk. Dan duduk. 
*senyum*
Barangkali ada perenggan yang boleh dihabiskan bacaan dalam menunggu waktu berlepas. Dan ia aman. 

Oh. 

Lupa. 
Ada waktu yang bakal selisih, dan aku masih belum tunaikan. Betullah manusia, lupa, bila terlalu dunia. 

Bangun. 
Tandas sebentar. 
Dan ke sorok sudut yang sedikit jauh. 
Dan takbiratul ikram. 

Ameen

p/s:
Yang wajib, wudu'mu, peri mu dan bacaan. Mana mungkin tiada ruang menunai sujud mu, sedangkan bumi seluas pandang.

Wednesday 27 February 2019

Memandang Bila Tiada 2


Melusuri ruang yang mana kita ini minoriti, membuat kita kenal siap diri. Berselisih bahu bertukar salam pada yang bukan sebangsa, baru kita benar tahu, agama bukan hanya untuk satu bangsa.

Terperosok di celah pesat kota, masih ada orang mahu beramal dengan agama. Sedang, kota yang berselang seli masjid berdiri, bisa berkipas lebih dari jemaah yang bersujud.

Mungkin. Perlu sekali sekala hilang, baru tahu timbul tenggelam.

Oh

Monday 25 February 2019

Suntuk Yang Cukup


Kita hanya mampu mencukupkan waktu pada yang kita letakkan dulu, dan tentu dari segala rimbun suasana peristiwa, pasti yang terpetik dek kita hanya seberapa.

Bukan kita ada nyiur nak di tadah, maka berpada dengan tertampung dek telapak tangan.

Memilih dengan ilmu, agar susun susuk waktu pada tempat tuju; dan lebih dari sekadar libur yang sementara.

Bertatih tidak salah, asalkan bersungguh mahu berlari.


Sunday 24 February 2019

Faham Bukan Seorang


Fahamkan,dan betulkan kebiasaan.

Ilmu itu sendiri seluas-luasnya, maka bertebaranlah belajar dengan pelbagai guru serta alam ini. Bertalaqilah, agar fahaman kita, sefaham guru. Biar berdikit, tapi kekal melekit tak bisa hilang.

Rujuklah pada yang pakar. Bukan dari seorang. Bukan juga terima sebulat kata, kerana ilmu itu tafsiran manusia. Buka peluang belajar dan belajar semula; berkali-kali.

Tundukkan pandangan kita, dan hormat guru kita, biarpun sebiasa manapun dia.

*senyum*

Friday 22 February 2019

Yang Kita Tempuh, Bisa Berbeza


Susuk jalan yang sama, mampu menelan seluruh waktu, sedang pada ketika yang lain seketika sahaja hujungnya kunjung tiba.

Maka, jangan dinilai manusia dengan jauh jalan dilalui mereka semata. Ada jiwa dan rasa yang membalut setiap langkah, yang menjadikan setiap langkah bermakna.

Friday 15 February 2019

Memandang Bila Tiada


Melusuri ruang yang mana kita ini minoriti, membuat kita kenal siap diri. Berselisih bahu bertukar salam pada yang bukan sebangsa, baru kita benar tahu, agama bukanhanya untuk bangsa ku.

Terperosok di celah pesat kota, masih ada orang mahu beramal dengan agama. Sedang, kota yang berselang seli masjid berdiri, bisa berkipas lebih dari jemaah yang bersujud.

Mungkin. Perlu sekali sekala hilang, baru tahu timbul tenggelam.

Oh

Wednesday 13 February 2019

Hidup Hari Ini


Kadang kita menjual hari ini untuk esok; sedar-sedar silap semalam tidak terbeli dek harta kita nanti.

Dalam merancang membuka serelung lagi tanah, jangan lupa menanam benih, dan memetik buah buat dicicah manisnya sama.

Hidupkan hidup mu hari ini. Syukur dengan nikmat dan duga; pasti Allah titipkan bahagia. Jangan bertangguh esok untuk senyum bahagia, kerana esok belum tentu untuk kita.

*senyum*

Tuesday 12 February 2019

Paling Tahu Dan Betul


Dalam menongkah jalan-jalan baru, agar senget dan bengkok kita mampu luruskan, sedar-sedar, kita sendiri jadi penyusah dan penyebok yang tidak tentu pasalnya.

Oh.

Menjadi bijak tak salah. Tapi merasa kita lebih bijak, dan kita paling betul, rupanya masalah, dan tentu ia lebih besar bila kita mencari penegak pada benang-benang yang lencun dihempas hujan.

Maaf untuk ini.
Dan maaf juga untuk yang dulu-dulu.


Friday 8 February 2019

Anak, fitrahnya berfikir; Masa


"Babah belum balik?"
"kita dah makan dan nak tidur pun babah belum balik"
Oh.
Bukan limpah buku. Bukan mainan berlonggok situ. Bukan mewah makanan tak tercatu. Setidaknya, bukan sepenuhnya.

Yang penting, hadir dalam sedikit masa mereka. Senyum yang dilihat sendiri, peluk dan usik yang dirasa sendiri, dan gelak tawa yang didengari sendiri, itu lebih penting.

Zaman kanak-kanak mereka tak lama. 'Curilah masamu selagi mampu, sebelum ianya tidak lagi laku dalam pertimbangan mereka.

Oh.

Tuesday 5 February 2019

Belajar Pada Faham



Kita barangkali pernah terlalu muda atau terlalu beremosi, tapi ia bukan alasan untuk kekal begitu dan tidak menjadi lebih baik.

Nilaikan niat, dan nilai semula matlamat. Barangkali, ada tuju yang kita perlu hala semula, dan jadi manusia yang lebih bermakna.

Bertolak ansur tidak pernah melemahkan, andai ansur kita pada maslahat dan berdiri tetap berprinsip.