Jurutrengkas

My photo
Menulis untuk memudahkan ingatan, biarpun tahu susah itu barulah 'hidup'.

Friday 28 December 2018

Perpisahan itu pasti



Tika perpisahan itu sudah terlalu jelas, pasti hati menempa jiwa agar cukup bersedia untuk menempuh saat-saat itu.

Namun pasti, bila ia benar terjadi, atmosfera rasa bisa merempuh tembok air mata dan menikam jiwa rasional dengan momen manis pahit kenangan.

Manusiakan saja rasa itu. Bebaskan seketika sebu yang lelah ditakat-takat kamu. Dakap masa itu dan biar terhenti detik untuk dirakam buat kenangan. Kemudian lepaskan. Dan senyum semula.

Doakan ini bukan perpisahan, tetapi satu peluang melafaz semoga bertemu lagi.

*senyum*

Notakaki:
Bersedia mana pun dengan satu perpisahan pasti ia terkesan bila sampai masa.
Maka, pasti lagi terhempas rasanya, jika kepergian itu tidak dirancang.
Apatah lagi, ia kepergian ke alam abadi. 

Wednesday 26 December 2018

Anak, fitrahnya berfikir: Pilih


Jangan kerana gemarkan ketayap, hanya dibelikan ketayap pada setiap singgahan.

Sebaiknya, jemput anakmu sekali. Dukung kalau perlu. Buka mata mereka melihat segala aneka rasa dan warna, dan meletak pilihan pada kuasa mereka. Percayalah senyum dibibir mereka itu lebih bermakna.

Maka, begitu jugalah cita-cita.
Begitu juga pilihan harian.
Pilihan hidup.

Pertanggungkan pilihan atas mereka.
Andai mereka tidak sampai, dukungkan 'tahu' mereka separas perlu dan buka pilihan yang terbentang. Biar setiap pilihan itu, pilihan hidup dan mati. Baru nanti membawa erti.

*senyum*

p/s: biar salah-salah kecil membentuk peribadi besar, kerana kita bukan tidak mati untuk pilihkan seumur usia mereka nanti. 

Monday 24 December 2018

Tingkah Laku, Berpandu Tahu



Percayakan usaha, dan bertindak sehabis daya, barulah perancangan sebaik mampu, boleh berjaya.

Berandai-andai hanya layak pada diskusi dan berlebih-lebih padanya hanya membunuh prestasi.

Beza besar pada yang tahu dengan yang laku. Jadilah keduanya, kerana ia sebaik-baik kedudukan.

*senyum*

Saturday 22 December 2018

Anak, fitrahnya berfikir: Jawapan


Berkatalah akan kita...
"Janganlah banyak bertanya, buat sahaja."

Maka jangan dimarah, jika mereka terdidik berbuat dahulu atas naluri, mengkemudiankan fikir untuk belajar pada situasi. Meninggalkan perincian dan membetulkan bilamana ada salahnya nanti.

Rupanya, kita yang melentur buluh untuk turut saja apa kelok angin, tak payah fikir bagaimana berdiri tegak.

Oh.

Friday 21 December 2018

Rakamkan Ibrahnya




Wahai manusia yang mengembara, pandanglah alam dengan mata hati. Menghurai setiap frame waktu dan situasi yang menjentik akal fikir, dan rakamkan buat ingatan.

Rakam, untuk ingatan.

Bukan semata berhimpit dalam simpanan bimbit atau di media sosial yang kamu hanya mengira butang kongsi dan suka dari manfaat pada bangsa.

Belajarlah untuk belajar, kerana Alam 'cikgu' yang penuh ilmu.

*senyum*

p/s: rakam itu boleh jadi dengan tulisan, dengan suara, sekadar foto atau apa sahaja, asalkan bermanfaat baik; biarpun hanya untuk kamu seorang.

Thursday 20 December 2018

Anak, fitrahnya berfikir: Soal



Menyoal akan mereka, bukan menguji apa yang kita tahu, tapi memahat peribadi dan isi diri untuk kemudian hari.

Letakkanlah bijak dalam menyusun kata, dan berikanlah jawapan ikhlas mendidik, maka tentu saja ia tidak berbunyi
Hummm..
Yela tu..
Entah...
Eh sibuk je lah...

*senyum*

p/s: Kamu tiada masa untuk itu? Barangkali kamu lebih tiada masa membetulkan mereka bila sudah terlewat nanti.

Wednesday 19 December 2018

Headline



Membaca dari tajuk siaran boleh menimbul pelbagai andaian.

Selidik dan halusinya dahulu. Belek mana yang mampu, baru rumuskan. Percayalah, kadang berita ada keperluan untuk memilih kata yang menarik mata dan tanya, maka tentu saja ia bukan naskah penuh, dan mana tahu ia juga bukan isi terpenting.

Tabayyun.
Baca dengan lapang dada dan susuk ilmu, insya Allah yang dicari akan ketemu.

Monday 17 December 2018

Ibrah si kacang putih 2




Biar sebekas, isinya berbelas. Penuh mengisi balang-balang berbalang.

Kita pilih satu persatu bukan? Selesaikan yang selesa di jiwa, dan kemudiankan yang bukan citarasa, tapi tetap sebalang ini akan dihabiskan.

Begitulah rungsing dunia mu.
Pilih yang mana yang mampu kamu habiskan dahulu, baru selesaikan yang lain kemudian.

Begitulah pada peri sahabatmu.
Pilih-pilih pekerti yang kamu mahu hadam, yang lain kamu kebelakangkan.

Harusnya hidup ini adalah pilihan, dan pemilihnya kamu.

*senyum*

Sunday 16 December 2018

Maafkanlah, Sangat.



Dengan memaafkan, kita tidak akan memanjangkan masalah. Ia adalah langkah awal untuk kebaikan sendiri.
(Kekuatan Terapi Maaf by Endah Faizal Aziz.)

Maafkan dulu.
Nak melupakan atau tidak, itu kemudian

Monday 10 December 2018

Kita, Apa Yang Kita Usahakan



Everybody is the winner, as long as they put their heart on every effort. Take one step once, built the momentum, and believe in you.

Find what suit you best, and keep practicing like a beast. In this world, nothing is perfect but, of course, if you keep practicing, and perfecting the way you are, you can being the best version of you. After all, the biggest room in this world, is room for improvement.

Take the chance now and be the better version of you. The choice, is yours.

Thursday 29 November 2018

Bunuhkan Andaianmu




Sering manusia membuat andaian dengan situasi, dan memberi kesimpulan pada hal yang samar-samar.

Percayalah, dibawah terik matahari tengahari pun kita bisa terlepas pandang syiling yang bergolek ke bawah bayang-bayang kerusi, bagaimanalah kita bisa jumpa kalau dalam gelap yang hanya ada gelita.

Bunuh andaian kamu dengan fakta wahai sahabat.

Tabayyun.

*senyum*

Sunday 25 November 2018

Kisah Yang Kita Kena Ambil Kisah

Ada banyak cerita yang kita tidak tahu, kerana bonda hanya bercerita mana yang difikir perlu.

Sedangkan, masih ada seribu kisah, yang beliau biar tidak berendah.

Kisah-kisah ini rupanya lebih penting, bagi memanusiakan kita sebagai insan.

Wednesday 21 November 2018

Ibrah si kacang putih



Jangan percaya pada gelarannya, kerana kacang-kacang di balang ini lebih hijau, kuning dan koko berbanding putih. Lantas, gelaran sang penguasa, gelaran sang manusia, atau apa saja yang terpalit gelar bukan apa-apa.

Bingkas bangunlah punggung-punggung malas yang memberatkan usaha.

Mulakanlah sesuatu.
Biarpun sesuatu kamu itu kecil, ia lebih baik, dari menumpang pada nama yang digelar orang!

Thursday 8 November 2018

Penawar Semua


Fitrahnya, kita bisa berselimut khuatir. Segala jenis khuatir.

Lantas, sang mata-mata bermain sifat khuatir dan gusar kasar manusia itu untuk segala macam niaga.

Lakulah segala ubat kuat, ubat cantik, ubat bijak yang penawarnya sekalian jenis sakit yang bakal disebut lidah. Maka harganya tentu tidak bisa murah, kerana ia bukan biasa-biasa.

Dan kita? Percaya bulat, dan bulat?

Oh.

Patutlah entah siapa-siapa bisa sahaja menjadi kaya. Rupanya kita mahu berhabis untuk cakap-cakap mereka;biarpun perlu ditarik yang dah di mulut. 

Monday 5 November 2018

Rindu Si Tua



Barangkali, ada anak kecil yang dirindukan ibu tua ini. Cucunya barangkali, atau mana tahu anak perempuan yang tidak diketemui puluhan tahun. Yang jelas, ada rindu,dan rindu itu berat, serta memberatkan.

Wahai manusia di luar sana, ada kerinduan yang anda sebabkan dan bisa anda ubati dengan hanya pulang bertemu?

*senyum*

Friday 2 November 2018

Payah



Dalam dunia yang maha payah, rupanya jawapannya tetap Dia; Maha Esa Allah.

Tapi, betul, memang payah.

*senyum*

Kerana itu lah, jawapannya yang Maha Esa, bukan biasa-biasa.

Wednesday 31 October 2018

Sedikit, tapi terus konsisnya.



Simpan la sedikit.
Sedekah la sedikit.
Jihadkan sedikit.
Sesungguhnya berbanyak-banyak bisa melemaskan dan melekakan maka berdikit-dikit dan beralas setakat mana mampu.

Friday 19 October 2018

Timbang dan Tara



Hidup ini tentang menimbang risiko
tentang membuat pilihan,
dan bertindak.

Halangan dan dugaan itu benar;
kemenangan bagi orang yang bersabar
dan bersyukur juga benar.

Hidup mu
Jalan kamu
Kamulah memilihnya.

Wednesday 17 October 2018

Kasut Putih



Seputih-putih ia lahir, cantik dipakai segak digaya. 

Tapi ianya tentu mudah kotor.
Basuhnya juga payah, tetapi perlu, agar kotor tak jadi degil, nanti meletak tak mahu hilang. Nanti berkapur pun masih nampak kotornya.

Begitu juga hidup.
Hati lahir seputih-putihnya, tapi mudah saja kotor berbanding payah mengekal putih. Tapi perlu sentiasa dibersih, agar yang lekat bisa hilang, yang kekal tetap fitrahnya.

Tidak akan sama seputih awal?

Tidak mengapa, kerna kita tetap berusaha, dan yang dinilai bukan siapa kita mula, tapi akhirnya bagaimana.

*senyum*

Tuesday 16 October 2018

Panggilan Pulang



Seorang lagi sahabat, masanya telah tamat.
Dia telah dipanggil, untuk fasa kemudian,
sebelum dihitung dipengakhiran.

Alhamdulillah, pergi dia dengan baik.
Ucapan baik, dan ingatan baik.

Itu dia.
Cara dia.
Kita? Belum tentu.

Biar basah istighfar di bibir, kerana rapuh jiwa kita tidak tertampung duga tanpa Dia.
Dan panggilanNya kadang tak beramaran, maka sedialah sentiasa untuk terpilih.

* * *

Kadang
Aku berharap panggilan aku sesegera hari ini, agar masih ada buah baik nak dikata dan insan nak mendoa.

Tapi

Buku aku masih merah kalau tak kosong!

Allahu.

Saturday 13 October 2018

Nyaman Yang Membunuh




Pada sedar, yang mana dinding realistik kita kian kaku dan sukar dilentur, pastilah rupanya kita sudah terjerumus dalam keselesaan; tenggelam dalam fikir yang keras tepungnya.

Harus dicair bancuhannya semula, atau keluar dari produksi roti putih, berevolusi pada biskut dan roti bakar sahaja.

Rupanya, terlalu nyaman juga membunuh, apatah lagi tidak berubah.

Thursday 11 October 2018

Percayalah, ia berbaloi untuk dilelahkan



Beristeri itu tidak sukar.

Lebih sukarnya pada menjadi alasan untuk isteri itu terus-terusan sayang  dan kita berperi serta bertingkah laku seperti sayang itu selayaknya kita pangku.

Ia bukan beban, tapi peluang memampan sayang. 

Percayalah, ia berbaloi untuk dilelahkan.

Tuesday 9 October 2018

Itu, Lurus



Allah adakan sesuatu pasti ada hikmahnya. 

Maka, benarkah lah Islam mu, agar lurus kita benar lurus dan percaya kita, benar percaya.

Dikira nanti bukan semata lisan, tapi juga hati yang bernadi, dan tulang-temulang yang beramal.

Monday 8 October 2018

Hidup Perlu Terus (Bukan Hanya Memandang Tembus!)



Solat itu tiang seri,
Lagi berseri berjemaah cukup

Bulat hati mencari erti,
Lagi beerti mentelaah hidup.

Jangan memandang kosong kaku pada dunia,
Kerana setiap kelongsong waktu, ada isinya

Hidup jangan berandai
Kerana entah-entah bisa memfitnah,
maka muhasabahlah pada tiap makalah.

Thursday 4 October 2018

Mati Ini, Boleh Kita tangguh?




Aku tak boleh mati dulu, anak-anak masih kecil. Ramai.

Aku tak boleh mati dulu, banyak cita-cita dan harapan masih di senarai.

Aku tak boleh mati dulu, kerana aku belum puas menikmati hidup.

*senyum*

Hakikatnya, sediakan diri untuk temu Dia, nanti Dia akan sediakan juga untuk kamu bisa tinggalkan.

Jagalah Allah, Allah menjagamu.


Nota kaki:
Berserah hanya selepas usaha. Usahalah untuk sediakan peninggalan terbaik. Kerjamu sediakan SOP dan mudahkan agar ia menjadi legasi. Anakmu, cukupkan persediaan, agar dia insan beragama. Pasangan dan keluargamu, santuni dan lengkapkan mereka dengan tanggungjawabmu. Dan selebihnya, Allah ada.

Thursday 27 September 2018

Syurga Dunia


Untuk sekalian ibu dan bapa.

Kita hanya mampu menyelami nikmatnya melihat anak kecil membesar, andai kita melabur masa dan rasa bersama.

Namun, jika kita persis mesin wang atau pembekal gajet sohorkini atau pak supir ke kafe mewah rasa dan susun letaknya; barangkali mudah terlepas jiwa syurga dunia itu.

Sahabatku, nikmatilah dunia keibubapaan.
Mereka itu, yang perlu kita tanggung amanah, dan jawab soalnya 'kelak'.
Jangan kita meletak sesal disalah waktu.

Wednesday 26 September 2018

Biar Berpayah Tapi Berhati



Di kala gerimis yang memanjat langit telah pulang menyembah bumi, kita masih memerah habis daya yang berbaki untuk usaha yang kita tidak letakkan hati.

Barangkali, harus dipujuk agar menatang apa yang mendatang, sebelum mampu memeluk apa yang dihajat.

Harus sujud sebentar bertemu Tuhan dahulu, baru mampu balikkan jiwa yang bisa bertahan.

Tuesday 25 September 2018

Memukal Rasa Untuk Satu Sisi Pandang


Memukal sebangsa manusia yang berbeza dalam satu keperibadian dan sikap adalah kurang adil.

Tetapi, ini teguran terus kepada segolongan yang sama minatnya, sama perilakunya dan sama tindakannya. Ia teguran atas sikap. Bukan susuk tubuh.

Maka siapapun kamu;
merompak hak, melelong maruah ia terang-terang bangsat.
menyalahguna kuasa, mengambil suap, ia terang-terang batil.
Dan siapa pun kamu; kembali ke fitrah.

Allahu.

Ar-Rahman. Ar-Rahim.
Engkau berikan hidayah pada mereka ya Allah, semoga mereka beriman dan adil.
Sesungguhnya Engkau yang meninggikan darjah manusia yang Engkau pilih dan Engkau juga yang merendahkan darjat manusia yang Engkau kehendaki.
Ameen

Sunday 23 September 2018

Somebody Deserved The Hug

When they gave their best, and they reach their peak; but still come short, they deserved the hug.

A true one!

Thursday 23 August 2018

Praktismu Bisa Sempurna?

Silap kita.
Bila gagal, hentikan. Fikir cara baru, semula.
Tunding jari.
Sana yang salah, sepenuhnya.

*senyum*

Tiada sempurna pada manusia.
Pada hati, emosi atau pada hidup dan mati.
Yang bernyawa pasti ada kelongsong kosong. Bisa kurang dan berlompang.

Maka wahai hati, carilah tapak untuk berdiri. Didiklah jiwa untuk berusaha.

Jangan berambus dek jumpa pagar, tapi kita langgar sehingga tembus!!