Jurutrengkas

My photo
Menulis untuk memudahkan ingatan, biarpun tahu susah itu barulah 'hidup'.

Monday 16 March 2020

Merencam Warna



Bukan risau laman yang dituju, tapi berkira-kira dengan laman yang ditinggal.

Yang tentu ada, rencam suka duka mendasar dalam emosi.

Benarlah kata orang, imaginasi membuat kamu teruja, tapi takkan mampu menang dengan emosi yang ditempuh sendiri dek hati.

Moga yang ditinggal, makin baik, dan yang meninggal juga baik.

Hidup bukan semata satu warna; maka bergaul coraklah mewarna baru. Mana tahu, ada rasa baharu.

*senyum*

Saturday 14 March 2020

Hanya Sebuah Rumah Bot


Bukan semua yang berkhabar gah, benar-benar berkisah dah hebat duduknya. Rupanya, ada semata hidup dengan percaya, dan mereka benar-benar hidup.

Betullah telahan bijak pandai; syukur dan menekun pada yang ada, serta percaya dengan usaha, selebihnya Allah susulkan jaya.

*senyum*

Friday 13 March 2020

Satu Akhir, Yang Baru Bermula


Dinding-dinding, karpet, candelier serta segala macam lekapan dan lengkapan ini hanya susuk kosong yang mati. Namun, ada insan seperti kalian yang membawa jasad-jasad ini seperti hidup dan bernyawa. Mengisi atmosfera antara kita dengan senyum, gelak dan ketawa.

Biarpun sesekali, ada tingkah dan amarah yang menghentak rasa; tapi, kemudian kita tahu, ia mengajar erti 'kita' berbanding aku/kamu, meletak faham dan mengerti, menyusun tolak tika beransur, lantas membina yakin dalam percaya.

Pernah disebut, malah mahu diulang-ulang.
Ini bukan perpisahan, kerana sahabat tidak mungkin putus.
Ini hanya peluang, untuk mengucap 'semoga ketemu lagi'.

Yang pergi, hanya susuk tubuh seorang manusia. Tetapi, memori yang terakam dek waktu, rasa yang bersulam antara jiwa; insya Allah, sentiasa segar malar, melintas segala tembok dan waktu.

Tentu saja kita tak sempurna.
Namun terima kasih, kerana menyempurnakan masa keberadaan sama, hingga terasa kejap waktu berlalu; sedar-sedar tertolak kita sampai ke bucu.

Semoga yang baik, Allah limpahkan pada semua, hari ini dan untuk esok-esok seterusnya.

*senyum*

Thursday 12 March 2020

Susun Utama


Tiada atur hias yang segar malar melewati masa. Sampai pada masa, aturnya harus dihias semula.

Balik ke pusing keliling, alih dan atur semula. Barangkali, banyak ruang yang diisi hiasan yang tiada signifikasi.

Oh.

Sunday 8 March 2020

Tinggal Yang Perlu


Biar yang hilang hanya duduk dan nama, tapi bukan jati dalam diri. Kerana ia tetap hilang dihanyut waktu biar bagaimanapun kita bertahan.

Percayalah akhir jalan nanti, apa dalam hati dan laku kamu yang menjadi pemberat. Sedang semua pakaian lain dirungkai leraikan tak berpaut terus.

*oh*

Thursday 5 March 2020

Menyusun Sudut Meminjam Langit


Bergambar bukan hanya semata tangkap dan simpan. Sebaliknya, menekun sudut yang molek, dan menata objek mengisi ruang, baru nanti, sekeping gambar yang mati, menjelma 'hidup' bagai bernyawa.

Begitu juga kisah hidup.
Melangkah sekadar melangkah, dan bernafas hanya sekadar bernafas tidak akan sama dengan yang menekun mengisi detik dengan fikir dan mengatur pijak dengan bijak.

Yang berusaha akan nampak hidup dan bernyawa, kerana mereka ada tuju nak dicapai, ada hajat nak dikota.

*senyum-

Sunday 1 March 2020

Baru Ranting


Pada ranting-ranting yang baru tumbuh menganti dahan yang patah, tentunya ia masih hijau dan sangat rapuh. Maka, jangan pernah berhajat untuk terus mengantung buai kelmarin dahulu.

Biar hijau menjadi matang, ranting menjadi dahan.

Percayalah, masa dan suasana tentu saja berubah kelak, maka kenapa tidak, berubah berdikit-dikit sama?

*senyum*