Jurutrengkas

My photo
Menulis untuk memudahkan ingatan, biarpun tahu susah itu barulah 'hidup'.

Monday 30 August 2021

Kopi Kosong

Kopi kosong yang paling sedap, haruslah yang elok panas, mesra campuran biji kopi berkisar halus dengan sukatan perasa yang dikacau sebati dalam cangkir ceramik yang pernah dinikmati dulu.

Mungkin bertahun dulu; atau lebih lama.

Dan kadang, kopi yang sama panas dan bancuhnya, hari ini, tidak terasa sama. 

Benarlah barangkali, ada momen yang molek hanya dikenang, dan bukan diulang; agar 'manis' yang pernah dihirup, bisa kekal hidup. 

*senyum*

Saturday 28 August 2021

Pemain Ganti

Ketika merancang penggantian pemain, pasti diarah semua pemain ganti memanas badan. Sama berlari anak. Serentak. Ia ibarat menyimpan kad-kad strategik dari dibaca lawan, sambil kita juga membiar pilihan kita kekal terbuka sebelum sesuatu keputusan dipilih.

Dan sekali kita pilih 'pemain' mana yang turun, kita harus pegang dan yakin dengan pilihan itu, dan menilai setiap perubahan pada sela masanya sebelum keputusan baru boleh dibuat, sekiranya perlu.

Hidup pun harus begitu. Perlu melihat suasana, memilih pilihan, pegang pilihan itu, dan barangkali ada situasi baru yang menuntut satu lagi keputusan.

kan.

Thursday 26 August 2021

Junjung

Tingginya kita dijunjung bukan kerana orang yang kita pijak, tapi kerana kita berpasak atas orang. Berpasak atas percaya. Percaya kepada sama bersusah, untuk nanti sama kan menang. 

Bukan kerana memijak kepala dan tengkok, yang mula dengan membunuh selesa, dan pelahan-pelahan melemakan asasnya. Tiada siapa yang menang, apatah lagi menang-menang untuk yang dipijak. Junjung ini tidak akan lama. sampai masa mangsa pun lemah, lemas dan mungkin tiba-tiba baru sedar untuk beredar, maka jatuh tersungkur lah semula; dengan sakit yang amat.

kan.

Tuesday 24 August 2021

Hilang

Kehilangan itu sakit, kesepian itu lebih sakit.
Kita hanya akan hilang, jika kita mempunyai jiwa pemilik. Sedangkan nyawa dan jasad ini sendiri pinjaman, kan.

Susun dan usaha; kemudian mula semula.

*senyum*

Sunday 22 August 2021

Pause

In life, we gonna face junction after junction; and we need to make decision after decision.

Take a pause dan think.

Take one step with brave heart and keep on moving; face the consequent and learn to keep learning. You will be better for sure. Either you in better life or learn how to be better.

Kan.

*senyum*

Friday 20 August 2021

Indulgence #2

Ada setengah kita, membuat keputusan hanya kerana dikhabarkan sedap. Belilah dan simpan elok di kereta sekejap. Untung-untung ia kejutan yang mengembirakan untuk orang tersayang. Rupanya, kita yang terima kejutan. Kek ini cair saja! Tawar! Hanya serupa ini dikata orang ianya sedap?! 

Wei, biarkan dalam kereta kan kek tu cairlah. Ini bukan kek buah!!! 

Ouch

* * * 

Kadang-kadang, kita hanya mendengar separuh, dan percaya kita tahu separuh yang lain; maka bertaburanlah manusia yang percaya mereka tahu sedangkan tidak. 

Rupanya bukan semua caranya sama. Ada lebih renyah dan ada yang lebih rumit urusnya; sedangkan kita hanya mahu menilai dari sudut dan kaedah yang sama? 

Wednesday 18 August 2021

Indulgence #1

Kalau hanya luaran yang jadi ukuran, pasti kek besar indulgence tidak termasuk dalam pilihan.  Terlalu biasa. Dan kosong. 

Maka hirislah sepotong. Biar apa yang terpendam di dalam nampak dek orang, dan mana tahu, ada yang berani melaburkan masa dan modal untuk memiliki.

Dan baru nanti, kita tahu nikmat rasanua bagaimana.

Kan. 

Monday 16 August 2021

Larut

Himpitan emosi dan bebanan yang dihadapi tiap kita pada satu-satu masa pastinya berbeza.

Barangkali, ada yang sudah terlalu berat dan sarat dengan emosi, yang mencari-cari asbab untuk pecahkan benteng rasional diri dan tiba-tiba kita datang; berderai semua.

Ouch. 

Kita barangkali sampai pada ketika yang kurang tepat dan entah-entah yang berderai tadi menghiris-hiris juga dinding emosi diri.

Tapi percayalah, dalam mode ini, hanya masa yang mampu melarutkan likat pekat rasa; dan bertabahlah buat seketika. 

Kan. 

Saturday 14 August 2021

Merancak

Pada ketika cerita dan berita sampai dahulu sebelum dilapor, maklumat ibarat udara yang berlegaran dan datang bertimpa-timpa minta dihirup dahulu dari yang lain.

Maka tika itu, bukan siapa paling tahu menjadi yang paling penting, sebaliknya siapa paling bijak menyusun cerita yang sama tapi bisa merancak adrenalin dan endorfin yang berbeza.

*senyum*

Thursday 12 August 2021

Sama Telefonnya

Satu masa, telefon bimbit itu yang paling baru, moden dan terhadapan. Dan telefon bimbit yang sama, hanya berdiri sebaris telefon entry-level yang bukan didamba orang pada masa yang lain.

Barangkali, hidup kita yang semata cukup dengan apa yang 'pernah tahu' juga seakhir begitu?

Ya, bukan masa yang salah. Tapi membiar kita yang sama, sefikir sama, dan mengulang yang sama pada masa yang tidak samalah barangkali salah. 

Kan. 

Tuesday 10 August 2021

Manfaat

Penyapu di jalanan. Pembersih di bandaran. Tugas yang mungkin bukan pilihan sesiapa. Tugas yang mungkin hanya logik bagi kelangsungan hidup. Tapi ia tugas yang benarnya nampak kecil, tapi manfaatnya melata. Dan benarnya juga, petugas ini juga yang kita sukar hidup tanpa mereka.

Kan.

Mudahkan lah. Kalau kita tak punya apa untuk mudahkan, memadai jangan sukarkan.

Dan senyum.

Sunday 8 August 2021

Langit Biru

Biru di langit sudah pun hilang. Yang ada hanya awan berat yang menanti runtuh.

Biar gerimis turun barang sekejap, agar yang berat terkandung susut biar sedikit; yang sedikit-sedikit juga menampakkan langit biru yang sebenarnya masih di situ (tak pernah hilang).

*senyum*

Jangan simpan semua, nanti ia terlalu berat. Dan mana tahu, ombak kilat pun bisa sabung menyabung.

Kan.

Friday 6 August 2021

Tasik

Dunia bukan pustaka besar yang sekadar menyimpan berita dan percaya; tapi dunia ibarat tasik yang luas untuk kita teroka.


Duduk saja jika mahu.

Atau mengkocak sedikit air menguji suhu.

Atau mendayung sampan mudik ke hulu.

Atau sekadar menghantar umpan mengharap lekat di kail.


Berlibur atau semata bosan membunuh masa? Kita putuskan.

Kan. 

Wednesday 4 August 2021

Water Man #2

"Di antara hidup singkat dengan orang tersayang atau hidup berpanjangan tanpa orang tersayang di sisi, mana satu jadi pilihan"
Gunner Boone, dalam The Water Man

*senyum*

Soalan itu hanya berandai, sedangkan bukan kita yang menentukan.

Yang kita boleh pilih adalah; mahu bahagiakan orang yang kita sayang dalam berapa sikitpun masa dan kemampuan yang kita ada, atau tidak.

Pilih, dan tunjuk. Selesai.

Monday 2 August 2021

Yuran

Bergantung kepada pilihan dan kecenderungan, hati akan membuat keputusan berdasarkan apa yang kita isi dalam fikiran dan tindakan. Ada ketika isi kita salah, dan kita hanya tahu salah bila sudah tersalah isinya.

Maka belajarlah, kerana salah itulah 'yuran' untuk menjadi lebih baik. 

Kita boleh pilih untuk membayar berapa kali 'yuran' itu sepanjang hidup; cuma kita tidak tahu, semampu mana kita membayar akhirnya. 

Kan.