Jurutrengkas

My photo
Menulis untuk memudahkan ingatan, biarpun tahu susah itu barulah 'hidup'.

Monday 31 May 2021

Pertama

Kadang-kadang, ada 'pertama kali' yang membina biasa pada diri.

Tapi.

Ada kala, satu-satu peristiwa bisa ubah satu dua prinsip dan kepercayaan yang kita pegang selama ini.

Maka, selam dalam-dalam dan pandang benar-benar, mungkin ada 'kunci' yang perlu kita cari.

*senyum*

Saturday 29 May 2021

Ribut

Ribut orang, pastinya tak sama ribut kita; biar sama mana tempat kita berlindung. 

Asbab itu, tidak adil bagi kita menilai perit sendu pada ribut orang, kerana 'tahu' dan 'lalu', tentu saja berbeza.

Yang cuma kita perlu tahu, apa saja rasa yang membalut hati, kesannya bukan sebarang. Kan.

Maka berpada dan bermanusialah sentiasa.

*senyum* 

Thursday 27 May 2021

Seterika #tiga

Seterika wap, belasan helai kain dan baju untuk dikemas serta papan seterika yang sama. Matlamatnya untuk semua siap dan kemas. 

Malangnya aku sentiasa terlewat berbanding tempoh isteri ku.

Pelik.

Haha.

Rupanya, kita boleh tentukan masa selenggara tangki pengewapannya biarpun sebelum lampu 'peringatan'  berkelip dan berbunyi memaksa diselenggara (dan sebarang urusan ditangguh!) . Jika tidak, yang dijangka lancar tadi, harus menunggu masa selenggara sebelum meluncur kembali. 

Samalah dengan hidup, jangan tunggu 'rosak' baru baiki. Kita ada minda dan hati, bagi menilai tanda adanya ruang untuk diselenggara dan ditambahbaik, sebelum ia bakal rosak atau punah segala. Memang takkan ada sekali buat selamanya siap kan? Dan tentu saja  ruang paling besar adalah 'ruang untuk menambahbaik'.

Kekal menambah. Kan.

*senyum*

Tuesday 25 May 2021

Seterika #dua

Seterika wap, belasan helai kain dan baju untuk dikemas serta papan seterika yang sama. Matlamatnya untuk semua siap dan kemas. 

Malangnya aku sentiasa terlewat berbanding tempoh isteri ku.

Pelik.

Haha.

Rupanya, kemaskan saja semua dalam satu sesi. Aku bisa jimat masa menunggu panas yang selalu aku buang bila mengemas hanya untuk hari ni (biarpun aku ada jadual seminggu) apatah lagi masa berulang mengambil kain dan baju untuk dikemas. 

Samalah dengan hidup, mulalah dengan adakan yang perlu dan teruskan dengan sekali lalu. Kita hanya perlu 'menunggu panas' sekali dan menumpang momentum yang ada untuk untuk sekali sudah. Ya, tentu bisa menuntut tekun dan tenaga, tapi bernanti-nanti masih menuntut tekun dan tenaga kan; dan mungkin merompak masa yang tentunya sangat mahal! 

Sudahkan. Kan.

*senyum*

Sunday 23 May 2021

Seterika #satu

Seterika wap, belasan helai kain dan baju untuk dikemas serta papan seterika yang sama. Matlamatnya untuk semua siap dan kemas. 

Malangnya aku sentiasa terlewat berbanding tempoh isteri ku.

Pelik.

Haha.

Rupanya, baju-baju dan tudung itu dikemaskan sebelah sahaja, selebihnya akan sama kemas. Kalau dah sedia kemas, buat apa diulang kemas, kan!

Samalah dengan hidup, ada kadang memadai kita baiki sebahagian, 'sistem' akan baiki sebahagian yang lain. Itu lumrah sistem. Tak salah membaiki juga kedua belah, cuma khuatir masa kita tak cukup untuk semua; dan mana tahu kita bisa lelah sebelum sudah.

Berpada. Kan.

*senyum*

Friday 21 May 2021

Boleh Berbangga

Berbangga la dengan apa yang kita capai; jika ia kaki masih berpaksi pada tanah.

Jika tidak, simpan puas untuk hati.

Khuatir, yang sedikit ada, jadi ujub yang merosak jiwa.

Khuatir, yang kita besar-besarkan kejayaan kita, bisa menghempas kita semula ke tanah realiti.

Lagi tinggi melayang, lagi sakit bila jatuh menyembah bumi. Kan. 

Wednesday 19 May 2021

Yang Dicari

"Depa tu baik, tapi awat la mulut tu teruk" kan. 
Oh.

Tak perlu balas.
Ambil tangan mereka, dan tadahkan tangan.

"Awat ni?"
"Ikut apa aku cakap"

Erk.
"Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Tuhan yang memiliki segala yang di langit dan di bumi, Tuhan yang menentukan setiap kejadian dan keputusan, engkau baikkan la buah mulut, dan butir kata mereka, engkau baikkan lah hati-hati mereka, dan engkau jadikan mereka juga Ahli syurga-Mu ya Allah. Ameen"

"ameen"
Pandang. Dan senyum.

"Kita semua ada buruk. Jadi, jangan dicari, kerana tentu-tentu jumpa. Doakan saja buruk mereka bisa tawar dan menjadi baik;mana tahu, Allah baikkan juga yang buruk pada kita"

Kan.

*senyum*

Monday 17 May 2021

Minta

Doa itu meminta. Dan tentu meminta pada yang empunya. Yang 'ada'.

Dan minta juga bagi yang kita sayang; kerana kita sendiri kata "kamu bahagia, aku sendiri bahagia".

Kan begitu?

*senyum*

Saturday 15 May 2021

Kita Nak

Hidup berpasangan bukan kira siapa paling betul; sebaliknya memadai kita tahu apa yang harus dibetulkan dan mana yang betul diamalkan.

Ya, kadang ego meronta-ronta minta diberi hak; tapi hak untuk sama menyulam kasih, sama menerima biarpun masih jauh dari sempurna lebih molek dirai.

Yang betul, kita hanya mahukan bahagia dan bukan semata gah betul (menang) kan?

*senyum*

Thursday 13 May 2021

Kereta Baru

Kereta baru (yang betul baru, atau recon atau terpakai) yang kita baru koyakkan plastik dan bergambar saat menerimanya tadi, yang kita bakal balut selimut malam ini atau hantar cuci dan gilap kilat esok-esok, rupanya kereta yang sama tersadai berjemur panas dan berhujan saban minggu di dataran penuh kereta lain.

Tapi kita tak pernah nak kisah apa pernah terjadi dulu, yang kita tahu, hari ini semua kisah baru bermula. Semuanya 'baru'. Dan terima dia sepenuhnya seperti mana dia. 

Kan. 

Begitu juga hidup.

Semua orang ada panas dan hujan yang pernah ditempuh, dan barangkali pernah ada kisah lain yang tidak bisa dikisahkan.

Jangan kita hitung kisah hujan, kisah panas atau apa saja yang mungkin menyukar pandangan kita pada manusia. Sebaliknya percaya semua boleh berubah dan dimula semula menjadi lebih baik.

Jom mula semula.

"Hai. Saya AJ" dan hulur tangan. Jabat.

*senyum*

Tuesday 11 May 2021

Lampu Tinggi #2

"Bagi lampu sikit, bagitau ada polis" dan flash lampu tinggi sekejap. Dan selisih.

* * *

Kenal? 
Belum tentu. 
Tapi, perlu bagitahu, ada 'bahaya' di hadapan.

Eh.

"Entah-entah perompak ke apa? Naya." 

Mungkin kena pegang pesan kawan; berbaik biar berprinsip, hidup biar berasas. Biar betul-betul betul, dan bukan semata kelihatan betul.

Kan.

*senyum*

Sunday 9 May 2021

Lampu Tinggi #1

"Bagi lampu sikit, bagitau ada polis" dan flash lampu tinggi sekejap. Dan selisih.

* * *

Kenal? 

Belum tentu. 

Tapi, perlu bagitahu, ada 'bahaya' di hadapan.

*senyum* 

Benarlah orang kata, andai kita dalam 'kasut' yang sama, baru kita sama merasa 'susahnya' sampai ke hati. Baru kita membantu, tanpa perlu mengira untung ruginya satu persatu.

Kan. 

Friday 7 May 2021

Langit

Kadang langit merubah cantik. Sangat-sangat cantik. Sampai kita bisa berhenti dan keluar merakam buat kenangan. Senyum. Dan masuk semula, memandu keluar menuju rutin harian.

Satu pesan.

Berhenti semula.

Keluar.

Dan kali ini tanpa kamera.

Berdiri.

Pandang dan pandang dalam-dalam.

Ada seribu rencah rasa rupanya pada jalur-jalur warna langit itu. 

Biarkan saja angin berderu menampar-nampar pipi dalam pegun kita memandang.

Dan senyum.

Rupanya.

Hebat bagaimanapun lah suatu kisah dan rasa, pasti berbeza orang yang menatapnya dengan mata kosong banding layar maya.

Kan. 

Harus tunggu lagi dengan entah-entah atau nak mula melangkah? 

Wednesday 5 May 2021

Hadap

Membongkok-bongkok di bawah lampu. Menguis-nguis rumput di daratan.

"Cari apa?"
"Mencari kunci. Hilang tadi" oh. 

"Jatuh di sini?“
" Tak"

"Eh, jatuh di mana"
"Di sana" sambil bibir memuncung tunjuk ke belukar serba gelap beberapa belas hasta dari bawah tiang lampu kami berbongkok sama ini.

"Habis, kenapa cari di sini?" pelik! 
"Sini ada lampu. Sana gelapnya gelita. Biar di sini sahaja, tentu lebih mudah" sambil senyum. Nampak seperti dia benar-benar percaya.

Oh.
Bangun.

"Maaf, saya tak bisa membantu" dan melangkah pergi. 

*menggeleng*

Kalau perlu susah, hadap; asalkan betul. 

Monday 3 May 2021

Berita Baik

Kadang hidup bagai terperangkap dalam gelap. Tahu mahu menang, tapi entah mana dinding, mana bucu yang kita perlu tuju.

Yang ada, hanya sebatang lampu suluh yang mula beransur malap.

Pilih.

Mahu menyuluh seluruh fokus pada satu penjuru, kemudian berjalan membawa kaki mengikut hati yang mungkin bawa kita keluar atau satu lagi dinding tak tertembus.

Atau pilih.

Memutar fokus lampu, agar kembang dan tak tuju sesudut, agar cahaya lebih melata biarpun tak terang. Agar mungkin boleh meraba-raba jalan keluar dalam kelam.

Atau memilih untuk tidak memilih?

*senyum*

Yang pasti, hidup wajibnya mesti memilih. 

Dan berita gembiranya; hanya kita yang memilih untuk hidup kita. 


Saturday 1 May 2021

Percaya

Dalam gelap gelita yang paling gelap, cahayanya adalah harapan dan doa.

Dan keduanya hadir hanya pada yang percaya. 

*senyum*

Payah?

Benar, kerana syurga juga bukan percuma.

Kan.