Jurutrengkas

My photo
Menulis untuk memudahkan ingatan, biarpun tahu susah itu barulah 'hidup'.

Saturday 29 June 2019

Mengatasi Rasa


Jangan kerana kita berjaya biarpun bersusah dan berpayah, kita mendiskaunkan kejayaan orang yang lebih berkemampuan.

Semua berlari pada aras yang berbeza, maka menjadi diri sendiri pada versi yang lebih baik adalah matlamat. Maka, bersainglah dengan tanda aras kita dahulu, baru tahu jauh mana dah dituju.

Percayalah, menang belum tentu benar menangnya, dan kalah bukan tentu benar-benar kalahnya. Yang dinobat barangkali hanya satu dua dan tiga, sedangkan yang berusaha, dan melintas kemampuan norma lebih dari itu (atau tiada siapa!).

*senyum*

Maka benarlah, selagi masih ada jiwa dan rasa, kita tetap bisa jadi lebih baik dari yang terbaik; kerana 'hakimnya' bukan biasa-biasa.

Allahu

Friday 28 June 2019

Hubung dan Kait


Yang penting, bukan berapa sama kita dengan orang, tapi berapa sama kita dengan diri sendiri.

Bukan hubungan tu yang membentuk kita, tapi kita yang membentuk hubungan itu adanya. Maka, hiduplah dengan versi terbaik kamu dan sentiasalah memberi dalam bertolak dan ansur.

Hidup ini penuh dengan entah-entah, dan dari memikirkan entah apa lagi, baiklah bertindah dan berlaku seperti mana kita mahu dilakukan orang.

*senyum*

Tuesday 25 June 2019

Mencicah Bukan Pada Yang Tuli


Bincang beralas ilmu, bersilang pandang pun masih mampu tenang. Membiar jalur fikir dilontar disambut, dibalas kata yang sarat ertinya. Maka yang untung, hanya pada yang mahu berfikir.

Baik muda mahupun tua, mentah atau yang sedang masak elok, semua punya padang yang sama mencicah ilmu yang bertabur bak peluru.

Tapi.

Andai pancang sembang hanya emosi dan entah-entah, kosong dan melayang sesedap rasa; diam lebih elok.

*senyum*

Tuli tetap takkan dengar; maka senyum dan diam sebaik laku.

Monday 24 June 2019

Setitis Dari Lautan


Seandainya, apa yang dibincangkan, tidak pernah dibuktikan benar dan diluar dari makna yang pernah kita tahu, jangan menghukum dengan kata salah atau palsu.

Entah mungkin, ia sebahagian lautan ilmu yang mana kita hanya teroka setitis darinya.

Bersangka baik dan berlapang dada lah sahabat. Baru terang bisa lebih terang, dan langkah lebih susun terarah.

*senyum*

Monday 17 June 2019

Meletak Pada Laluan


Letak lah di mana sahaja, asalkan bukan menidakkan hak yang lain. Laluan ini bukan hak siapa yang mutlak, tapi adat berkongsi, sama beringat sambil sama memberi. Ada masa kita perlu melepaskan izin, dan lain ketika laluan dibuka untuk kita.

Laluan ini ada di jalanan. Ada di lapangan. Ada di kerjaya atau hal hidup semata-mata.

Asalkan tahu, ia hak yang dikongsi sama, pasti aman menyusun hidup, dan susah kita tidaklah menyusahkan.

Sunday 16 June 2019

Rencam Pada Warnanya


Pada setiap satu perancangan, banyak rencamnya. Seorang pasti tidak mampu membuatkannya sempurna, maka berkongsilah sedikit usaha pada yang ahli.

Biar seluas mana kita memandang, ada belakang yang tidak kelihatan, dan pasti juga bayang-bayang yang menutup ruang. Maka, belajar mengambil pandang dari yang lain, baik sama mahupun berbeza disiplin, agar yang diputus bukan semata gerak hati, tapi langkah yang penuh berhati-hati.

*senyum*

Betul lah.
Menganyam dengan banyak warna dan besar kecil siat mengkuang, baru menawan hasilnya siapnya nanti

Saturday 15 June 2019

Faham Dan Hadam


Percayalah dengan celik, dan bertanyalah pada yang kabur, kerana menerima sahaja yang disumbat tanpa dahulu memeriksa, ibarat sampah keladak yang menutup ruang-ruang berfikir kamu.

Ambil tahu dan hadam dengan kefahaman, agar berpesan dengan aman, dan melangkah dengan barakah. Baru sedap benar sedap, dan diam menjadi hikmah.

*senyum*

Thursday 13 June 2019

Sekadar Pembaca Skrip


Bila yang mebutir pada lisan hanya sekadar rutin, bukan bilah kata yang menurut dari jiwa, kita hanya hidup pada skrip-skrip yang tak siapa ambil kisah erti dan pengertian.

Apatah lagi, hanya salin dan tampal dalam kumpulan-kumpulan bicara, tanpa pernah kisah untuk mengambil ibrah sebalik kata yang dibahasakan.

Esok, balik petak mula, dan tak ada siapa ambil tahu tentang jabat semalam.

Oh.
Tipu.
Dan yang tertipu hanya kita yang sangkanya berjaya menipu.

Tamat.

Tuesday 11 June 2019

Secukup Rasa


Rasa cukup bukan perlu menanti banyak.
Memadai, kita menikmati apa yang kita ada, dengan cara yang kita mampu.
Memadai, kita percaya ada bahagian orang pada setiap sedikit yang kita ada.

Rasa cukup bukan membunuh jiwa maju dan berjaya.
Cuma, ia tidak menghukum kita yang sedang berusaha kerana jayanya belum tiba.
Memadai, menghargai pelajaran hari ini untuk bekal esok yang lebih boleh diusahakan.

Benarlah telahan orang, rasa cukup adalah untuk orang berjiwa besar.
Dan.
Tiadalah yang lahir-lahirnya terus menjadi besar tanpa melalui payah susah berjiwa kecil.

*senyum*

Monday 10 June 2019

Berusahalah Dengan Kecukupan


Dalam bersyukur dengan rezeki yang kita terima, jangan berdengki pada rezeki yang diterima orang. Biar usaha yang datang berganda, kerana Allah suka pada yang mencuba.

Percayalah, pada banyak yang diterima mereka, tidaklah ia sedikitkan apa yang kita terima.

Senyumlah, dan hiduplah dengan gembira.

Akhirnya, bukan harta yang membeli bahagia, sebaliknya jiwa besar yang menjadi utama!

*senyum*

Friday 7 June 2019

Anak Fitrahnya Berfikir: Perhatian


Membelek buku membaca, dan satunya yang mengeja. Ada yang betul. Ada yang ketawa saja bila tersasul; dan ini lebih kerap.

Menulis aksara A kecil yang kadang seperti D di cermin dan kadang seperti p terbalik. Tertawa. Dan lebih baik betul cara dari semata marah untuk lawa.

Benarlah, bila mana anak rasa mereka 'berkeluarga', tidak perlu susuk televisyen itu untuk mereka gembira. Biar sahaja tawa dan senyum menguntum waktu, dan panjang malam terasa suntuk.

Mari, bunuh penat kita dengan matlamat. Matlamat melihat senyum si anak mekar hari ini, untuk peribadi esok yang belum tentu untuk kita.

*senyum*

Thursday 6 June 2019

Harus Ditunggu?



Jika pandangan dan rasa kita tidak lagi diperlukan, kenapa harus lagi kita menunggu?

*senyum*

Sahabatku.
Hidup ini rencamnya tak pernah monotone. Ada ketika condongnya ke kita, dan kadang yang lain menyondong jauh dari mata.
Berlapang dadalah, kerana bukan semua mampu kita corak dan ubahkan.
Buat sebaik mampu, dan mengharap bukan pada manusia (kerana mereka juga pengharap seperti kita).

~Maka harus tunggu?~

Itu, aku pulangkan pada kamu.

*senyum*

Saturday 1 June 2019

Bukan Semata Bina



Bila melabur masa yang baik tuk keluarga, terasa lebih sayang pada setiap detik. Benarlah, rasa dan jiwa itu hidup. Segar bila betul dijaga, dan bisa layu andai terbiar sayu.

Ambil peluang betul diri, melihat potensi yang belum kita temui. Tiada siapa sempurna, maka saling melengkapi, agar pedas sama dicicip, manis sama dinikmat.

*senyum*