Jurutrengkas

My photo
Menulis untuk memudahkan ingatan, biarpun tahu susah itu barulah 'hidup'.

Thursday 29 April 2021

Sama Mengumpul

Harapan kita, tugasan ini diuruskan pakar. Tahu serba serbi. Bukan budak baru yang baru nak belajar.

Tapi budak baru, hanya bisa jadi pakar, kalau dibiar menguruskan dahulu. Belajar dengan buat dan jadi, melangkaui hanya pandang dan baca.

Maka, buka ruang untuk tolak dan ansur. Untuk belajar dan sedikit salah untuk diolah jadi lebih betul dan faham. Harusnya, semua perlu betah menerima yang kurang, agar sama mengumpul menjadi banyak; dan berbaloi. 

Monday 26 April 2021

Beli Belah

Biarpun berhajat kan dua-tiga barangan, menyelusuri gedung membeli belah pasti perkara yang sangat menggodakan.

Hebahan warna-warna terang pelbagai nombor dan atur, bisa membohongi minda untuk percaya semua barangan lain berbaloi dimiliki, malah wajibnya sekarang.
Sedangkan kita hanya ada, apa yang kita benar ada.

Seperti juga hidup.

Kita hanya ada sejumlah waktu dan sejumlah perhatian untuk apa yang kita hajatkan asal, tapi kadang terjerumus dalam persona yang bukan utama hingga kita gadaikan 'kredit masa hadapan' dengan bertangguh dan berjanji tanpa isi. 

Sedangkan, kita belum tentu mampu melunaskan  'bayaran bulanan minima' apatah lagi melunaskannya sepenuhnya.

Kan. 

Sunday 25 April 2021

Pilih

"Aku dah bertahun tak menjengah bazar. Malas. Buang pahala ja"
"Kenapa pulak"

"Budak-budak pakai tak berjenis. Sehari aku puasa, lebuh tengok baju ketat depa, lenggang lengok depa, tak bertudung bagai. Naya. Baik duduk rumah tengok Netflix"
"Netflix?"

"Ya lah, layan movie english ka, movie korea ka, movie Thai ka. Sambil-sambil tunggu berbuka. Pelakon pun lawa-lawa."
Eh.

 * * *
Kalau orang lain salah, belum tentu kita betul; barangkali kedua-duanya salah. Dan ada barangkali juga, kedua-duanya betul dari sisi yang berbeza.

Yang penting bukan pada pandangan siapa ia betul, tapi pada aturan dan akar mana ilmh betul salah itu berpaksi.

Hidup bukan untuk berkira, tapi untuk 'dikira' akhir nanti.

Kan

Friday 23 April 2021

#done

 "#done zikir"

"Tuhan pandai like ke?"


"Maksud kamu?"

"Mana la tahu, kalau tak update di socmed Tuhan tak tahu"


"Page aku. Suka aku. Pasal nak sibuk? “

Oh.

Senyum.

Dan pergi. 


* * *

Kita rugi kalau tidak berpesan-pesan? Dan siapa kata berpesan itu mudah?

Kan.

Wednesday 21 April 2021

Pasak

Andai kepala dan kaki terlalu goyah dan lunyai nak berpasak, cari jiwa untuk disandar hati. Agar paling tidak, ada penguat menjadi penyebab untuk terus hidup dan berjuang.

Kan kita hanya bertuju kalau bersebab; bukan semata merawak tanpa ke mana.

Monday 19 April 2021

Pati

Buatlah sepuluh gol paling cantik di dunia dan tidak tertahan oleh sesiapapun; tapi jika semuanya hadir hanya selepas wisel penamat, maka tiada sebutir pun membawa makna.

Benar kata orang, masa itu pati segalanya. 

Kan. 

Saturday 17 April 2021

Asbab

Jurujual, jadinya untuk buatkan orang mahu dan kemudian membeli. Gunalah pesona yang molek agar khalayak menjadi pembeli dan datangnya nanti bergolek.

Jangan disalahkan orang jika tidak membeli. Kita sang penjual yang harus menukar langkah, mengatur petah kata dan menyusun rencah. Jangan hanya berjual untuk kita sahaja yang membeli. 

Sama juga dengan penyampai; jadinya untuk buat faham itu sampai. Dan sampai itu pada ramai, bukan semata kita.

Kan. 

Monday 12 April 2021

1442H

Berkongsilah kata yang baik atau pesan yang baik atau hanya melihat pada alam dan menelah kebaikan menganti kata-kata.

Barangkali itu lebih baik dari usik mengusik dengan foto segelas air sejuk berpeluh-peluh.

Kan.

*senyum*

Semoga dilimpahkan kemanisan beribadah dan ibrah Ramadan buat semua.

Salam

Sunday 11 April 2021

Me Time

Dalam penat yang berserabut dan terlalu banyak benda untuk difikirkan, barangkali lari sekejap ke dunia lain dan melabuh fikir kepada perkara lain bisa menyusun semula rasional dan atur fikir kita. 

Barangkali, sehelai dua dari naskah yang ada bisa membina 'dunia' itu untuk kita. 

Atau. 

Barangkali, sesujud dua juga.

Kan.

*senyum*

Friday 9 April 2021

Lebih Darinya

Bila orang baik-baik lebih sayangkan diri kita dan lebih risaukan hala yang hidup kita tuju, barangkali itu waktu untuk kita nilai semula perkara yang kita pertahankan dan langkah yang kita hayun di luar sedar.

Ya, banyak orang sayang.

Tapi sayanglah, jika hanya orang yang sayang, sedangkan tak akan ada apa yang berubah lebih baik kalau bukan kita yang menongkahnya.

Jatuh itu sakit; lali dengan kesakitan dan semata pasrah itu sebenarnya lebih perit. 

Wednesday 7 April 2021

Suai Ka Buai

Yang perlu, mengembek di kandang kambing, mengaum di kandang rimau; tapi bukan larut kita menjadi kambing dan rimau.

Esok, mungkin kena berkokok pulak, tapi kita tidak perlu menjadi ayam.

Kan. 

Monday 5 April 2021

Bahagian

Hidup ini luas bahagian dan kisahnya. Dan setiap insan dalam hidup kita, punya bahagian dan peranan dalam hidup kita.

Maka berpada-padalah.

Perlu hanya pada yang perlu. 

Jangan membebankan mereka dengan bahagian yang bukan untuk mereka.

Biar serapat mana, ada takat nya. Kerana manusia tetap manusia, dan manusia itu sempurna dengan ketidak sempurnaannya.  

Saturday 3 April 2021

Laman

Laman yang sama belum tentu miliki jiwa yang sama. Sedangkan semati-mati pantai juga berubah, inikan hati dan jiwa yang bernyawa.

Kenal dan terus kenal harapan dan situasi. Berubah lah bila perlu; dan pastikan hanya jika ianya lebih baik.