Jurutrengkas

My photo
Menulis untuk memudahkan ingatan, biarpun tahu susah itu barulah 'hidup'.

Monday, 14 May 2012

Nanti



Akhirnya, kita akan sedar;
bukan semua yang terbaik pada mata pandang silam kita adalah terbaik untuk kita.

Sebaliknya, setiap satu sejarah yang terakam semalam adalah satu sinar buat esok yang lebih baik; dihias bungkus cantik, untuk kita peluk kemas-kemas dan penuh mesra jiwa.

Dan kita harus yakin satu;
Bukan semua yang kita buang hari ini akan terus hilang dalam kusam pandang. Mana tahu, ada saja yang pulang balik pada kita dengan lebih indah cantum bunga-bunga pelangi.
 
Semua itu bukan kita yang atur, tapi kita kena patuh  dan akur dengan benar yakin Allah itu Maha Mengetahui.

Dan nanti, baru kita sedar; "Alhamdulillah, syukur dulu itu yang aku pilih".
Sambil tersenyum kecil yang cukup manis di luar sedar.

*senyum*

 * * *
Sejarah gemilang, sejarah kecundang, mahupun kedua-duanya.

Sejarah bukan wujud berkajang-kajang untuk esok datang menumpang.
Sebaliknya, untuk belek pandang pada apa silap semalam, agar lusa tidak sama memijak; dan kandas.
(quoted from entry Sejarah 15 March 2012)

Friday, 11 May 2012

Okay, dan Senyum.


Tapi bila hati runsing, jiwa tidak tenteram, berselimutlah dengan pekik rasa seperti mahu berbicara dengan dinding. Mahu menconteng tanpa fikir. Mahu berbumbung tanpa tiang; agar pekik sepelosok alam biar berdentang dengar.

Maka.
Ambil pena.
Menulis.
Dengan penuh jiwa.
Oh.
Bukan.
Dengan penuh amarah.
Dan terbitkan.

Huh.
Puas.
Sekejap.

Memang puas.

Seminit.
Dua.
Minit-minit.
Dan hati sudah sejuk.

Marah sudah mula hilang; tapi tulisan tadi masih berkumandang.
‘On laptop’, ‘login’ dan cari butang buang.

Oh.
Dan beratur komen mengikut. Dan bersusun ’printscreen’ menurut. Dan marah hati tadi jadi marah pada yang lain. Dan ‘delete’ yang kita dan anggap saja tidak ada apa.
Dan hidup jadi semudah anggapan.

Kan?

Tidak.

Oh.

***

Hidup tidak selalu putih jernih.
Tidak juga terus gelap gelita menghitam.
Kita semua ada sisi nyaman dan tentu juga sisi gelap hidup kita sendiri dan kadang kita percaya ianya lebih kepada kelabu. Kelabu-kelabu, yang tentunya bukan kelabu taik anjing, kerana anjing itu haram.
Tapi kita yang pilih untuk tampil bagaimana.
Dan menjadi lebih pada yang mana.
Kerana.
Semuanya harus ‘hero yang menang’ Kalau tidak? ‘tentunya cerita belum tamat’
*senyum*

Thursday, 10 May 2012

Puas! Puas?


Lima jam bergerombolan dengan pencinta buku, dan kemudian berbondongan pulang dengan penuh naskhah di bimbitan tangan, masih juga terasa seperti tidak cukup sempurna. Dah demikian namanya manusia, tidak akan pernah cukup dengan segala-galanya.

Insya’ Allah, ada tahun yang esok untuk ditumpang hidup dan bernafas dengan harum naskhah-nashkah baru lagi.

Dan senyum terukir pada setiap ‘kami’, biarpun penat tak habis-habis memukul diri yang biasa dimanja dengan leka-leka dan buang masa.

Puas!

Cuma.

Aku takut.
Pada kemanusiaan dan kesempurnaan aku sebagai manusia yang mana-ada-sempurna.
Pada kebarangkalian; keghairahan merebut dulu naskhah terbaru, berautograf ‘life’ berdakwat basah dan merakam sekeping dua momen dengan sang penulis, bisa terusik dek senipis-nipis iman, dalam sesak berlaga pinggul, bersilang bahu, ber’ops’-‘ops’ dalam ‘tersentuh’ dan segala macam ‘setan’.
Ah.
Barangkali hanya ada makhluk ketiga andai duduk berdua, dan bukan dalam ramai.

Puas?

*senyum*

Matlamat tidak menghalalkan cara kan?
Dan cara itu kita aturkan, kan?

Takut; bila kita berperit-perit keringat untuk mencari Tuhan dan menegakkan pegangan; rupanya kita hilang dan menghilangkan pula.

*senyum*

Wednesday, 18 April 2012

Manis Ada



"Sesungguhnya, matiku, hidupku, adalah kerana Allah"

Andai itu yang benar-benar basah dalam jiwa dan rohani kita lebih dari basah-basah bahasa yang terluah keluar di bibir mulus kita, kan indah dunia?
Ah.
Kalau bukan susah, bukan lah hidup namanya, bukan?

Dan sesungguhnya, 
syukur itu lebih manis bila kita pernah rasa sukarnya menggaul sebatikan rasa itu benar dalam pelosok jiwa.

Tapi masih banyak 'aku-aku' yang tenggelam dalam kemanisan 'gula-gula' dunia yang membinasakan, sedang yang disarankan hanya manis pada madu yang benar tulennya.

Sesungguhnya, berpada-pada itu bukan ertinya pada berada-ada.

*senyum*

Tuesday, 17 April 2012

Boleh?



“Takkan ini pun tak boleh?”
“Boleh, tapi bukan untuk khalayak”

“Kenapa tak boleh? Kan cantik ni?” mencuba lagi
“Cantik itu subjektif sayang. Kamu yang mendefinisikannya pada pandangan kamu. Kalau pun tidak dengan yang ini, kamu masih tetap cantik kan. Malah, lebih cantik, kan?” terang. Biar panjang, asal sampai.

“Kenapa tidak boleh? Kawan-kawan ada saja yang pakai sebegini. Mereka bertudung juga, tapi tak lah sampai tidak boleh bergaya manis. Melayu lagi. Jadi, kenapa masih tidak boleh ni Ma?”
“Yang dinilai nanti bukan apa yang orang lain buat, tetapi apa yang kita harus dan dituntut buat”

Dan diam.
Konversasi ini harus dibiar dihadam dulu sebelum ‘mesra’ meresap seperti rencah kicap pada tumpah kuah kari ikan di juadah.

“Sayang” lembut.
“Jangan kita memelayukan agama itu sayang, sebaliknya mengagamakan Melayu itu sendiri.”

“Kan sama je tu Ma. Kalau Islam, Melayu lah. Kalau Melayu, Islamlah” dan seperti itu yang digambarkan masyarakat juga kan?”
“Berbeda sayang. Yang masuk syurga itu yang beragama dengan Islamnya, dan bukan yang berbangsa dengan bangsanya. Kan?” kali ini, biar jelas.

Dan, harus lebih jelas.

“Pink is a colour, not a gender. Religion is a way of life; neither simply a race nor simply a tag name” biar meresap dalam. Biar berfikir sikit minda keremajaannya, baru dia tahu harus duduk itu tinggi atau berdiri itu yang harus rendah.

Dan diam.

***

Bergayalah. Berfesyen lah. Tapi pada lingkup aturan dan kebenaran yang diberikan.
Kan aturan yang itu wujudnya bukan setahun, tapi beribu tahun; lantas harus kenapa peraturan lama yang mesti mengikut aturan baru?

Nikmat Maha Esa mana yang kita dustakan ya; barangkali?

Oh.

Monday, 16 April 2012

Berteman


Bermusafir malam. Tenang. Deru desir angin menjadi peneman. Jalan-jalan bersimpang siul dalam sunyi. Alun vokal Sheikh Saad Al Ghamdi mengisi penuh ruang pemanduan.

Meluncur terus. Laju.

Perlahan-perlahan, ruang gelap gelita yang tadi bersusun rimbunan hutan mula berlari meninggalkan pandangan. Tiang-tiang lampu mula beratur di tepi jalanan menjadi peneman; yang mana pemandu tadi dibiarkan bersendirian dengan panduannya.

Dan sehela nafas lega terbit. Bibir dan tak sesejuk seminit dua yang lepas, bagai terlepas dari dicekik manusia pada lehernya; kelegaan.

Jemari mencapai punat-punat di pemain cakera; dan beralih kepada mode radio. Kontemporari. Ada nyanyi-nyanyi dan ketawa manusia.

Dan kali ini baru tersenyum; puas. Dan sesekali tergelak kecil mengikut siaran, sambil tayar bergolek menyelit dicelah kota.

***

Oh.

Barangkali, qiraat sang qari dan qariah hanya harus beralun pada jalan-jalan sunyi yang berimbun gelap senjanya dan pada me-rai remang roma yang berdiri. Seperti juga naskhah kecil Yaasin yang berselit-selit di bantal anak berbuai agar tak dikacau rengek tidur si bayi nanti.

Selebihnya, biarlah kita berdansa dengan dunia sahaja. Kan?
Itu baru ‘cool’ pada tafsiran dunia, barangkali. Atau tak lebih dari satu hikayat hidup yang mati pada hidupnya.

Oh.

Friday, 13 April 2012

Dodoi-kan


“Abang tidurkan anak ye?” tegur sang isteri pada suami yang tekun dengan iPad di genggamannya.
“Abang lagi? Ayang la pulak. Karang, anak-anak ingat sayang tak nak dodoikan mereka” rajuk sang suami. Oh. Sesekali, bertukar tangan tak salah kan?

“Kan biasanya abang. Tak apa kan?” pujuk sang isteri. Lebih memujuk dari tadi.

“Salah memanglah tidak. Cuma” mata suami bertentang mata jernih isterinya. Mati kata sejenak. Oh.
“Cuma, sesekali ayang menikmatilah momen mendodoikan mereka” Sang isteri senyum. Ya, seperti selalu juga, senyum yang ini manis letaknya.

“Terima kasih untuk itu abang. Ayang tahu, apa beringat-ingat untuk ayang kan. Cuma, kali ini boleh abang yang dodoikan lagi?” ah, jerat tak mengena juga!
“Kalau abang katakan tidak?”

Kali ini diam.
Dua-dua diam. Membiar denting saat di jam dinding mengisi ruang masa.

“Boleh, tapi dengan satu janji” mengalah juga akhirnya.
“Syaratnya?” kali ini beralas senyum, Rasa seperti bisa bebas untuk kali ini, barangkali.

“Nanti...” dan sengaja dia diamkan. Sesaat. Dua.

“Kalaupun tidak mendodoikan sang puteri pun, boleh tak abang tak berkhayal dengan dunia iPad abang saja? Sesekali tadabbur Quran hantaran hari tu boleh? Kalau abang takut bukakan reben hiasannya, nanti ayang buka kan, boleh?” ah.

“Tak pun, abang dodoikan ayang dengan wirid dan zikir, boleh?” dah.

“Ni, harapkan mendodoi anak jer abang berzikir, selebihnya berdikir dengan entah lagi ada lembu nak jaga lah apa lah kan, boleh?” terkena.

Apa lagi nak dijawab bila ‘ah-dah-terkena’ kan.
Senyum saja.
Kelat, pada sang suami. Tapi manis bercahaya pada sang isteri. Paling tidak, terlepas dia dari menjadi orang yang rugi momen ini, barangkali.

***

Jangan dibiarkan zikir itu menjadi komoditi untuk kamu ‘barter’-kan dengan tidur sang anak. Sedangkann, ia lebih dari sekadar alunan dodoi. Ah, tentu saja kalian lebih tahu. Kan?

*senyum*

Thursday, 12 April 2012

Kereta Baru


“Cermat pulak hang ‘drive’ hari ni? Selalu macam hantu je pandu”
“Kereta baru ‘bro’. Kena jaga. Bayar beribu, takkan aku nak taram melulu ye tak?”

Kemudian, ada lubang di jalan. Entah kontraktor yang salah kerana jalan tak ikut spesifikasi atau spesifikasi yang salah kerana tak patuhi aturan ukuran. Entah-entah, pengguna yang salah?
Kereta kian perlahan. Mengelak lubang tadi.

“Agak-agak la kalau nak jaga kereta pun. Lubang macam tu pun nak mengelak sampai nak ter-berhenti kereta ni”
“Kereta baru ‘bro’. Lubang kecik pun kalau kerap langgar boleh rosak ‘absorber’. Boleh gegar badan kereta. Jadi macam kereta lama la pulak dia. Nanti tak sedap la ‘drive’. Lu mana tau. Lu kereta pun tak ada”

Dan diam. Biar ruang ‘bridge’ untuk bising-bising dari radio mengisi ruang.

“Kereta hang jaga, diri hang tu?” dan pemandu tak menjawab. Tak faham barangkali, atau sekadar menuli diri?”

“Hang pun dah tak macam ‘kereta baru’, yelah asyik langgar larangan hukum tuhan. Jarang ‘cash wash’ dengan wudu’ kan. Tu yang longgar goyang semacam. Tu yang kalau langgar lubang besar pun hang dah tak kisah sebab dah biasa. Dah buruk kan?”

“Aik, ni citer pasal aku pulak ni ‘bro’, kang ada yang berjalan sat lagi ni?”
“Aku pesan jer. Kalau-kalau aku mati pun, setidaknya aku buat benda baik.”

Dan diam.
Terkena.
Oh. Tahu dah pun, Cuma menidakkannya sahaja. ‘Sigh’.

***
Kalau asyik dilanggar aturan Tuhan; kecil mana pun dia, lama-lama ‘absorber’ diri bisa juga senget dan merosak diri, dan ‘chassis’ sendiri bisa bergoncang gegar tapi kita tidak sedar; atau sekadar tenggelam dalam keterbiasaan.

Percayalah; bacaan kilometer dah sampai untuk servis berjadual. Jangan kita asyik beralih waktu untuk ‘refreshment’-nya, takut berhenti tanpa amaran, berhenti sebelum waktunya. Ah, waktunya sendiri kita tidak tahu kan?

Friday, 6 April 2012

Baca


"Baca novel?" sapa lembut, sambil mengemas galas-galas dari bahu ke 'comparment' yang sewajarnya.
"Yup" pendek dan berangguk kecil tanpa mata pindah dari naskah yang penuh di telapak tangan.

"It is your passion, or simply to kill the time?" sambil membetul duduk di dudukan bas. Perjalanan jauh kalau dibiar salah posture-nya, pasti undang dosa kering membebel sudahnya.
"It is my soul" dan senyum.

"You know what, first Quran verse is 'Iqra'; or read" tambahnya  lagi, dan senyum. Yang ini manis.

"That 'read' should not be 'novel' i supposed?" sinikal.
"As long as you have good words; in whatever form, it is worthful to read, then just go ahead. Nothing is absolute no in reading; at my perspective at least" dan senyum. Oh, menyerongen barangkali. Kali ini sinis.

"Kalau aku, mau muntah membaca dalam perjalanan"
"Pernah cuba?"
*mengeleng* dan balasnya sebuah senyuman.

Satu dua momen pelik berlalu, dan kemudian memilih untuk tidur saja. Yang berbuku, dah lama hanyut dengan dunianya. Sesekali, ada senyum tersimpul halus dan kecil-kecil ketawa berseli antara naskah bacanya.

***
Ada tiga jangan-ngan.

Jangan hanya berbicara atas pengalaman orang dan kamu katakan ianya kamu. Cuba. Dan percayalah, membaca itu satu kenikmatan, selagi mana kamu tahu untuk menilai setiap naskah; biar buruk mana pun ia.

Jangan kamu bunuh sosial kamu hanya kerana kamu mahu mati dalam bacaan kamu; sedangkan dunia ini perlu ada penjiwaannya juga. Dan tidak salah hidupkan marhaen yang mati dalam bacaannya dengan naskah lisan yang berbaloi untuk di'baca'nya.

Jangan berhenti menulis selagi mana kamu mampu, kerana setiap eristiwa dan jalur kata pasti ada cubit-cubit yang berbaloi untuk disimpan. Dan jangan hanya membaca apa yang kamu mahu, sedangkan banyak lagi yang kamu perlu tahu dan adanya yang kamu tidak pernah terfikir untuk mahukannya.

*senyum*

Wednesday, 4 April 2012

3 Jawapan

Bagi soalan pertama yang kalian 'barangkali' mahu tanyakan untuk layout baru, ini jawapan aku:

Untuk soalan yang pernah ditanya seorang dua terdahulu dari yang ini, jawapannya seperti ini:


Dan untuk yang bertanya siapa aku selama ini, ini sekadar yang mampu aku kongsikan:


Saturday, 31 March 2012

Layang


Sesekali mencampak emosi pada layang kosong jadikan aku seorang pemalu.
Membiar bising jiwa di dengar manusia lain pastinya amat sulit.
Tapi, sedetik ia terbit, lekas hilang sempit yang bersarang; lekas jadi lapang.
Dan lantakkan saja pada natijahnya; janji aku tak mati dalam diam rasa.

Barangkali ini berbeda dari kebiasaan; tapi, menjadi manusia, kadangnya aku harus menjadi sisi aku yang dalam, dan diam.

*senyum*

Semoga, untuk kalian, ada rahmat Tuhan yang membuka belit jiwa jadi rasa yang mengamankan.

Dan percayalah,
Biar penat berlelah sepanjang jiwa memanjat banjaran rasa, asalkan sampai kemuncaknya nanti, hilang perit itu, dan bergalang ganti jujur pada senyum yang terbit tanpa kamu rancang.

Allah itu Maha Merancang lagi Maha Adil. Pasti saja ada imbuhan besar pada yang sabar.

kan?

*senyum*

Friday, 30 March 2012

Hijau II


Biar saja dua puteri itu menjadi seri warna kita; dan sekilas pun sayang ku tak pernah hilang.
Untuk kamu, seperti dulu, dan biarlah ia bisa aku ranumkan pada jalur-jalur pelangi yang berbilah ganti.


AJ.25Mac2012

Thursday, 29 March 2012

Hijau



Pada bilah bahasa mu, aku bau resah risau mu.
Aku tahu, rasa sayang itu buat kamu berjaga; biarpun pada mimpi mu.
Untuk itu, ‘marah’ saja pada culas ku yang berbaki.
Biar saja rasa jiwa ku basah dengan peluk sayang mu yang masih rumpun hijau; biarpun beralih waktu.

AJ.25Mac2012

Wednesday, 28 March 2012

Ingat Itu


Pada lerai masa,
Pada inci kisah,
Kadangnya genggam aku tak pernah cukup padamu,
Ada saja yang berjujuran tiris tanpa aku pandang,
Namun,
Secubitpun rasaku tak bisa terbias,

Cuma,
Maafkan pada aku yang secukupnya aku ini.
Dan syukur,
Kerana kamu pelengkap rusukku.

AJ.25Mac2012

Tuesday, 27 March 2012

Hati

Kadang.
Harus biar pejam;
dan benarkan hati yang berlari sendiri, menafsir birai angin yang mengusik gegendang dengar.
Harusnya,
hati lebih bisa bertemu hati.
Cuma.
Andai hati sendiri separuh masak,
bagaimana mahu terasa ranum kunyahnya nanti?

AJ.1Feb2012

Monday, 19 March 2012

Telinga



“Sakit telinga, Doktor”
“Ya Allah, sampai macam ni jadinya? Ni dah luka, dah tersumbat ni” dan riak wajah doktor itu menampilkan risaunya. Risau yang jujur.

“Korek telinga dengan pengorek besi tu Doktor. Tu yang sampai luka begini” jujur.
“Sebenarnya, pakai kutil kapas pun tak elok, inikan pengutil besi. Telinga ni tak payah dikorek patutnya. Nanti jatuh sendiri najis dia.”

“Tau, telinga ni dindingnya lembap, senang terluka, tapi kadang tu tak tahan gatal telinga doktor. Korek sedap sangat tu yang luka tu” sambil tersenyum. Mana tidak, salah sendiri barangkali.

Dan hanya senyum manis yang dibalas doktor itu, sambil dua tiga geleng halus menjadi iring.

Oh.
Manalah tahan kalau dah bergatal-gatal di telinga pinta diusik buang; pasti dicapai apa yang ada di gapaian dan selesaikannya sesegeranya. Dan kita semua tahu, mengorek telinga itu sedap; dan dalam sedap itu sendiri kita terluka; mudarat dan sengsara.

Begitu juga hidup.
Bukan berlaku salah kerana jahil segala arah. Cuma, kadangnya kita terjatuh pada goda sengsara dan biar redah saja pada kata hati; biarpun tahu akibat nanti-nanti.

Berjumpalah dengan ‘Sang Perawat’ sebelum terus bernanah dan tersumbat ‘telinga’ kita nanti. Hidup kena tahu sakit pada jatuh; bukan untuk mengeluh tapi sedar dari tersengguk-sengguk lena.

Friday, 16 March 2012

Suap


Berhabislah beribu pun untuk yang sedap di lidah kamu, semuanya bisa hilang terus tika lewati tengkokmu. Dan untuk yang sesekejap itu juga masih banyak yang berebut dunia dan berhabis daya.
Oh.
Ya. Barangkali, kamu bisa panjangkan rasa nikmat itu dengan mengunyah lama; sebelum ia hancur dan undang rasa tawar.

Seperti hidup.

Berhabis, berpijak, bersudah dan bermati hanya untuk puluh tahun yang tak lama berbanding panjang 'dunia; sana'; dan kita terlupa yang berbuat 'tahi' bertimbun juga tidak berguna, kerana yang perlu adalah apa yang 'diresap badan' untuk menjadi 'tenaga' dan 'daya' untuk mara.

*senyum*

Thursday, 15 March 2012

Sejarah


Gemilang, kecundang dan kedua-duanya.

Sejarah bukan wujud berkajang-kajang untuk esok datang menumpang.
Sebaliknya, untuk belek pandang pada apa silap semalam, agar lusa tidak sama memijak; dan kandas.

Wednesday, 14 March 2012

Puja


Bebunga. Susun kelopak besar kecilnya cukup-cukup cantik.
Harum sepenuh jiwa.
Dipetik orang jadi pujaan.
Mekar.
Sehari. Dua. Tiga. Dan Layu. Kering. Sering.
Dibuang sebelum mati.

***

Rupanya, yang dipuja hanya bisa kekal sekilas waktu; melainkan kita biar dia hanya seperti mana sepatutnya.

Dan; begitu juga hidup.

Monday, 5 March 2012

Rasa


Kadangnya, benci aku terlalu dalam;
sedang tadi aku enak berapungan di atas senyum yang indah.

Rasa ini bisa terjun lekas:
sedang sedar aku mahu berpaut lebih lama dari mencicah rasa pahit itu betul-betul.

Thursday, 1 March 2012

'Air Dia'



Idea sebenarnya ada di mana-mana.
Memerhati dalam diam, kamu bisa jumpa satu.
Membaca penuh dalam, kamu bisa jumpa satu.
Melayar pada pandang, kamu bisa jumpa satu.
Cuma.
kadangnya dia mati hanya pada sebunjut idea dan hilang.

Ah.

Kalau boleh aku bimbit satu-satu dan jadikan perencah 'pasti sedap' kan bagus?

*senyum*

Bagi aku;  melihat kita, melihat keluarga dan manusia di sekitar kita dengan penuh 'kebarangkalian' akan datangkan idea untuk penulisan. Juga pada yang melayar fb dengan status-status manusia, melayar blog dengan penuh cerita itu dan ini; ia ada di mana-mana.

Bagi aku, titipkan saja 'KEBARANGKALIAN' dalam setiap bacaan, dan Insya’Allah nanti “'eh', ini bisa jadi satu cerita”.

Kan membaca tulisan dan membaca alam itu sendiri satu cabang ilmu, sahabat?

*senyum*

Seboleh mungkin, mahu saja hasil penulisan nanti hadirkan sedar yang baik untuk pembaca. Tapi, setakat itu sajalah yang termampu dalam kekangan menulis.

Barangkali sesetengah itu tersekat pada pembacaan mereka dengan susunan kata aku yang melingkar belit, maka mereka terlepas dari memandang kekurangan dari segi plot dan susunan watak.

Namun begitu, demikianlah manusia; dan akan diperbaiki lemah rendah aku ini dari masa ke semasa.

*senyum*

Insya'Allah.

Wednesday, 29 February 2012

Pada Tiga Jemari



Yang aku bisikkan bisa hilang. Maka, biarlah aku menconteng di cermin berdebu ini; tinggal, buat kalian renung. Sekupang dua itu saja yang mampu aku kongsikan;  itu pun kalau mahu memandang.

Selebihnya
Aku si marhaen kecil yang kosong mengendong guni-guni kehidupan yang tidak berisi sambil berkaki ayam di pinggir jalan.
Mengemis.
Manalah tahu, ada secubit dua lebih makanan yang boleh aku tumpang.
Ada sepatah dua kata-kata manusia yang berterbangan di angin lalu buat aku kutip simpan.

Kalau pun semuanya tidak ada nanti, aku bisa jadi kaku, dan berdiri memerhati dunia.
Ah
Manalah tahu, ada satu dua anekdot baru untuk aku simpan buat pahat hati anak-anak aku di rumah.

Samalah pada semua kita.
Kita yang tidak lebih dari marhaen yang selemah-lemah kemampuan.

Sesekali, belajarlah dengan yang lebih rendah duduknya dari kita; dan kadangnya belajarlah dari yang tinggi dirinya lebih dari kita.

itu saja.

Above all, The Almighty Allah is everything

*smile*

Tuesday, 21 February 2012

Baju Jiwa



setebal-tebal pakaian di dunia yang mampu kita sarungkan adalah dari jahitan iman di dada.
tanpa ada jalur-jalur iman dipintal dan di kemas-kejap di pelosok hati dan tubuh kita; berbogel lah dari perlindungan benci dan murka dari-Nya.

selagi ada iman; senipis halus pun dia, iman tetap iman.
dan fitrah kemanusiaan itu, berdebar hati bila mahu melangkah dalam najis kejahatan, kerana lahir kita dalam putih bersih, dan suci, maka pasti tubuh kita sendiri jijik dengan kejahatan itu; walau sekecil mana pun dia.

cuma.
bila nafsu kita bimbit jadi teman yang bersuara lebih dari ilmu agama kita, dan dibuang siat-siat iman dari salur pembuluh jiwa kita, berbogel lah semuanya dengan penuh bogel untuk di biar tatap serapat mungkin.

waktu itu, apa itu malu?
ah. biar saja!
apa itu takut?
sedang Allah pun di biar tak dipandang hirau, inikan hal manusia!
enteng saja!!!

AJ-2010

Friday, 3 February 2012

Sakit II


Kan elok kita mati bersakit. Kurang-kurang kita ada masa untuk untuk sedar dan sebut ‘Allah, Allah dan Allah’ berpanjang-panjang. Moga ada sedikit ruang untuk cari lemah dan terus perbaiki diri untuk kurang-kurang lebih dekat dengan syurga Allah.

Tapi tak juga semua yang ada peluang itu sedar yang itu jalan akhir untuk sedia bertemu Maha Kuasa Allah. Tak lebih hanya jadi bahan membakar emosi yang sedia mati dari roh kebenaran.

Thursday, 2 February 2012

Ada Empat



*
Pada setiap keluh kesah jiwa, ada satu dua lompong kosong yang buatkan tenang bukan apa yang tinggal dirasa. Lagi dibiar ranum hati dibaham emosi yang duduknya tidak reti diam, lagi jahanamlah susun langkah hidup.

**

Mencari harus ada pelita.
Apa guna dipegang pelita itu kalau mata mahu dipejam rapat-rapat.
Jangan disalah pelita.
Salahkan mata, yang di belakangnya jiwa yang tak mahu sedar.
Sedang dalam terang pun bisa tersadung, inikan hidup yang dibiar hitam tak ada terang.

***

Kosong pada perut jangan dibiarkan, nanti mudarat pada kederat.
Kosong pada jiwa jangan disepikan saja, nanti rosak pada sesat percaya.

****

Sebaiknya emosi, apabila ia menjadi hasil dari jiwa yang rasional, dan bukan menjadi input untuk apa jiwa rasionalkan. Tidaklah juga baik pada semuanya kalau masih kosong tak bertaut pada yang haq.

Wednesday, 1 February 2012

Hilang-kan



Pada setiap yang hilang ingatan, terbaik utuk kembalikan ingat mereka adalah bawa semua yang pernah menjadi kenangan dan tunjukkan satu persatu. Dari gambar, cerita, pada nama, tempat, keadaan dan sekaliannya. Tak kira lah perit atau manis kenangan itu.

Dan untuk itu,jalan yang sama juga harus kita ambil untuk biar sisih buang apa yang kita ada dan pasang mode ‘hilang ingatan’; cuma jalan itu bukan kita jalan terus, tapi kita menetang arus.

Bukan mendekati apa yang pernah kita kenangkan, tapi cari jalan untuk sisihkan semua yang dekat pada kenangan dari rutin dan susun harian kita.