Jurutrengkas

My photo
Menulis untuk memudahkan ingatan, biarpun tahu susah itu barulah 'hidup'.

Monday, 13 September 2021

Bad Apple 🍏

This weeks maybe just one or two bad apples from hundred boxes of apples.

Just take a bite where reasonable, and throw the rest to the ground. Perhaps it gonna make good to the soil and next crop in the future.

Then end the week with some achievement and hope next Monday we shift to the next chapter.

*smile*

Saturday, 11 September 2021

Tonton

Ya, menonton bukan waktu sekeluarga yang sebenar. Masing-masing mungkin punya fikir yang pelbagai biarpun jasad berhimpun di satu ruang.

Kita ubah.

Memilih tontonan sama-sama, dan kita amalkan pusingan agar pilihan minoriti juga ditonton.
Usai menonton, bincang. Ekspresi emosi, dan mungkin baik buruk tindakan. Mungkin juga sesi 'kalau kita watak itu, kita bagaimana'.
Mana tau, fikiran bisa semarak. Perkembangan fikiran dan kecenderungan bisa kan tampak; dan paling penting kita bisa jumpa maklumat baru untuk kemaskini hubungan keluarga.

Yang penting, rasa didengar dan dipercaya/ baru muncul rasa dimengerti
Kan. 

*senyum*

Thursday, 9 September 2021

Ouch

"Babah, kaki sakit" sambil tunjuk garis-garis di kaki yang sedikit berseriat luka. Bibir dimuncungkan, menunjuk ke kaki besi penyidai kain. Ohh.

"Aloo sakit ni. Babah buh ubat naa" dan senyum.


* * *

Percayalah, garis luka itu tidak lah sakit mana.

Yang sakit, bila mereka tidak lagi mencari kita bila mengadu.

Yang sakit, bila mereka rasa kita meremehkan emosi mereka.

Dan yang paling sakit, bila hal-hal yang kita nampak kecil ini pelahan-pelahan hilangkan peranan kita dalam jiwa mereka; dicuri kawan sebaya misalnya, atau mungkin kenalan manis mulut di alam maya.

Kan.

Raikanlah. Hidup ini tiada mesin masa ya.

*senyum*

Tuesday, 7 September 2021

Biskut

Biskut tradisi itu resamnya sedap dek air tangan. Dibakar dek tempurung atau dapur kayu. Berpayah. Natijahnya lebih terasa dan berlagi-lagi ingin nya.

Yang diacu di kilang masih biskut tradisi. Masih berasa. Masih ramuannya sama. Cuma rasanya sedikit kurang. Barangkali, mesin-mesin itu sentuhannya sama sahaja apa keadaan, aduan dibalun tanpa mengira emosi, dan tentu saja tidak ada air tangan. Harus benarlah khalayak lebih memilih yang seperti dulu; secara manual. 

Begitu juga mengadun manusia. 

Kalau hanya mengharap acu dan bancuh di arus perdana yang biasa, rasa hasilnya nanti bisa ada; cuma khuatir tak seperti yang di damba. Maka semi manualkan lah. Ada yang dibentuk kita, dan ada yang rutin diuli 'kilang'.  Nanti tekan semula lah acu ke atas doh itu sendiri, agar jari-jari bisa membetul-betul bentuk agar nampak seperti yang didamba. 

Kan. 

Sunday, 5 September 2021

Bukan Calang-calang

Ada sayang yang tak boleh diucapkan dengan kata-kata.

Ada cerita yang hanya boleh dikemam dan kita harap lama-lama ia lumat dan bisa ditelan.

Dan ada yang semata perlu masa untuk untuk kelihatan rasional dan bukan hujah ataupun fakta.

Benarlah, hidup ini sulitnya bukan sedikit, kerana yang menyusun silang kata, 'sudoku, dan semua macam uji minda ini pun bukan calang-calang (Maha Mengetahui).

*senyum*

Percayalah ada Tuhan; dan tunjukkan pada perbuatan. Selebihnya, Maha Esa aturkan.

Friday, 3 September 2021

Kongsi

Bila kita berkongsi waima ilmu, cerita atau apa sahaja, harus faham bahawa ia satu ajakan untuk sama merasa apa yang kita rasa, bukan paksaan untuk sama tenggelam.

Maka, berlapang dada.

Bukan semua orang miliki masa dan kecenderungan yang sama seperti kita, maka hormat hak mereka.

Berkongsilah dengan hati; sepenuhnya, dan selebihnya hal Tuhan.

Baiki niat. Baiki kaedah. Ya, ia bukan mudah; tapi berbaloi.

*senyum*

Wednesday, 1 September 2021

Sayap

Bilamana yang berkisah dan utama hanya kita, mana mahu datangnya harmoni dan situasi sama tinggi?
Sedangkan sayap pun alunnya berdua, serentak seirama; sentiasa.

Kan. 

Monday, 30 August 2021

Kopi Kosong

Kopi kosong yang paling sedap, haruslah yang elok panas, mesra campuran biji kopi berkisar halus dengan sukatan perasa yang dikacau sebati dalam cangkir ceramik yang pernah dinikmati dulu.

Mungkin bertahun dulu; atau lebih lama.

Dan kadang, kopi yang sama panas dan bancuhnya, hari ini, tidak terasa sama. 

Benarlah barangkali, ada momen yang molek hanya dikenang, dan bukan diulang; agar 'manis' yang pernah dihirup, bisa kekal hidup. 

*senyum*

Saturday, 28 August 2021

Pemain Ganti

Ketika merancang penggantian pemain, pasti diarah semua pemain ganti memanas badan. Sama berlari anak. Serentak. Ia ibarat menyimpan kad-kad strategik dari dibaca lawan, sambil kita juga membiar pilihan kita kekal terbuka sebelum sesuatu keputusan dipilih.

Dan sekali kita pilih 'pemain' mana yang turun, kita harus pegang dan yakin dengan pilihan itu, dan menilai setiap perubahan pada sela masanya sebelum keputusan baru boleh dibuat, sekiranya perlu.

Hidup pun harus begitu. Perlu melihat suasana, memilih pilihan, pegang pilihan itu, dan barangkali ada situasi baru yang menuntut satu lagi keputusan.

kan.

Thursday, 26 August 2021

Junjung

Tingginya kita dijunjung bukan kerana orang yang kita pijak, tapi kerana kita berpasak atas orang. Berpasak atas percaya. Percaya kepada sama bersusah, untuk nanti sama kan menang. 

Bukan kerana memijak kepala dan tengkok, yang mula dengan membunuh selesa, dan pelahan-pelahan melemakan asasnya. Tiada siapa yang menang, apatah lagi menang-menang untuk yang dipijak. Junjung ini tidak akan lama. sampai masa mangsa pun lemah, lemas dan mungkin tiba-tiba baru sedar untuk beredar, maka jatuh tersungkur lah semula; dengan sakit yang amat.

kan.

Tuesday, 24 August 2021

Hilang

Kehilangan itu sakit, kesepian itu lebih sakit.
Kita hanya akan hilang, jika kita mempunyai jiwa pemilik. Sedangkan nyawa dan jasad ini sendiri pinjaman, kan.

Susun dan usaha; kemudian mula semula.

*senyum*

Sunday, 22 August 2021

Pause

In life, we gonna face junction after junction; and we need to make decision after decision.

Take a pause dan think.

Take one step with brave heart and keep on moving; face the consequent and learn to keep learning. You will be better for sure. Either you in better life or learn how to be better.

Kan.

*senyum*

Friday, 20 August 2021

Indulgence #2

Ada setengah kita, membuat keputusan hanya kerana dikhabarkan sedap. Belilah dan simpan elok di kereta sekejap. Untung-untung ia kejutan yang mengembirakan untuk orang tersayang. Rupanya, kita yang terima kejutan. Kek ini cair saja! Tawar! Hanya serupa ini dikata orang ianya sedap?! 

Wei, biarkan dalam kereta kan kek tu cairlah. Ini bukan kek buah!!! 

Ouch

* * * 

Kadang-kadang, kita hanya mendengar separuh, dan percaya kita tahu separuh yang lain; maka bertaburanlah manusia yang percaya mereka tahu sedangkan tidak. 

Rupanya bukan semua caranya sama. Ada lebih renyah dan ada yang lebih rumit urusnya; sedangkan kita hanya mahu menilai dari sudut dan kaedah yang sama? 

Wednesday, 18 August 2021

Indulgence #1

Kalau hanya luaran yang jadi ukuran, pasti kek besar indulgence tidak termasuk dalam pilihan.  Terlalu biasa. Dan kosong. 

Maka hirislah sepotong. Biar apa yang terpendam di dalam nampak dek orang, dan mana tahu, ada yang berani melaburkan masa dan modal untuk memiliki.

Dan baru nanti, kita tahu nikmat rasanua bagaimana.

Kan. 

Monday, 16 August 2021

Larut

Himpitan emosi dan bebanan yang dihadapi tiap kita pada satu-satu masa pastinya berbeza.

Barangkali, ada yang sudah terlalu berat dan sarat dengan emosi, yang mencari-cari asbab untuk pecahkan benteng rasional diri dan tiba-tiba kita datang; berderai semua.

Ouch. 

Kita barangkali sampai pada ketika yang kurang tepat dan entah-entah yang berderai tadi menghiris-hiris juga dinding emosi diri.

Tapi percayalah, dalam mode ini, hanya masa yang mampu melarutkan likat pekat rasa; dan bertabahlah buat seketika. 

Kan. 

Saturday, 14 August 2021

Merancak

Pada ketika cerita dan berita sampai dahulu sebelum dilapor, maklumat ibarat udara yang berlegaran dan datang bertimpa-timpa minta dihirup dahulu dari yang lain.

Maka tika itu, bukan siapa paling tahu menjadi yang paling penting, sebaliknya siapa paling bijak menyusun cerita yang sama tapi bisa merancak adrenalin dan endorfin yang berbeza.

*senyum*

Thursday, 12 August 2021

Sama Telefonnya

Satu masa, telefon bimbit itu yang paling baru, moden dan terhadapan. Dan telefon bimbit yang sama, hanya berdiri sebaris telefon entry-level yang bukan didamba orang pada masa yang lain.

Barangkali, hidup kita yang semata cukup dengan apa yang 'pernah tahu' juga seakhir begitu?

Ya, bukan masa yang salah. Tapi membiar kita yang sama, sefikir sama, dan mengulang yang sama pada masa yang tidak samalah barangkali salah. 

Kan. 

Tuesday, 10 August 2021

Manfaat

Penyapu di jalanan. Pembersih di bandaran. Tugas yang mungkin bukan pilihan sesiapa. Tugas yang mungkin hanya logik bagi kelangsungan hidup. Tapi ia tugas yang benarnya nampak kecil, tapi manfaatnya melata. Dan benarnya juga, petugas ini juga yang kita sukar hidup tanpa mereka.

Kan.

Mudahkan lah. Kalau kita tak punya apa untuk mudahkan, memadai jangan sukarkan.

Dan senyum.

Sunday, 8 August 2021

Langit Biru

Biru di langit sudah pun hilang. Yang ada hanya awan berat yang menanti runtuh.

Biar gerimis turun barang sekejap, agar yang berat terkandung susut biar sedikit; yang sedikit-sedikit juga menampakkan langit biru yang sebenarnya masih di situ (tak pernah hilang).

*senyum*

Jangan simpan semua, nanti ia terlalu berat. Dan mana tahu, ombak kilat pun bisa sabung menyabung.

Kan.

Friday, 6 August 2021

Tasik

Dunia bukan pustaka besar yang sekadar menyimpan berita dan percaya; tapi dunia ibarat tasik yang luas untuk kita teroka.


Duduk saja jika mahu.

Atau mengkocak sedikit air menguji suhu.

Atau mendayung sampan mudik ke hulu.

Atau sekadar menghantar umpan mengharap lekat di kail.


Berlibur atau semata bosan membunuh masa? Kita putuskan.

Kan. 

Wednesday, 4 August 2021

Water Man #2

"Di antara hidup singkat dengan orang tersayang atau hidup berpanjangan tanpa orang tersayang di sisi, mana satu jadi pilihan"
Gunner Boone, dalam The Water Man

*senyum*

Soalan itu hanya berandai, sedangkan bukan kita yang menentukan.

Yang kita boleh pilih adalah; mahu bahagiakan orang yang kita sayang dalam berapa sikitpun masa dan kemampuan yang kita ada, atau tidak.

Pilih, dan tunjuk. Selesai.

Monday, 2 August 2021

Yuran

Bergantung kepada pilihan dan kecenderungan, hati akan membuat keputusan berdasarkan apa yang kita isi dalam fikiran dan tindakan. Ada ketika isi kita salah, dan kita hanya tahu salah bila sudah tersalah isinya.

Maka belajarlah, kerana salah itulah 'yuran' untuk menjadi lebih baik. 

Kita boleh pilih untuk membayar berapa kali 'yuran' itu sepanjang hidup; cuma kita tidak tahu, semampu mana kita membayar akhirnya. 

Kan. 

Saturday, 31 July 2021

Water Man #1

"Hope is the great force; it make you see what you want to see" The Water Man.

*senyum*

Hanya jika kita tahu apa yang kita kejar, dan percaya, baru kejar kita bertuju dan 'sampai'.

Kan. 

Thursday, 29 July 2021

Giliran

Walau kita paling tahu, tapi belum tentu itu yang paling perlu. Hidup bukan mesti menjadi eksiklopedia paling tebal; memadai cukup fungsi dan mempunyai hati yang berfikir.

Hari baik yang kita kecap hari ini, mungkin esok gilirnya pada orang, kan. 

*senyum*

Tuesday, 27 July 2021

Bateri

Sebesar mana juga kuasa yang disimpan di dalam bateri (mahupun bank kuasa), lama-lama surut juga produktiviti. Kuasanya masih kelihatan sebesar yang sama, tapi bolosnya lebih lekas. Seratus peratus yang tidak se-seratus peratus dulu.

Mahu terus nampak segak di papar layan talifon tanpa fungsi? Atau masanya, ada sel yang perlu disalin baru, dinaik taraf atau apa saja?

Kan. 

Sunday, 25 July 2021

Bukan Buangkan Saja

Sampah wujud untuk dibuang. Tapi buangnya juga ada etika. Perlunya ikat, dan harus tentu bertutup rapat. Kalau salah hari bulan, busuknya kita yang mendapat.

Sama juga dengan semua 'sampah' dalam hidup. Dalam cakap. Dalam diskusi. Dalam fikiran. Dalam apa saja tentunya.

Buang biar dengan hati, agar tak tertinggal busuknya pula.

*senyum*

Friday, 23 July 2021

Belum Tamat

Maraton itu larian yang panjang dan tentu penatnya bukan kepalang. Langkah-langkah longlai dengan baki kudrat tentu terasa sangat-sangat berat dan tiada yang lain sekadar mahu semuanya tamat. Serta merta!

Tapi.

Kita yang pilih maraton ini bukan?

Kita sendiri tahu, sebaik persediaan adalah tahu sebanyak perlu dan membina momentum daya tahan badan. Kita juga tahu, ia bukan pertandingan siapa cepat semata; ia pertandingan dengan diri. Pertandingan dengan kemampuan diri.

Dan kita yang pilih persediaan apa yang kita bawa setiap kali ke lapangan, kan.

*senyum*

Jom. Bangun. Maraton belum tamat. 

Wednesday, 21 July 2021

Baiki

Bila ada salah, yang lebih penting bukan siapa yang salah, tetapi apa yang boleh dipelajari dari kesalahan itu.

Kerana apa yang kita ada, tak akan tertanggung seluruh ilmu yang bertebaran di bumi tuhan; apatah lagi langit dan bintang-bintangNya.

Pasti sampai nanti, gilir kita pula yang berbuat silap dan salah. Maka, eloklah lewat-lewatkan silap kita dengan belajar dari apa yang terjadi dan baiki mana yang termampu dek diri.

Kan.

Monday, 19 July 2021

Membongkok Dengar

Berapa banyak dan tinggi juga sijil serta pengiktirafan, kita masih kekal manusia. Ya, barangkali manusia yang paling hebat, tetapi masih kekal manusiawinya; yang kadang berbuat silap, kadang berbuat salah.

Terbukalah.

Beri peluang telinga mendengar dan hati menapis. Emosi mungkin lebih reaksi, tapi dalam hal hidup, kita melangkah dengan tujuan akhir di kepala, bukan semata meronta yang mungkin mengundang sesal esok nanti.

Tak salah membongkok mendengar dari bawah, kerana sudut lihat yang terlalu tinggi mungkin terlepas apa yang berakar di bumi. 

Kan. 

Saturday, 17 July 2021

Berhenti Sejenak

Hidup ini, kita perlu lebih banyak 'pause' dari bergerak dengan hati semata, Kerana hidup bukan bergalang seorang.

Ya, berhenti yang sekejap.
Barangkali hanya selama toma'ninah dalam solat.
Agar rasional dan gerak hati sempat bersulam dalam rasa.

Dan 'pause' tentunya bukan 'sabbatical'.

*senyum*

Thursday, 15 July 2021

Bucu & Sudut

Tiap-tiap satu kisah, banyak bucu dan sudut yang boleh kita ambil dan lerai menjadi kisah-kisah baru; yang mungkin nanti jadi ibu buat kisah-kisah lain yang berjurai, hanya andai kita kisah untuk menghurai.

Jika itu fitrahnya, mana mungkin satu kisah hanya ada satu warna. Pasti ada jalur-jalur warna lain yang bisa terbit dari celah-celah sudut pandang.

Maka jangan sibuk menyalah atau semata membetul apa yang kita suka, bukalah sudut bincang agar yang berbeza jadi rencam mengukuh tiang, bukan menghakis penegak seri.

Percayalah, tiada siapa antara kita yang bodoh; yang ada cuma yang terbuka untuk berbincang atau yang tegar berkeras tak lumat dicincang.

Kita? Pilih. 

*senyum*

Tuesday, 13 July 2021

Jalan Pintas

Bukan semua jalan pintas itu jalan yang terpantas. Ia mungkin jalan paling pendek, tapi jalan yang paling sukar dan perit.

Mengira dunia yang tentu menuntut pengorbanan, telitilah jalan mana untuk kita. Jika punya tenaga tiada waktu, jalan pintas saja pilihan. Jika sebaliknya, susurlah ke jalan biasa. Hujungnya, tetap ada satu sisi yang perlu dikorbankan. Kita tidak bisa punya kedua-duanya. 

Paling utama, betulkan tuju dulu. Jika tidak, kita bisa hilang kedua-duanya. 

*senyum*

Sunday, 11 July 2021

Rasa Mana Dahulu

Kita ada seribu satu rasa dalam jiwa, dan kita boleh pilih yang paling membahagiakan atau yang paling perlu diutamakan pada mana-mana ketika dan waktu.

Yang penting, pilihan perlu dibuat; dengan sedar. 

Akhirnya nanti, kita yang perlu tanggung dan jawab atas pilihan kita, maka pilihlah yang paling berbaloi menerobos masa, dan bukan semata untuk detik yang ini.

Friday, 9 July 2021

Cerita Berdikit

Kita bercerita dengan orang yang kita percaya.

Dan sepercaya mana pun kita dengan orang, masih ada cerita yang perlu kita simpan seorang, kerana kita sendiri belum boleh percaya sepenuhnya dengan diri sendiri, maka bagaimana harus kita percaya bulat pada lain manusia?

Percayalah lah pada yang perlu.
Dan bercerita lah sekadar yang perlu, agar tak bersarang menjadi arang, tak memendam sehingga karam.
Cukup sekadar lepas; dan geraklah lekas.

Masa tak banyak, kan.

*senyum*

Wednesday, 7 July 2021

Bercakap Berat


Tidaklah seseorang yang bercakap itu mendengar, selain dari dirinya sendiri. Maka, tidaklah mustahil, pada mereka, yang betul hanya mereka sendiri; sepenuhnya. 

Sedangkan. 

Kurangkanlah bercakap, kerana masih banyak yang perlu kita tengok, baca dan teliti untuk buat bicara kita lebih berisi dan ulas kita diperhalusi; bukan ditaati dengan tuli.

Mahu besar mana lagi, kalau seluruh isi dunia hanya sang debu di alam semesta? 

*senyum*

Monday, 5 July 2021

Kongsi

Ilmuan dulu, tetap catatkan hadith-hadith dhoif yang ada dalam kitab-kitab mereka, dan tentu dicatat tanda ianya dhoif. Mungkin nanti-nanti, ada kepingan suai padan baru yang melengkapkan padanan yang jadikan hadith doif tapi sebenarnya sebuah hadith hasan (atau juga palsu rupanya!).

Maka kenapa kita, perlu rasa paling hebat baru mampu berkongsi?

Mana tahu, ada idea-idea dan pandangan kecil yang mampu dikumpul jadi besar, atau setidak-tidak mampu di absahkan sebagai silap/salah.

Kan langkah ke-sejuta pun kena ada yang pertama, kedua dan seterusnya?

*senyum*

Saturday, 3 July 2021

Telahan Perlu

Kawal cara manusia berfikir; dan kamu kuasai mereka. Keterdesakan hidup buatkan jalan membuat pilihan semakin runcing dan barangkali menutup semua jalan alternatif.

Benarlah; kita hanya seluas apa kita tahu dan apa yang percaya. Hanya manusia yang percaya bisa kian hidup; biarpun hakikatnya mereka menghampir mati.

Kuncinya, ilmu hanya akan membunuh kalau emosi yang menjadi pemandunya. Jangan menelah kerana emosi dendam, tapi menelahlah kerana ia telahan yang perlu.

Kan.

(catatan dari Kapal Terakhir Di Bumi tulisan Teme) 

Thursday, 1 July 2021

Adiwira

Masalah perlu muncul dahulu, baru penyelamat mampu datang dan menjadi adiwira.

Jika tidak, orang yang berkuasa dan milik segala jenis sut, serta semua jenis senjata tidak terlawan, hanya berdiri sebaris dengan manusia kebanyakan.
Oh. 
Mungkin lebih rendah.

Kerana kita yang biasa-biasa ini sudah biasa dengan susah dan payah; dan setiap yang gagal 'membunuh' jiwa mahupun rasa, buatkan kita lebih bernyawa.

Rupanya betul, tiap akhir episod susah, akan datang kemudahan, dan kita naik 'level' lagi untuk tahap yang lebih susah dan 'melawan ketua yang paling besar'. Papan kawalan di tangan kita kan? 

*senyum*

Tuesday, 29 June 2021

Payah Berhadiah

Bila mana kita hanya menuntut orang lain mengerti hidup kita yang payah dan goyah, agar nanti, kita mampu keluar dari semua jenis susah; rupa-rupa kita salah.

Yang perlu mula mengerti itu, kita.

Mengerti, kita bukan pencipta langit dan bumi. Kita bukan pengatur takdir dan rezeki. 

Maka, susunlah impian ke kaki awan dan usahalah dengan kaki memijak bumi, selebihnya semua urusan Dia. Baru nanti, payah menjadi 'hadiah' untuk kita terus hidup ber-Tuhan. 

*senyum*

Sunday, 27 June 2021

Tapis

Membaca terjemahan juga buat kita faham, apatah lagi kalau bertalaqi dan bertadabbur; makin digali, makin jelas membuang kabur.

Benarlah kata orang berilmu, baca dahulu kemudian faham, dan kemudian baru lebih faham yang terlalu banyak lagi untuk digali dan difahami. 

Patutlah belajar tak pernah habis, rupanya makin kita menapis, makin banyak yang kita bisa nampak tiris ke bawah. 

Kan. 

Wednesday, 23 June 2021

Hidangan

Bila bancuhan kopi kita terlalu pahit, tambahkan sedikit gula.

Bila masakan kita terlalu pedas, juga kita tambahkan sedikit gula.

Ya, memadai sedikit, agar kompleksiti rasa boleh dilerai dan lebih mudah untuk dititip atau dijamah sesuap dua.

Kan itu lebih baik, dari menambah lagi pahit atau menambah lagi pedas yang tentu saja buatkan 'hidangan' itu akhirnya tidak tersentuh oleh sesiapa dan tentulah tidak menguntungkan sesiapa.

Percayalah, kita semua bukan bisa betul terus dalam masakan. Pasti ada terlebih garam, terlebih tawar, atau apa saja. Tapi, kalau kita ambil lebih selangkah untuk membaiki masakan, barangkali keriuhan sama di meja makan bakal berpanjangan. 

*senyum*

Monday, 21 June 2021

Batu Sempadan

Selapang-lapang ruang, ada hujungnya. Ada sempadan. Baik ianya sabar, baik ianya tabah, baik ianya marah atau apa saja. Ada hujungnya, sebelum kita 'jatuh' terbabas dengan entah apa yang kita belum tahu. Belum lalu.

Dan tidak akan bertambah luas pada ruang, kalau kita tidak mengambil peluang 'berunding' dengan kehidupan. Bertolak ansur dengan jatuh dan bagun, atay setidaknya berpayah usaha menumbang semak dan rimba untuk mengalih batu penanda.

Dan mana tahu. Dengan hanya diam, membiar atau membatu, bisa mengecil ruang yang itu tanpa kita sedar.

Kan. 

Saturday, 19 June 2021

Baharu

Yang tampak molek, selalunya yang bukan di tangan. 

Yang tampak baik sahaja, yang tidak ada serpih, yang tidak ada compang camping, selalunya yang bukan di tangan.

Sedangkan, fitrah bagi yang baharu boleh jadi moleknya ada buruk. Usai melewati waktu, baik mana juga bisa mengundang serpih dan kadang compang camping.

Benarlah barangkali, nilai sempurna bukan pada fiziknya baharu, tapi pada batin yang menerima dan melengkap mana yang perlu.

Baru rukun mencukup sifat.

*senyum*

Monday, 14 June 2021

Lain Tanah

Lain tanah, lainlah serapnya air yang disiram.

Ada tanah liat yang membiar takung siraman sampai kering, ada pula yang semata lalu dicelah pasir dan turun menyiram bumi tanpa baki.

Dan tentu saja ada yang elok membasah gambut, menyimpan sedikit buat akar dan unting-untung ada buah manis buat dicicip nanti.

Kalau itu tentu fitrahnya; lagi kita mahu salahkan tanah kerana berbeza? Sedangkan kita sendiri yang menyiramkan airnya?

Oh. 

Saturday, 12 June 2021

Kamu Salah!

Boleh.

Boleh salahkan siapa sahaja; asalkan kita tidak berhenti sebelum absahkan kenapa salah itu salah dan betulnya bagaimana.

Jangan disuruh diam dan faham sendiri, kerna yang difaham tadi kan sudah pun salah, lagi kita suruhnya 'berjalan' sambil menutup 'lampu terakhir' yang menyala tadi?

Kan. 

Thursday, 10 June 2021

Dengar

Jangan mem'batu'.

Banyak mana pun benda berlegar di fikiran dan bersusun untuk diluahkan kata, beri jugalah keadilan kepada apa yang nak disebut oleh orang; pasang hati untuk mendengar.

Atau paling tidak, beri tanda kita belum mahu mendengar.

Sebanyak mana kita mahu didengar, begitu juga dimahu yang lain.

Adil. Kan. 

Tuesday, 8 June 2021

Hidup

Rupanya bukan sihir atau mana-mana serum jampi yang memanjangkan usia melewati mati; cukup sekadar ikhlas berjasa dan meninggal kesan pada yang masih hidup, nanti kita bisa terus 'hidup' biarpun tidak. 

Cukup sekadar itu. Kan.

*senyum*

Sunday, 6 June 2021

Faham

Manusia fitrahnya perlu faham untuk tenteram, perlu tahu untuk barangkali setuju atau setidaknya ada saki baki peluru untuk dibawa ke gelanggang ilmu.

Bila-bila mana kita gagal membawa faham, pasti mudah menimbul andai yang kemudiannya merungkai dan melerai dinding-dinding percaya yang baru belajar untuk melekat dan diskru kejap.

Benarlah kata orang; membina itu sukar, tapi menegakkan yang terbina lebih banyak payahnya.

Kan. 

Friday, 4 June 2021

Sakit

Manusia yang tidak tahu sakit apa lebih kuat usahanya dan selalu lebih berjaya; dari manusia yang tentu tahu sakitnya di mana, tapi membiar sakit itu mengabsahkan kesakitan dan kemudian merosak satu persatu harapan.

Dan.

Kemudian karam.


Oh.


Salah takdir juga tu?


Wednesday, 2 June 2021

Ada

Doa.

Doalah selepas usaha.

Kerana doa adalah cara kita bersandar, bila sudah tiada tempat bersandar.

Dan doa hanya ada pada orang percaya.

Dan kata orang, harapan hanya ada pada orang yang percaya.

Kan.

*senyum*