Jurutrengkas

My photo
Menulis untuk memudahkan ingatan, biarpun tahu susah itu barulah 'hidup'.

Thursday, 17 December 2020

Kanta Hati

Pada tiap-tiap tempat dan ketika, waima membaca naskah yang sama helainya, kita bisa menghurai dengan ibrah yang berbeza, malah berselisih dengan pandang.

Mungkin benarlah yang disebut orang, ilmu dan pengalamanlah yang mengukir kanta pandang kita. 

Maka tentu saja ukir kanta setiap kita bersendiri seninya dan membuatnya ia membaca dengan lontar cahaya yang sudut pandang yang tentu saja berbeda. 

Tuesday, 15 December 2020

Kirai

Yang memenatkan adalah mengira apa yang kita belum ada, sedangkan yang kita simpan belum habis kita kirai (apatah mengecapinya) .

Sunday, 13 December 2020

Tak Salah

Kecewa hanya wujud pada hati yang berekspektasi, tapi akal yang meletak harapan tidak sama sekali bersalah. 

Yang meraung hanya emosi, sedangkan yang berfikir takkan gagal menyusun pelan B. 

Friday, 11 December 2020

Untung

Hidup bermanusia bukan seperti memeras sehabis mampu sebatang tebu, tapi mengembur tanah bercucuk tanam dan menuai bermusim.

Untung biar sama merasa, kerana takkan hidup kalau sendiri. 

Wednesday, 9 December 2020

Tuju

Yang sampai ke lubuk rasa bukan sekadar cantik butir bicara, tapi isi yang memberat buah fikir ke selam yang lebih dalam.

Benarlah

Kita hanya nampak kalau kita faham. 

Tuesday, 5 May 2020

Aku Juga Membaca - Rindu

Membaca through back di fb Macy buat aku tersenyum sendirian.

Tentu saja aku juga rindu kalian.

Sedar-sedar, sudah hampir sedekad.

Tapi, percayalah, kenangan itu buat kita dekat.

Untuk aku, kalianlah skru dan nat (bolt) yang mengikat semangat untuk blog ini hidup saban hari. Berselimutkan kesuburan kenangan pasti buat aku lena dan nyaman melajak waktu. 

Mahu menghubung satu persatu, aku percaya semua sudah ada hidup dan keutamaan yang ditatang. 

Maka, menulis terus sahaja di sini, sebagai tanda 'aku ada' jika kalian ingin 'berjumpa'.

Banyak nama yang barangkali aku tak mampu sebut, dan tentu saja aku bisa tercicir biar semampu daya aku cuba.

Ada yang cukup rapat. Sesetengah hanya ada di email, ada juga yang kami pernah bersua muka sekali dua tanpa di rancang, dan ada yang pernah bertembung bualan di dalam talian dan tentu yang lebihnya hanya sekadar malar di ruangan ini. Mana medium dan ruang yang kalian isi pun, semuanya penting buat aku di sini.

Tidak banyak yang ku minta; memadai Allah berkati usia kalian, beri iman yang kuat pada dugaan, dan kecukupan rezeki dari Tuhan. Semoga bahagia sahabat-sahabatku. Ameen.

"Salam. Hi, saya AJ. AJ Nismihan"

*senyum*

Tuesday, 21 April 2020

Buah Seulas

Dunia ini luas, dan lebih luas dari apa yang kita pandang. Maka berlapang dada lah, untuk ketemu kawan berbalah. Barangkali, ada jalan yang telah dia tempuh ketika kita masih bersila ampuh.

Senyum.
Dan kutip buah yang ditabur.
Kupas kulit dan buang sisa.
Hadam isinya.
Mana tahu, entah manis (entah kan kelat) ini takkan dijumpa lagi; dimana-mana.

*senyum*

Monday, 20 April 2020

Sulit Menelah Angin


Hal hati, rumit nya bukan alang-alang. Menelah hati sendiri juga payah, apatah lagi mengerti hati orang.

Kerana sifatnya beralih ubah. Tetapnya tidak tentu, hasratnya merebak biar yang asal belum tersebak, maka menelah hujungnya pengharapan pasti mustahil kita sampai.

Harusnya bagaimana?

Yang disandar, jangan pada angin yang bertiup. Tapi, pada 'si peniup' angin yang menembus semua kebarangkalian.

Sebab hati bukan untuk difahami, tapi didamping dan diisi; dan sebaik pengisi, hanya Dia.

*senyum*

Sunday, 19 April 2020

Peri Perjalanan


Yang dibaca bisa hilang, maka catat; moga lekuk-lekuk huruf yang kita garap menjadi asbab lebih mengingat.

Dan sebaik-baik satu ilmu, hadam dan seraplah dalam tingkah dan laku; moga terpahat membentuk sikap.

Ini bukan perlumbaan siapa paling melimpah harta ilmunya; tapi perjalanan menjadi insan paling berhikmah peri pekerti (yang tentu ilmulah bahan api dan hartalah pelincirnya).

Oh.

Saturday, 18 April 2020

Dunia Kecil


Dunia hanya kecil bagi kamu yang mengecilkannya.

Sedangkan, pada mata yang memandang, terbentang seluas-luas ruang yang bisa tercapai dek cahaya.

Pada setiap kisah yang kamu pandang, yang kamu dengar, mahupun yang kamu rasa, ada 'pesan' yang kamu bisa nukilkan, agar sisi pelupa kamu bisa ingat; tuju kita tetap satu, dan jalan akan tetap sentiasa ada.

*senyum*

Friday, 17 April 2020

Ini Hari Apa?

Kita hilang perkiraan atas hari, bila mana ia pergi tanpa kira rancang, ia datang tanpa kita undang.

Sedangkan masa yang terlalu lambat melewati kita waktu ini, jadinya cukup-cukup laju bagi orang yang mengisinya.

Benarlah.

Kosong harap kita, kosong juga rancang kita.
Malah berharap hanya sekadar mengharap, ibarat punya beribu, tapi berganda kosong; mengekal kosong juga jadinya.

Mahu dijawab apa jika tanya atas pembaziran ini nanti? Sedang yang bertanya, bukan alang-alang penanya.

Oh.

Wednesday, 15 April 2020

Pembaca Menulis


Penulis juga pembaca, dan harus terus membaca agar bisa terus menulis.

Moga, yang dicatat bukan semata kata, tapi anyam peristiwa yang disusun rapi, agar ketemu ibrah hidup biarpun kita mati.

Yang terjadi, bukan semata mengundang ketawa (dan air mata) kita. Tapi juga mengundang ingatan, agar esok, salah itu tidak kita ulang; hanya jika kita faham.

*senyum*

Tuesday, 14 April 2020

Tolong Laju


Boleh dengar apa orang kata, sebab tak semua nampak dek mata kita.
Tapi, kita ada akal dan hati, jadi jangan dengar dengan tuli.

Dengar, fikir, dan hadam.
Rumus dalam tindakan.

Esok-esok, kalau kemalangan, polis tak tanya siapa suruh laju; polis tanya, ini kereta siapa pandu?

Kalau yang 'tanya' tu, Tuhan Yang Satu, bagaimana lagi mahu tipu?

*senyum*

Monday, 13 April 2020

Air Panas Segelas

Dalam menyusun jadual hidup, jangan lupa kita manusia yang ada 'mahu' dan ada 'emosi' yang turut perlu disantuni.

Sesekali, ambik masa lepaskan lelah, dengan cara kamu.

Agar mata yang memandang, nampak dunia yang terbentang, dan tidak mati dalam sepetak dua fokus yang dihadap.

Hirup lah air panas segelas, dan mengisi ruang pandang dengan khalayak yang lalu lalang. Pasti ada ibrah untuk kita, biarpun sehalus mana.

Kata orang, jangan semata kerap berucap bermadah, sesekali menjadi pendengar agar kita lebih 'celik' dan 'berhemah'.

*senyum*

Monday, 6 April 2020

Senyum Pahit


Membenarkan hati melepaskan sesuatu yang di sayang rasa, fitrahnya amat payah.
Tapi, percayalah, bukan semua sayang itu membawa kebaikan.

Ada masa dan ketika, melangkah dengan tenang dan redho lebih baik, untuk perancangan Allah yang tentu lebih lengkap.

Payah?
Berpayah untuk kebaikan itu berat timbanganNya, kan.

*senyum*

Wednesday, 1 April 2020

Rasa Aksara


Menulislah apa yang kita faham, buat ingatan yang mampu menyuluh jalan.

Ya, kita belum cukup sempurna malah tidak akan sempurna. Tetapi, sempurna itu sendiri satu perjalanan, bukan hentian yang boleh ditanda selesai.

Jadilah pembaca dahulu, hadam, dan larutkan setiap aksara, sebelum menyusun semula mentafsir rasa.

*senyum*

Monday, 16 March 2020

Merencam Warna



Bukan risau laman yang dituju, tapi berkira-kira dengan laman yang ditinggal.

Yang tentu ada, rencam suka duka mendasar dalam emosi.

Benarlah kata orang, imaginasi membuat kamu teruja, tapi takkan mampu menang dengan emosi yang ditempuh sendiri dek hati.

Moga yang ditinggal, makin baik, dan yang meninggal juga baik.

Hidup bukan semata satu warna; maka bergaul coraklah mewarna baru. Mana tahu, ada rasa baharu.

*senyum*

Saturday, 14 March 2020

Hanya Sebuah Rumah Bot


Bukan semua yang berkhabar gah, benar-benar berkisah dah hebat duduknya. Rupanya, ada semata hidup dengan percaya, dan mereka benar-benar hidup.

Betullah telahan bijak pandai; syukur dan menekun pada yang ada, serta percaya dengan usaha, selebihnya Allah susulkan jaya.

*senyum*

Friday, 13 March 2020

Satu Akhir, Yang Baru Bermula


Dinding-dinding, karpet, candelier serta segala macam lekapan dan lengkapan ini hanya susuk kosong yang mati. Namun, ada insan seperti kalian yang membawa jasad-jasad ini seperti hidup dan bernyawa. Mengisi atmosfera antara kita dengan senyum, gelak dan ketawa.

Biarpun sesekali, ada tingkah dan amarah yang menghentak rasa; tapi, kemudian kita tahu, ia mengajar erti 'kita' berbanding aku/kamu, meletak faham dan mengerti, menyusun tolak tika beransur, lantas membina yakin dalam percaya.

Pernah disebut, malah mahu diulang-ulang.
Ini bukan perpisahan, kerana sahabat tidak mungkin putus.
Ini hanya peluang, untuk mengucap 'semoga ketemu lagi'.

Yang pergi, hanya susuk tubuh seorang manusia. Tetapi, memori yang terakam dek waktu, rasa yang bersulam antara jiwa; insya Allah, sentiasa segar malar, melintas segala tembok dan waktu.

Tentu saja kita tak sempurna.
Namun terima kasih, kerana menyempurnakan masa keberadaan sama, hingga terasa kejap waktu berlalu; sedar-sedar tertolak kita sampai ke bucu.

Semoga yang baik, Allah limpahkan pada semua, hari ini dan untuk esok-esok seterusnya.

*senyum*

Thursday, 12 March 2020

Susun Utama


Tiada atur hias yang segar malar melewati masa. Sampai pada masa, aturnya harus dihias semula.

Balik ke pusing keliling, alih dan atur semula. Barangkali, banyak ruang yang diisi hiasan yang tiada signifikasi.

Oh.

Sunday, 8 March 2020

Tinggal Yang Perlu


Biar yang hilang hanya duduk dan nama, tapi bukan jati dalam diri. Kerana ia tetap hilang dihanyut waktu biar bagaimanapun kita bertahan.

Percayalah akhir jalan nanti, apa dalam hati dan laku kamu yang menjadi pemberat. Sedang semua pakaian lain dirungkai leraikan tak berpaut terus.

*oh*

Thursday, 5 March 2020

Menyusun Sudut Meminjam Langit


Bergambar bukan hanya semata tangkap dan simpan. Sebaliknya, menekun sudut yang molek, dan menata objek mengisi ruang, baru nanti, sekeping gambar yang mati, menjelma 'hidup' bagai bernyawa.

Begitu juga kisah hidup.
Melangkah sekadar melangkah, dan bernafas hanya sekadar bernafas tidak akan sama dengan yang menekun mengisi detik dengan fikir dan mengatur pijak dengan bijak.

Yang berusaha akan nampak hidup dan bernyawa, kerana mereka ada tuju nak dicapai, ada hajat nak dikota.

*senyum-

Sunday, 1 March 2020

Baru Ranting


Pada ranting-ranting yang baru tumbuh menganti dahan yang patah, tentunya ia masih hijau dan sangat rapuh. Maka, jangan pernah berhajat untuk terus mengantung buai kelmarin dahulu.

Biar hijau menjadi matang, ranting menjadi dahan.

Percayalah, masa dan suasana tentu saja berubah kelak, maka kenapa tidak, berubah berdikit-dikit sama?

*senyum*

Saturday, 29 February 2020

Masa Masih Sama


Percayalah, Orang yang mahu, sentiasa jumpa masa dan jalan pada setiap tuju. Benarlah pada telahan, yang kurang bukan pada detik dalam dua puluh empat jam, tapi pada hati yang mendetik perhatian.

Yang diletak utama itu benar utamanya?

*senyum*

Sunday, 23 February 2020

Pengalaman Berharga (kalau kita ambil ibrahnya)



Ambil ibrah, kenapa kita susah dan payah, dan baiki untuk membentuk diri. Baru berguna dan bermakna setiap pengalaman, yang menjadikan kita orang yang lebih baik.

Banyak orang, banyak ilmunya, tapi kekal buta dalam memandang.

Kerana mereka tak lebih dari kitab atau pustaka, yang hanya ada ruang menyimpan ilmu, tapi bukan hati, tangan dan kaki yang berjiwa dengannya.

*senyum*

Monday, 17 February 2020

Untuk Jalan Semula (Dengan Lebih Baik)


Dalam serabut berselirat masalah membalut, hanya Allah mampu lurutkan tenang.

Percayalah, hikmahnya amat besar, hanya jika kita 'memandang'. Bantuan Dia berbagai susuk dan rasa, tapi ia benar-benar menusuk menghujung jiwa.

Ya, masalah belum selesai, tapi setidaknya, kemustahilan telah pun berderai.
Tinggal kita bangkit dari jatuh yang jauh, dan susun semula sepetak demi sepetak.

Payah?

Istighfarlah, membersih' mata hati, agar 'nampak' di dalam ribut diri.

*senyum*

Kan masih dipinjam nyawa untuk kita sudahkan sendiri?

Thursday, 13 February 2020

Yang Kita Nampak

Pelangi itu bukan semata tujuh warna.
Ia sudut pandangan pada tiap bias cahaya.

Itu sebab, pelangi atas kepala pun tidak nampak, kerana kita tidak pandang pada sudut yang patut.

Oh.

Hikmah hidup juga begitu bukan?
Situasi dan peluang sama, tapi hanya yang 'memandang' akan nampak.

*senyum*

Sunday, 2 February 2020

Bagus



Kadang,
ia semata duga,
bagi tambah baik apa yang kamu ada.

Dan kadang,
ia sememangnya hanya duga,
bagi kamu bisa percaya,
untuk lebih percaya.

Harus tentunya yang mana?

*senyum*

Ikut yakin kamu.

Wednesday, 29 January 2020

Turun Satu-Satu




Kita tanya, kenapa lepas satu, satu dugaan datang lagi. Bukankah Allah itu Maha Penyayang.

*senyum*

Betullah.
Allah itu Maha Penyayang.
Itulah musibah itu turun satu demi satu; dan ia lebih baik dari musibah yang turun bak bah menolak kita rebah tak bisa menemu kebah.

Percayalah, Allah sayang kita.
Asbab sayang itulah musibah datang untuk mendekat kita dengan Dia.

*senyum*

Tuesday, 28 January 2020

Kitab Berhabuk


Luas seluasnya dunia, dan kita tersadai dek luasnya peluang dan ruang. Bisa tenggelam dalam pilihan yang tak sudah. Malah tersadai dek memilih untuk tidak memilih.

Wahai diriku, yang luas hanya dunia, bukan tenaga dan masa kita.

Sebelum lemas, bangunlah dan buat pilihan.

Lengkap mana rancangan dan impian, ia hanya angan jika tiada daya mengerjakan.

Mati-mati pun, harus hidup sebelum mati.

Oh.

Thursday, 26 December 2019

Mulakan Dulu


Bagi setiap keruncingan yang besar, pastinya ada helai-helai halus peri kepincangan yang menjadi pati.

Maka sahabatku, layanlah setiap satu yang menerpa dengan selayaknya, sebelum ia membarah, hingga menolak rebah daya mandiri kita nanti.

Jangan bernanti-nanti.
Jsnhan berlantakkan sahaja.
Lebih mudah menolah musibah dari membina dari runtuh yang lerai rebah.

Friday, 20 December 2019

Kerana Sayang

Allah uji, barangkali kerana kita lupa denganNya.

Jangan mengeluh.
Allah sayang kamu. 
Kan baik begitu, dari dibiar percaya berjaya yang sebenarnya nazak menghunjung jalanNya. 

Kan. 

*senyum*

Sunday, 22 September 2019

Memenuhi Keperluan


Kadang manusia, memenuhi peraturan tanpa benar faham keperluan. Maka nanti, kita mengikut dengan tuli dan masih kekal salah serta disalahkan.

***

Bertudung, tapi nampak rambut dan dadamu.
Berjubah labuh, tapi masih nampak betis putihmu ketika membonceng.
Masbuq solat, tapi kami bangun sebelum imam lunaskan salam kedua.
Beriktikaf di masjid, tapi bicaramu pada salah orang dan gosip bergosip.
Mengiklaskan amalan, tapi checked in di fb dan belek berapa ramai like yang menjengah.

Oh

Harus bagaimana nikmatnya bisa sampai, andai yang dikendong hanya fizikal dan bukan spiritual pada tiap ritual yang kamu jiwa kan.

Barangkali, kita yang hanya berkerja tapi tidak mengerjakan kerja di kantor juga begitu kan?

Oh

Saturday, 14 September 2019

Hilang


Kalau bukan kerana air yang hilang dari tangki-tangki di kantor (atau kewajiban jumaat) , laman Rumah Allah ini bisa terlalu jauh dari jadual kita yang sibukkan dunia.

*oh*

Sambil menyusun semula not-not seringgit yang rasanya terlalu mahal untuk terjun ke celah-celah tabung kayu usang itu. 

Thursday, 12 September 2019

Untung


Dalam sibuk bank dan insuran berislah mencari islam, kita sibuk menyelak peluang menuju konversional?

Untungnya lebih?

Oh.

Untung yang benar untung itu bagaimana?

Wednesday, 11 September 2019

Bukan Sekadar Mimpi


Berjalanlah dengan jejak kaki di bumi, tapi impian melayang menerobos langit, kerana kita manusia, lebih kerap sesal dengan peluang yang dibuang (bukan usaha yang dibaja).

Payah?

Percayalah, syurga itu bukan murah!

*senyum*

Tuesday, 10 September 2019

Sepenuhnya Percaya


Percaya yang bulat.
Sepenuhnya.
Baik ke mana di bawa hala tuju. Lorong belakang,  sempit atau entah celah mana. Kita percaya sepenuhnya dan patuh. Setiap inci. Kerana hanya itu pegangan untuk sampai.

Dan selalunya, sampai.

*senyum*

Kalau aqidah pada aplikasi seteguh itu dibawa kepada aqidah beragama; percaya sepenuh percaya baik jalan mana yang ditembus tuju, pasti kita juga akan selalu sampai pada 'destinasi' yang dituju.

Monday, 9 September 2019

Berpada-pada


Bilamana diberi ruang dan peluang, dan percaya yang buta tanpa periksa, maka baik bagaimana pun bisa jadi sukar nak menolak, inikan pulak bijak dan pandai yang membelit.

Berpada-pada pada segala, kerana manusia kekal kemanusiaannya.

*senyum*

Saturday, 7 September 2019

Bercili


Masakan tanpa sedikit cili bisa pudar dan hambar. Maka, harus sedikit berasa dan pedas membekas ke lidah kita.

Begitu juga hidup.

Melintas semata lintas dan menunggu masa melewat usia tidak menjadikan kita gembira dan berjaya, kerana cili-cili hiduplah membuatkan jiwa lebih berwarna dan adrenalin lebih beralun.

Langgar saja dengan usahamu kawan, asalkan ada Allah, semunya lebih mudah kebah!

Friday, 6 September 2019

Kita Pilih Yang Mana


Manusianya kita dengan serba kelemahan, maka jangan gebang apa yang kurang, gunakan apa yang lebih pada seboleh mampu.

Berasimilasi-lah dengan kelebihan setiap orang, agar yang dengar nanti hanya cerita yang berjaya dan buka siapa salah, siapa kalah.

Lebih?

Akal untuk berfikir, dan waras untuk pertimbang.

Thursday, 5 September 2019

Tahu Dahulu


Menetap matlamat hidup, agar bergerak nanti ada hala nak di tuju.

Maka, ketahui kebenaran terlebih dahulu, sebelum bisa membuat keputusan yang tentu bukan terburu-buru.

*senyum*

Tidaklah salah mengikut khalayak yang ramai, hanya jika jalan itu benar-benarnya benar.


Monday, 2 September 2019

Bukan Semata Guna


Sebersih dan kemas mana juga rumah, guna saban hari atau biar nanti tak berpenghuni, tentu juga berdebu dan pinta disapu. Berhabuk,dan boleh jadi berdaki kalau bersihnya biar bernanti-nanti.

Barangkali, hati juga begitu.

Bisa berhabuk dengan was-was atau fikir yang berentah-entah; atau
Sudahpun berdaki dengan rasa betul diri mahupun rasa paling benar.

*senyum*

P/s:
Mengemaslah dengan bermuhasabah,
Sentalkan daki dengan bertalaqi,
Biar kerap dan selalu, agar lurus jalan yang kita lalu

Sunday, 21 July 2019

Menghidupkan Hidup


Marah itu wajar, tapi pilih antara memerah emosi atau mengatur ajar. Biar tenang yang menghadap situasi, baru kita nampak ruang refleksi seluas pandang.

Benar kata orang, dalam pada mereka salah, belum tentu kita ini betul.
Maka, berundinglah dengan niat dan bukan meletak hajat menunjuk hebat.
Baru susah tak terlalu payah dan berat tak terlalu sarat.

Mana tahu, hidup bisa lebih hidup, dan baru terasa segar dalam bernafas.

*senyum*

Thursday, 18 July 2019

Abid Biarlah Berisi


Apa sahaja.
Ya, apa sahaja.
Perlu ada asbabnya.

Menurut tanpa bertanya, membuat kita hanya tahu amalan, tapi bukan jiwa. Baik dalam beragama, kerja atau hidup, berbuatlah pada yang kamu tahu.
Baru tahu nanti membibit erti dalam hati, dan merangkul rasa yang menjiwa. Baru amal kita ada roh, dan hanya yang ada roh bisa hidup.

*senyum*

P/S:
Bertatih dalam mencari tahu.
Berguru dalam mencari ilmu.
Payah, barulah namanya hidup.
Kerana yang berpayah sahaja baru tahu nimmantnya rasa.

Tuesday, 16 July 2019

Bermudah-mudah


Allahu, rupanya marah itu mudah.

Nak memadam kesat kata yang menghentam dinding-dinding emosi yang susah.

Mengutip mainan kayu yang berderai dan sumbing dek berdentum di lantai tadi juga tak senang mana.

Membalut ruang mesra yang dicarik-carik riak seperti orang asing kekwat yang entah siapa itu juga ganjil situasinya.

Yang senang?

Marah saja.
Rektifikasinya nanti, biar tunggu menyesal datang, baru fikir dengan akal yang berulang.

Oh

Wednesday, 10 July 2019

Selumbar


Selumbar
Dah buang
Dan berjalan
Tapi masih sakit

Oh

Rupanya
Lepas saban masa
Baru tahu
Ada lagi yang berbaki

Buang

Dan betul-betul teruskan hidup (move on)

Sakit, tapi berbaloi.

Monday, 8 July 2019

Tiada Dakwa Dakwi


Dalam beragama, yang wajib tetap wajib, dan tiada berdolak-dalih padanya.

Andai kita mewajibkan yang lain atas asbab pilihan, ia tetap tidak menjadikan yang sunat/harus itu wajib kepada siapa pun (waima kita).

Belajar tidak akan pernah tamat wahai sahabat.

*senyum*

Sunday, 7 July 2019

Betul Beradab


Betul, kita memang betul.

Tetapi, menjadi yang paling betul tidak juga memberi lesen untuk habis semua adab dilangkah bendul.

Berhemah dalam menyusun bahasa. Merendah suara menyusun hormat. Yang utama bukan siapa menang, tapi biar kefahaman meresap kesetiap urat benang.

Sesetengah kita mudah terasa.
Ada juga yang sedikit lambat menghadam.
Tapi itulah baru benar hidup yang tak bisa di padam.

Susah?

Barulah pelayar kalau ke laut; bukan berkalau dan berpeluk tubuh, sedang sauh kekal dilabuh!

Friday, 5 July 2019

Tahu, Cuma Payah


Kalau bersih, ucapnya rasa manis, senyumnya membugar, membangkitkan jiwa-jiwa barangpun sedikit.

Mustahil pun, masih mampu diumpil pintu-pintu harapan, dan membuka jalan yang tak pernah ternampak puncanya.

Baru sedar, berfikir mampu saja sudah lebih baik dari menidakkannya.

Tahu?

Kalau kotor, apa saja bisa terus kotor.
Dan kotor saja bisa menutup mampu yang sedia terang bersuluh.

Oh.
Tahu.
Tapi lupa.

Tuesday, 2 July 2019

Bagi Yang Memerhati


Ilmunya sama, cuma pakej harganya berbeza.
Ada orang, kena kutip dalam kelas beribu.
Ada orang, dapat dalam kelas beratus.
Ada orang, mencungkil dari sembang orang yang ahli secara santai sambil menikmati kopi.

Orang kata, ikut mana rezeki.

*senyum*

Yang pasti, ada ilmu dari setiap yang berlaku, hanya jika kita memerhati dan lebih peka. Menilai dengan rasa, menebak dengan jiwa, nanti nampak manfaat pada semua yang ada.

Bukan harus mengambil tahu semua yang dikata, tapi mengambil rasa jiwa yang bersuara.