Jurutrengkas

My photo
Menulis untuk memudahkan ingatan, biarpun tahu susah itu barulah 'hidup'.

Wednesday, 13 February 2013

Halalkan Saya!



Bersama ini sebuah naskah yang aku tulis untuk diterbitkan di laman secret7writers, sama seperti naskah lain yang sudah diterbitkan disanajuga di atas nama unEdited. Namun, atas sebab yang tertentu, aku terbitkan ia di sini, untuk bacaan kalian.
Percayalah, setelah beberapa kali mencuba, aku mengesahkan menulis kistot/kispen/cerpen lebih kompleks dari melempar kata di entri blog ini. Setidaknya, itu yang aku percaya.



   
***
 

12 haribulan
“Aku tidak mampu bahagiakan kamu. Pergilah cari orang itu! Pasti dia mampu bahagiakan kamu. Dan dia lebih layak untuk kamu!”
“Awak sudah bencikan kita?”
“Tidak. Sesekali pun tidak. Cuma..”
“Kenapa harus ada cuma? ” pipi mula basah.
“Percayalah, nanti kamu akan faham” dan berlalu, laju.
Hujan mula turun. Lebat. Benar jangka cuaca di berita tadi, panas tak sampai ke petang, ada hujan lebat berselimut taufan di hujung hari.

***
COMPOSE
Kalau nanti-nanti saya boleh awak fahamkan, kenapa bukan hari ini saya difahamkan terus?
SENT

***
13 hari bulan, 5 bulan ke hadapan.
Manusia yang ramai tadi semua sudah mula pulang. Yang bersampin dan mula lucut dan bersandar menunggu penat reda. Tinggal hanya berdua-tiga manusia, pelamin dan bunga-bunga yang tunggu tuannya datang tuntut saja.
“Abang ok?” Naurah membetul simpuhnya disebelah Amir. Teh suam nipis sopan disuakan kepada sang suami.
“Alhamdulillah” dan senyum, yang manis. Kalau bertengkolok merah hati tadi lagi manis. Mahu mati diabetes dengan manis itu pun tidak apa rasanya.
“Pengantin ni, tak habis-habis lagi berkepit nih!” ajib, juru gambar mereka. Entah beribu momen manis pasangan sahabatnya terakam di DSLR kesayangannya. Sudah berkira-kira untuk susun letak ‘customised album’ mereka, barangkali.
“uhk, uhk!” batuk. Amir batuk. Cangkir teh tak sempat dicicipkan ke bibir sudah tersamping ke sisi. Dada amir bergetar lagi. Batuk!
“Abang!” Naurah sempat. Telapak tangan berinainya sama memengan tangan Amir di dada. Amir batuk lagi. Berdarah kali ini.
“Ya Allah, kenapa ni?” semua yang ada mula berkerumun. Semua tumpu pada mereka.
“Abang, mengucap bang” Naurah meriba suaminya. Telapak tangannya tak lepas.
“Cepat siap kereta. Cepat. Kita pergi hospital”
“Mengucap ya bang. Sabar ya” masih, tak lepas.
“Allah... ucap Allah bang” dan kini baru lepas; air matanya terlepas turun dari pipi itu sebelum sempat diredakan hati. Ah, sabar!
“Maafkan abang ya Naurah sayang” jatuh lagi air mata itu. Kali ini makin tidak tertahan.
“kita jumpa ya” dan senyum dalam pucat wajahnya, dan senyum lemah.
“Cepat angkat, kereta dah tunggu” tapi tak sempat.
“Allah...” lafaznya akhir, dan baru terlucut genggam tangan kepada isterinya.
“Abang!”

***

Malam Jumaat, tahun yang kemudian-kemudian
“Ya, Allah, semoga kamu tempatkan dia dikalangan kekasih-kekasihmu yang kamu sayang ya Allah, dan jadikanlah aku bidadari yang menjadi makmum bertakwa kepada dia di sana juga ya Allah. Ameen.” Dan berderai, lagi

[Epilog]
“Awak, kalaupun benar sakit itu sebabkan hayat awak tidak lama, tolonglah jangan seksa saya dengan memutuskan apa yang kita bina bersama. Tolonglah nikahi saya dan biarpun sekejap, bahagiakan saya untuk saya kenang sampai hujung dunia. Berilah peluang untuk saya halal merindui awak selama hidup saya. Tolonglah saya awak. Tolong”

2 comments:

░♥si lampu neon♥░ said...

wwaaaa...waaaaa...terbaek !

Saidun said...

neon
terima kasih membaca.
kisah ini adalah eloborasi dari entri yang terdahulu; 'keputusan'.
tapi, aku sedar, menulis dalam komposisi komersial cerpen/kispen ini bukan 'makanan' aku. maka, cukup cuma dengan 'roti canai kosong' yang ku fikirkan lebih ke-akuan dari 'nasi lemak kukus ayam rendang'.

*senyum*