Jurutrengkas

My photo
Menulis untuk memudahkan ingatan, biarpun tahu susah itu barulah 'hidup'.

Monday, 31 May 2021

Pertama

Kadang-kadang, ada 'pertama kali' yang membina biasa pada diri.

Tapi.

Ada kala, satu-satu peristiwa bisa ubah satu dua prinsip dan kepercayaan yang kita pegang selama ini.

Maka, selam dalam-dalam dan pandang benar-benar, mungkin ada 'kunci' yang perlu kita cari.

*senyum*

Saturday, 29 May 2021

Ribut

Ribut orang, pastinya tak sama ribut kita; biar sama mana tempat kita berlindung. 

Asbab itu, tidak adil bagi kita menilai perit sendu pada ribut orang, kerana 'tahu' dan 'lalu', tentu saja berbeza.

Yang cuma kita perlu tahu, apa saja rasa yang membalut hati, kesannya bukan sebarang. Kan.

Maka berpada dan bermanusialah sentiasa.

*senyum* 

Thursday, 27 May 2021

Seterika #tiga

Seterika wap, belasan helai kain dan baju untuk dikemas serta papan seterika yang sama. Matlamatnya untuk semua siap dan kemas. 

Malangnya aku sentiasa terlewat berbanding tempoh isteri ku.

Pelik.

Haha.

Rupanya, kita boleh tentukan masa selenggara tangki pengewapannya biarpun sebelum lampu 'peringatan'  berkelip dan berbunyi memaksa diselenggara (dan sebarang urusan ditangguh!) . Jika tidak, yang dijangka lancar tadi, harus menunggu masa selenggara sebelum meluncur kembali. 

Samalah dengan hidup, jangan tunggu 'rosak' baru baiki. Kita ada minda dan hati, bagi menilai tanda adanya ruang untuk diselenggara dan ditambahbaik, sebelum ia bakal rosak atau punah segala. Memang takkan ada sekali buat selamanya siap kan? Dan tentu saja  ruang paling besar adalah 'ruang untuk menambahbaik'.

Kekal menambah. Kan.

*senyum*

Tuesday, 25 May 2021

Seterika #dua

Seterika wap, belasan helai kain dan baju untuk dikemas serta papan seterika yang sama. Matlamatnya untuk semua siap dan kemas. 

Malangnya aku sentiasa terlewat berbanding tempoh isteri ku.

Pelik.

Haha.

Rupanya, kemaskan saja semua dalam satu sesi. Aku bisa jimat masa menunggu panas yang selalu aku buang bila mengemas hanya untuk hari ni (biarpun aku ada jadual seminggu) apatah lagi masa berulang mengambil kain dan baju untuk dikemas. 

Samalah dengan hidup, mulalah dengan adakan yang perlu dan teruskan dengan sekali lalu. Kita hanya perlu 'menunggu panas' sekali dan menumpang momentum yang ada untuk untuk sekali sudah. Ya, tentu bisa menuntut tekun dan tenaga, tapi bernanti-nanti masih menuntut tekun dan tenaga kan; dan mungkin merompak masa yang tentunya sangat mahal! 

Sudahkan. Kan.

*senyum*

Sunday, 23 May 2021

Seterika #satu

Seterika wap, belasan helai kain dan baju untuk dikemas serta papan seterika yang sama. Matlamatnya untuk semua siap dan kemas. 

Malangnya aku sentiasa terlewat berbanding tempoh isteri ku.

Pelik.

Haha.

Rupanya, baju-baju dan tudung itu dikemaskan sebelah sahaja, selebihnya akan sama kemas. Kalau dah sedia kemas, buat apa diulang kemas, kan!

Samalah dengan hidup, ada kadang memadai kita baiki sebahagian, 'sistem' akan baiki sebahagian yang lain. Itu lumrah sistem. Tak salah membaiki juga kedua belah, cuma khuatir masa kita tak cukup untuk semua; dan mana tahu kita bisa lelah sebelum sudah.

Berpada. Kan.

*senyum*

Friday, 21 May 2021

Boleh Berbangga

Berbangga la dengan apa yang kita capai; jika ia kaki masih berpaksi pada tanah.

Jika tidak, simpan puas untuk hati.

Khuatir, yang sedikit ada, jadi ujub yang merosak jiwa.

Khuatir, yang kita besar-besarkan kejayaan kita, bisa menghempas kita semula ke tanah realiti.

Lagi tinggi melayang, lagi sakit bila jatuh menyembah bumi. Kan. 

Wednesday, 19 May 2021

Yang Dicari

"Depa tu baik, tapi awat la mulut tu teruk" kan. 
Oh.

Tak perlu balas.
Ambil tangan mereka, dan tadahkan tangan.

"Awat ni?"
"Ikut apa aku cakap"

Erk.
"Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Tuhan yang memiliki segala yang di langit dan di bumi, Tuhan yang menentukan setiap kejadian dan keputusan, engkau baikkan la buah mulut, dan butir kata mereka, engkau baikkan lah hati-hati mereka, dan engkau jadikan mereka juga Ahli syurga-Mu ya Allah. Ameen"

"ameen"
Pandang. Dan senyum.

"Kita semua ada buruk. Jadi, jangan dicari, kerana tentu-tentu jumpa. Doakan saja buruk mereka bisa tawar dan menjadi baik;mana tahu, Allah baikkan juga yang buruk pada kita"

Kan.

*senyum*

Monday, 17 May 2021

Minta

Doa itu meminta. Dan tentu meminta pada yang empunya. Yang 'ada'.

Dan minta juga bagi yang kita sayang; kerana kita sendiri kata "kamu bahagia, aku sendiri bahagia".

Kan begitu?

*senyum*

Saturday, 15 May 2021

Kita Nak

Hidup berpasangan bukan kira siapa paling betul; sebaliknya memadai kita tahu apa yang harus dibetulkan dan mana yang betul diamalkan.

Ya, kadang ego meronta-ronta minta diberi hak; tapi hak untuk sama menyulam kasih, sama menerima biarpun masih jauh dari sempurna lebih molek dirai.

Yang betul, kita hanya mahukan bahagia dan bukan semata gah betul (menang) kan?

*senyum*

Thursday, 13 May 2021

Kereta Baru

Kereta baru (yang betul baru, atau recon atau terpakai) yang kita baru koyakkan plastik dan bergambar saat menerimanya tadi, yang kita bakal balut selimut malam ini atau hantar cuci dan gilap kilat esok-esok, rupanya kereta yang sama tersadai berjemur panas dan berhujan saban minggu di dataran penuh kereta lain.

Tapi kita tak pernah nak kisah apa pernah terjadi dulu, yang kita tahu, hari ini semua kisah baru bermula. Semuanya 'baru'. Dan terima dia sepenuhnya seperti mana dia. 

Kan. 

Begitu juga hidup.

Semua orang ada panas dan hujan yang pernah ditempuh, dan barangkali pernah ada kisah lain yang tidak bisa dikisahkan.

Jangan kita hitung kisah hujan, kisah panas atau apa saja yang mungkin menyukar pandangan kita pada manusia. Sebaliknya percaya semua boleh berubah dan dimula semula menjadi lebih baik.

Jom mula semula.

"Hai. Saya AJ" dan hulur tangan. Jabat.

*senyum*

Tuesday, 11 May 2021

Lampu Tinggi #2

"Bagi lampu sikit, bagitau ada polis" dan flash lampu tinggi sekejap. Dan selisih.

* * *

Kenal? 
Belum tentu. 
Tapi, perlu bagitahu, ada 'bahaya' di hadapan.

Eh.

"Entah-entah perompak ke apa? Naya." 

Mungkin kena pegang pesan kawan; berbaik biar berprinsip, hidup biar berasas. Biar betul-betul betul, dan bukan semata kelihatan betul.

Kan.

*senyum*

Sunday, 9 May 2021

Lampu Tinggi #1

"Bagi lampu sikit, bagitau ada polis" dan flash lampu tinggi sekejap. Dan selisih.

* * *

Kenal? 

Belum tentu. 

Tapi, perlu bagitahu, ada 'bahaya' di hadapan.

*senyum* 

Benarlah orang kata, andai kita dalam 'kasut' yang sama, baru kita sama merasa 'susahnya' sampai ke hati. Baru kita membantu, tanpa perlu mengira untung ruginya satu persatu.

Kan. 

Friday, 7 May 2021

Langit

Kadang langit merubah cantik. Sangat-sangat cantik. Sampai kita bisa berhenti dan keluar merakam buat kenangan. Senyum. Dan masuk semula, memandu keluar menuju rutin harian.

Satu pesan.

Berhenti semula.

Keluar.

Dan kali ini tanpa kamera.

Berdiri.

Pandang dan pandang dalam-dalam.

Ada seribu rencah rasa rupanya pada jalur-jalur warna langit itu. 

Biarkan saja angin berderu menampar-nampar pipi dalam pegun kita memandang.

Dan senyum.

Rupanya.

Hebat bagaimanapun lah suatu kisah dan rasa, pasti berbeza orang yang menatapnya dengan mata kosong banding layar maya.

Kan. 

Harus tunggu lagi dengan entah-entah atau nak mula melangkah? 

Wednesday, 5 May 2021

Hadap

Membongkok-bongkok di bawah lampu. Menguis-nguis rumput di daratan.

"Cari apa?"
"Mencari kunci. Hilang tadi" oh. 

"Jatuh di sini?“
" Tak"

"Eh, jatuh di mana"
"Di sana" sambil bibir memuncung tunjuk ke belukar serba gelap beberapa belas hasta dari bawah tiang lampu kami berbongkok sama ini.

"Habis, kenapa cari di sini?" pelik! 
"Sini ada lampu. Sana gelapnya gelita. Biar di sini sahaja, tentu lebih mudah" sambil senyum. Nampak seperti dia benar-benar percaya.

Oh.
Bangun.

"Maaf, saya tak bisa membantu" dan melangkah pergi. 

*menggeleng*

Kalau perlu susah, hadap; asalkan betul. 

Monday, 3 May 2021

Berita Baik

Kadang hidup bagai terperangkap dalam gelap. Tahu mahu menang, tapi entah mana dinding, mana bucu yang kita perlu tuju.

Yang ada, hanya sebatang lampu suluh yang mula beransur malap.

Pilih.

Mahu menyuluh seluruh fokus pada satu penjuru, kemudian berjalan membawa kaki mengikut hati yang mungkin bawa kita keluar atau satu lagi dinding tak tertembus.

Atau pilih.

Memutar fokus lampu, agar kembang dan tak tuju sesudut, agar cahaya lebih melata biarpun tak terang. Agar mungkin boleh meraba-raba jalan keluar dalam kelam.

Atau memilih untuk tidak memilih?

*senyum*

Yang pasti, hidup wajibnya mesti memilih. 

Dan berita gembiranya; hanya kita yang memilih untuk hidup kita. 


Saturday, 1 May 2021

Percaya

Dalam gelap gelita yang paling gelap, cahayanya adalah harapan dan doa.

Dan keduanya hadir hanya pada yang percaya. 

*senyum*

Payah?

Benar, kerana syurga juga bukan percuma.

Kan.


Thursday, 29 April 2021

Sama Mengumpul

Harapan kita, tugasan ini diuruskan pakar. Tahu serba serbi. Bukan budak baru yang baru nak belajar.

Tapi budak baru, hanya bisa jadi pakar, kalau dibiar menguruskan dahulu. Belajar dengan buat dan jadi, melangkaui hanya pandang dan baca.

Maka, buka ruang untuk tolak dan ansur. Untuk belajar dan sedikit salah untuk diolah jadi lebih betul dan faham. Harusnya, semua perlu betah menerima yang kurang, agar sama mengumpul menjadi banyak; dan berbaloi. 

Monday, 26 April 2021

Beli Belah

Biarpun berhajat kan dua-tiga barangan, menyelusuri gedung membeli belah pasti perkara yang sangat menggodakan.

Hebahan warna-warna terang pelbagai nombor dan atur, bisa membohongi minda untuk percaya semua barangan lain berbaloi dimiliki, malah wajibnya sekarang.
Sedangkan kita hanya ada, apa yang kita benar ada.

Seperti juga hidup.

Kita hanya ada sejumlah waktu dan sejumlah perhatian untuk apa yang kita hajatkan asal, tapi kadang terjerumus dalam persona yang bukan utama hingga kita gadaikan 'kredit masa hadapan' dengan bertangguh dan berjanji tanpa isi. 

Sedangkan, kita belum tentu mampu melunaskan  'bayaran bulanan minima' apatah lagi melunaskannya sepenuhnya.

Kan. 

Sunday, 25 April 2021

Pilih

"Aku dah bertahun tak menjengah bazar. Malas. Buang pahala ja"
"Kenapa pulak"

"Budak-budak pakai tak berjenis. Sehari aku puasa, lebuh tengok baju ketat depa, lenggang lengok depa, tak bertudung bagai. Naya. Baik duduk rumah tengok Netflix"
"Netflix?"

"Ya lah, layan movie english ka, movie korea ka, movie Thai ka. Sambil-sambil tunggu berbuka. Pelakon pun lawa-lawa."
Eh.

 * * *
Kalau orang lain salah, belum tentu kita betul; barangkali kedua-duanya salah. Dan ada barangkali juga, kedua-duanya betul dari sisi yang berbeza.

Yang penting bukan pada pandangan siapa ia betul, tapi pada aturan dan akar mana ilmh betul salah itu berpaksi.

Hidup bukan untuk berkira, tapi untuk 'dikira' akhir nanti.

Kan

Friday, 23 April 2021

#done

 "#done zikir"

"Tuhan pandai like ke?"


"Maksud kamu?"

"Mana la tahu, kalau tak update di socmed Tuhan tak tahu"


"Page aku. Suka aku. Pasal nak sibuk? “

Oh.

Senyum.

Dan pergi. 


* * *

Kita rugi kalau tidak berpesan-pesan? Dan siapa kata berpesan itu mudah?

Kan.

Wednesday, 21 April 2021

Pasak

Andai kepala dan kaki terlalu goyah dan lunyai nak berpasak, cari jiwa untuk disandar hati. Agar paling tidak, ada penguat menjadi penyebab untuk terus hidup dan berjuang.

Kan kita hanya bertuju kalau bersebab; bukan semata merawak tanpa ke mana.

Monday, 19 April 2021

Pati

Buatlah sepuluh gol paling cantik di dunia dan tidak tertahan oleh sesiapapun; tapi jika semuanya hadir hanya selepas wisel penamat, maka tiada sebutir pun membawa makna.

Benar kata orang, masa itu pati segalanya. 

Kan. 

Saturday, 17 April 2021

Asbab

Jurujual, jadinya untuk buatkan orang mahu dan kemudian membeli. Gunalah pesona yang molek agar khalayak menjadi pembeli dan datangnya nanti bergolek.

Jangan disalahkan orang jika tidak membeli. Kita sang penjual yang harus menukar langkah, mengatur petah kata dan menyusun rencah. Jangan hanya berjual untuk kita sahaja yang membeli. 

Sama juga dengan penyampai; jadinya untuk buat faham itu sampai. Dan sampai itu pada ramai, bukan semata kita.

Kan. 

Monday, 12 April 2021

1442H

Berkongsilah kata yang baik atau pesan yang baik atau hanya melihat pada alam dan menelah kebaikan menganti kata-kata.

Barangkali itu lebih baik dari usik mengusik dengan foto segelas air sejuk berpeluh-peluh.

Kan.

*senyum*

Semoga dilimpahkan kemanisan beribadah dan ibrah Ramadan buat semua.

Salam

Sunday, 11 April 2021

Me Time

Dalam penat yang berserabut dan terlalu banyak benda untuk difikirkan, barangkali lari sekejap ke dunia lain dan melabuh fikir kepada perkara lain bisa menyusun semula rasional dan atur fikir kita. 

Barangkali, sehelai dua dari naskah yang ada bisa membina 'dunia' itu untuk kita. 

Atau. 

Barangkali, sesujud dua juga.

Kan.

*senyum*

Friday, 9 April 2021

Lebih Darinya

Bila orang baik-baik lebih sayangkan diri kita dan lebih risaukan hala yang hidup kita tuju, barangkali itu waktu untuk kita nilai semula perkara yang kita pertahankan dan langkah yang kita hayun di luar sedar.

Ya, banyak orang sayang.

Tapi sayanglah, jika hanya orang yang sayang, sedangkan tak akan ada apa yang berubah lebih baik kalau bukan kita yang menongkahnya.

Jatuh itu sakit; lali dengan kesakitan dan semata pasrah itu sebenarnya lebih perit. 

Wednesday, 7 April 2021

Suai Ka Buai

Yang perlu, mengembek di kandang kambing, mengaum di kandang rimau; tapi bukan larut kita menjadi kambing dan rimau.

Esok, mungkin kena berkokok pulak, tapi kita tidak perlu menjadi ayam.

Kan. 

Monday, 5 April 2021

Bahagian

Hidup ini luas bahagian dan kisahnya. Dan setiap insan dalam hidup kita, punya bahagian dan peranan dalam hidup kita.

Maka berpada-padalah.

Perlu hanya pada yang perlu. 

Jangan membebankan mereka dengan bahagian yang bukan untuk mereka.

Biar serapat mana, ada takat nya. Kerana manusia tetap manusia, dan manusia itu sempurna dengan ketidak sempurnaannya.  

Saturday, 3 April 2021

Laman

Laman yang sama belum tentu miliki jiwa yang sama. Sedangkan semati-mati pantai juga berubah, inikan hati dan jiwa yang bernyawa.

Kenal dan terus kenal harapan dan situasi. Berubah lah bila perlu; dan pastikan hanya jika ianya lebih baik. 

Thursday, 4 March 2021

Lapangkan Sempit

Dalam penat yang berserabut dan terlalu banyak benda untuk difikirkan, barangkali lari sekejap ke dunia lain dan melabuh fikir kepada perkara lain bisa menyusun semula rasional dan atur fikir kita. 

Barangkali, sehelai dua dari naskah yang ada bisa membina 'dunia' itu untuk kita. 

Atau. 

Barangkali, sesujud dua juga.

Kan.

*senyum*

Saturday, 27 February 2021

Ziarah

Ziarah bukan semata wujud untuk menabur waktu sepanjang jalan, tapi melabur masa untuk mengenal manusia. Membuka mata melihat semula perkara biasa dari sudut berbeza dan menjentik hati yang sudah basi dengan rutin yang sama.


Kadang-kadang lanskapnya masih sesalin sama, tapi mata kita jumpa apa yang 'berbeza'.

Dan kadang, segalanya tidak sama serta terbentang untuk ditafsir, tapi hati gagal mengerti apa yang terukir.

Benarlah barangkali, 'langit itu rendah' hanya jika kamu percaya.

*senyum*

Tuesday, 23 February 2021

Bantal Mampatan Vakum

Ya, ibarat bantal mampatan vakum.
Hidup sempit, berkerumuk dan serba serbi tidak menarik. Menyikskan. Semuanya hanya kerana setiap sisi bantal disempitkan dalam mampatan vakum dan tidak nampak lebih dari kesempitan yang menyelubungi.

Maka.

Berpayahlah sedikit dan ambil sekecil-kecil peluang yang ada untuk bongkarkan selimut vakum yang menyiksakan. 

Baru bantal-bantal penyek dan serba serbi terhimpit bisa bebas. Mengebu. Rupanya ia bantal sebantal yang lain, malah lebih gebu kadangnya dan mengindahkan lena.

Benarlah, ruang hanya bisa sempit jika kita percaya ia memang benar-benar sempit, sedangkan sekecil-kecil peluang bisa buka seluas-luas ruang. 

*senyum*

Saturday, 20 February 2021

Yang Tahu

Seluas lebar lembaran, dibaca sebutir-sebutir hurufnya; mengeja. Namun yang dapat hanya bacaan, sedang faham entah ke mana.

Ilmu baru mengenal huruf, jauh lagi mengenal erti, apatah lagi mengenal kisah di sebalik cerita; yang kadang berselindung disebalik makna.

Maka jadilah kadang kita di muka yang sama, tapi sepuluh pembaca dengan sepuluh tafsiran; dan sepuluh mereka beryakin lebih faham dari yang lain.

*senyum*

Maka hai hati, berlapang dada.
Percaya sebetul mana pun kita, janganlah semata menyalah pada yang lain;kerana yang tahu hanya Maha Tahu.

Tuesday, 16 February 2021

Entah

Kadang kita terlalu sibuk mengisi 'entah' dalam 24 jam, sehingga kita terlupa ada benda yang tentu dan pasti yang perlu.

Ya.

Hidup perlu ada warna.

Dan lebih banyak warna lebih baik hendaknya.

Tapi, hidup juga perlu ada bentuk dan corak; dan kita tidak ada seluruh dunia untuk ada semua.

Berpada.

Semuanya bisa akan jadi cukup.

Kan.


*senyum*

Sunday, 14 February 2021

Sampai

Bukan menanti banyak, kerana banyak hanya ada pada yang berkira.
Biar berdikit dengan apa yang kita ada, agar ada lebih untuk yang lebih perlu.

Bab hati, didiknya tidak senang.
Tapi tidak akan bertambah senang jika bertangguh.

Kerana yang dikira bukan semata jauh mana kita sampai, tapi jua, jauh mana kita mencuba.

*senyum*

Friday, 12 February 2021

Hanya Waktu Ini

Doa qunut ni hebat la babah, tapi kenapa hanya pada waktu subuh?


Sebab, hanya yang hebat akan jumpanya waktu subuh.

Dan hanya yang hebat saja tahu hebatnya ibrah doa qunut.


Tilawah itu satu.

Terjemah itu satu.

Ibrah itu satu.


Tapi mengantuk la babah. 


Haha. 

Kan yang berpayah-payah itu semuanya hikmah. 


*senyum*


Monday, 8 February 2021

Minyak Pelincir

Berfikir ibarat minyak pelincir.

Enjin gah berkuasa juga, harus berisi pelincir nya.

Bukan semata tuang, kerana setiap benda ada cukup dan takat nya.

Jangan bersemborono, nanti bisa berat enjin jika berlebih (rosak pincang jika berkurang).

Dan jangan semata isi dan isi dan isi tanpa gerak; kerana akhirnya, enjin hanya dipandang pada prestasi, bukan gah mana ia berbunyi.

*senyum*

Saturday, 6 February 2021

Labur

Labur keputusan kita untuk hari yang kita sendiri bakal tiada. Tiap tiang yang berdiri pasti perlu diganti, maka semailah baka menjadi balak, bukan semata bersorak menunggu rebak.

Hakikat hidup, ada matinya.

Maka pilihlah bagaimana untuk kita mati, dan bukan semata lari sampai nanti hayat tidak lagi berbaki. 

Kan? 

Thursday, 4 February 2021

Kunci

Jika dikejar, masa bisa lebih pantas. Sedar-sedar, kita berhabis hari ini, mengejar esok yang asasnya hanya ada pada semalam.

Dan bila kita sampai, yang diimpi masih kekal mimpi yang tak tergapai.

Rupanya.

Kunci bukan pada lekasnya kaki.

Kunci hanya pada mana letaknya hati.

*senyum*

Tuesday, 2 February 2021

Sekejap

Beza antara satu nafas panjang (dan istighfar) dengan tidak, hanyalah seperti beza perhubungan kemanusiaan yang lebih bertolak ansur dan harmoni dengan satu perhubungan penuh syak, marah dan bersangka-sangka.

Ingatlah wahai hati.

Menulis dengan marah yang bergelora sama seperti berucap dengan marah yang tak berminda; ia mampu menebuk-nebuk dinding hati dan kekal berbekas biarpun dibalut cat dinding paling mewah dan gah.

Dan mana kita tahu, rasa pedih itu 'sempat kita rasa' juga.

Oh. 

Monday, 1 February 2021

Seawal Tujuh

Memahat pada jiwa, bukan semata menekan acu pada doh kemudian membakar atas dulang.

Ada seribu soal yang perlu dijinak dengan ilmu, agar faham yang datang nanti menjadi selimut membalut hati. Biar sedang-sedang; (tidak terlalu dingin, tidak terlalu membahang).

Jangan membenih tidak, membaja tidak; tapi disepak-sepak batas kerana tidak berbuah.

Kan perlu dibentuk seawal tujuh, baru layak 'dilanyak' seusia sepuluh.

*senyum*

Saturday, 30 January 2021

Cendawan

Sesekali pada hujan yang kerap turun, cendawan bersegera mekar dan tumbuh melata. Sampai kita percaya, selepas dituai esok kan tumbuh untuk dituai lagi.

Sedangkan lumrah alam, hujan turun bersulam-sulam.

Jangan nanti berasbab 'lupa', baka cendawan yang sama kita 'bodohkan' hanya kerana tak selekas dahulu. 

Kan hidup kena berpada. 

Dan mengharap biar berilmu.


*senyum*

Monday, 4 January 2021

Kosong

Menahan diri dari lapar dan dahaga; jika hanya semata itu benarlah ianya tidak akan cukup.

Ibrah dalam hidup, bukan hanya pada apa yang kita nampak, tapi apa yang kita tuju. Buat sekadar buat, tanpa erti akan matlamat, maka kita hanya dapat lapar dan dahaga, tapi tetap kosong. Sedangkan, yang diantara menahan diri dan lapar dahaga itu ruangnya seluas-luas tafsiran dan pengertian; hanya bagi yang mahu mengerti.

Jangan nanti; penat tapi kosong. 

Saturday, 2 January 2021

Tempat

Hidup ini duduknya antara dua jangan. Jangan melampau (extreme) dan jangan menzalim. - Hassan Al-Bana


Kenal erti cukup, agar timbul rasa beruntung.

Kenal erti berpada, agar senyum tak lekang di jiwa.

Lumba hidup bukan dengan manusia; tapi dengan jiwa dan rasa yang ada pada kita. Jangan menang pada abu, jangan kalah pada arang. Orang ber-Tuhan tahu meletak pada tempat.

Thursday, 31 December 2020

Asbab

Manusianya kita pasti sesekali salah, sesekali silap. Asbab itu, hidup bukan untuk disombong, tapi untuk menambah percaya yang Tuhan sentiasa ada untuk hambanya.

Tiap melangkah, biar ada yang dipijak, bukan meneka atau mengharap tanpa punca.

 

Tuesday, 29 December 2020

Payah

Dalam susah payah menyebak lembaran kehidupan, ada yang bersusah payah untuk menguntum senyum biarpun jiwa masih berkecamuk remuk; sedang setengah yang lain suka mencebik biar punya mewah berbukit. 

Jangan kisahkan payah orang; nanti neraca bakal asing-asing.

Kisahkan saja payah kita menuju lurus dan mengatur urus budi berbakti selagi daya.

Kalau tidak mampu menolong, kita jangan payahkan pula susah mereka. Ringankan orang, nanti yang ringan Insya Allah kita.

*senyum*

Sunday, 27 December 2020

Sesuai

Tertulis sudah, kita pasti ditempat dan masa yang tepat. Tentu sahaja susun atur hias dan rasa berkias berbeza, tapi yang penting 'jumpa maknanya'.

Friday, 25 December 2020

Menampi

Kadang yang menguntum manis di bibir bukan mengabsahkan suasana, tapi menawar pahit yang berlegar-legar di rasa.

Belajarlah menyaring yang kasar, menampi yang halus, agar yang ditelan benar isi; bukan cengkerang yang menidakkan lemak, pedas dan rangupnya hidup. 

Wednesday, 23 December 2020

Harus Pilih

"Perasaan itu rapuh, pemilihan itu yang utuh" - Ustaz Pahrol (Nota Hati Seorang Lelaki)


Allah mencipta manusia dengan kepelbagaian keistimewaan. Kenal diri, baru nanti bisa eksploitasi potensi. Jangan melarut dalam perasaan, sebaliknya bancuh resepi dengan pemilihan yang sedar dan segar.

Hidup, kita yang pilih.

Waima pilihan yang ada hanya satu, percayalah itu yang paling baik pada ketika dan waktu.

110819

Monday, 21 December 2020

Secukup Rasa

Dari rempah dan sukat yang sama, belum tentu menghasil empuk mahupun rasa yang sama. Masih perlu dilanyak uli, ditekan acu dan dipanas bakar sebelum menghias dipiring hidang.

Begitu juga kita.

Yang membentuk siapa kita lebih dari sekadar rempah dan sukat resepinya, tapi perjalanan yang ditempuh menjadi manusia