Jurutrengkas

My photo
Menulis untuk memudahkan ingatan, biarpun tahu susah itu barulah 'hidup'.

Sunday, 26 May 2019

Bertuju Melangsung Hidup


Panel sesentuh bisa retak seribu, dan hanya 'screen protector' mengelaknya berderai. Namun, masih mampu hampir se'responsive' dahulu.

Barangkali ia tahu, hanya kekal berfungsi membuatkannya terus relevan di tangan dan tidak dicampak buang.

Oh.

Makhluk seperti itu sendiri mahu langsung dengan hidup, kita yang berakal mahu mati sebelum ajal?

*senyum*

Barpun jalanmu sebenarnya buntu, hiduplah dengan hala dan tuju, baru kamu bisa maju dan terus melaju.

Tuesday, 21 May 2019

Berhenti Untuk Begerak Semula



Dalam kita menempuh rutin yang entah bila habis jangan dilupa kita ada hidup yang hendak dihidupkan, ada jiwa yang perlu kita didik menjadi insan.

Maka dalam sibuk menyusun waktu, berjeda lah sebentar; menyusun semula diri dan gerak semula.

Jeda mu bisa dengan solat, atau memadai menilai pandang dengan syukur dan senyum.

Semoga yang disayang tahu kita sayang; yang menghargai tahu kita sama seerti.

*senyum*

Monday, 20 May 2019

Menilai seribu satu rasa dalam menerbit kata.


Apabila derap jari menaip di papan kekunci menganti kata yang bergetar di lisan, apalagi guna bertentang mata kalau skrin kecil di telapak tangan juga menjadi pilihan.

Yang keluar untuk bersoreh, yang bertemu melepas rindu, atau sekadar berkumpul meraih kenangan, natijahnya masih sama: melainkan kamu berhenti memenatkan diri dan sosialmu.

Monday, 15 April 2019


Bagaimana hati itu berbolak balik, begitu jugalah respon kita pada tiap dugaan menetap iman.

Maka tentu sahaja langkah memahat ilmu dalam hidup tidak pernah berakhir, kerana faham kita belum tentu betul, amal kita belum tentu sempurna; maka merendah dirilah pada Maha Pencipta.

Semoga tiap titip ilmu di jalanan panjang kehidupan mampu kita hadam langkah demi langkah, dan kita terjemah dalam hidup yang benar hidup.

*senyum*

Saturday, 13 April 2019

Mahu Bawa Ke Mana?

Selamat
Setakat mana mahu dibawa harta itu? Kalau bukan hak, nanti nikmatnya tetap tidak akan sampai. Bukankah berdikit tapi nikmat lebih baik, dari banyak yang entah apa rasanya (kosong).

Oh.

Barangkali terlalu menilai sehingga terlupa bersyukur; hingga jiwa terkulai menanti rebah tersungkur.

Tuesday, 9 April 2019

Mengira masa yang aku buang untuk kesedihan



Sekecil-kecil hati, sakitnya bisa membunuh seluruh jiwa, kerana kita membiar sakit itu menjadi nadi setiap sendi yang bernyawa.

Mengira masa yang aku buang untuk mati dengan kesedihan, aku tekad mahu hidup biarpun hanya jantungku sahaja yang berdegup.

Setakat mana tekad ini melekat?

Aku tidak mahu kejian dan sinis kamu.
Cukuplah kamu biar aku bangun sendiri, jika bukan membantu.

*senyum*

Sunday, 24 March 2019

Anak Fitrahnya Berfikir: Puji


Hukumnya sama, jiwanya masih bertatih mengenal salah dan betul. Tentu saja langkahnya sekejap padu sekejap layu. 

Berpada-pada pada semua.  Pada patuh, tunjukkan kita setuju. Berterima-kasih bila perlu. Puji bila sikapnya terpuji. Baru anak tahu mana lampu hijau mana lampu merah.

Jangan harap mereka sentiasa lurus,kerana kita sendiri tak selurus mana. Bimbing. 

*senyum*

Thursday, 21 March 2019

Tahan Mendidik


Bijak andai kita memilih mendidik diri, dan bukan semata menahan rasa dan kehendak.

Andai ditahan, sekali pecah tahanannya bisa lagi rakus dari asal dan tidak terbendung. Kalau dah di didik, bijaknya nanti bisa nampak biji dan butir, baru cantik lebih terukir.

Sama juga, bab makan minum. Bab hati. Turut sama bab masa, atau apa saja.

Betulkan punca, bukan semata melekas mengejar masa.

Wednesday, 20 March 2019

Bercukupan Semua



Adat bersaudara, pasti ada balah mahupun berbuat salah. Penting, pada apa reaksi balas; dan bukan semata menang.

Belajar meletak cukup, agar sempit tak pernah terhimpit, dan lengkap dengan yang ada.

Semoga Allah permudahkan setiap urusan kita. Lapangkan rezeki kita dan beri kita rasa sayang dengan orang sekeliling kita.

Saturday, 9 March 2019

Yang Dikejar Lupa





Paling sibuk. Penuh manusia bersilih pandanganmu bertukar senyum yang entah nampak atau tidak. Mengekor manusia-manusia lain yang kejarnya tak pernah habis. 

Masuk. Dan duduk. 
*senyum*
Barangkali ada perenggan yang boleh dihabiskan bacaan dalam menunggu waktu berlepas. Dan ia aman. 

Oh. 

Lupa. 
Ada waktu yang bakal selisih, dan aku masih belum tunaikan. Betullah manusia, lupa, bila terlalu dunia. 

Bangun. 
Tandas sebentar. 
Dan ke sorok sudut yang sedikit jauh. 
Dan takbiratul ikram. 

Ameen

p/s:
Yang wajib, wudu'mu, peri mu dan bacaan. Mana mungkin tiada ruang menunai sujud mu, sedangkan bumi seluas pandang.

Wednesday, 27 February 2019

Memandang Bila Tiada 2


Melusuri ruang yang mana kita ini minoriti, membuat kita kenal siap diri. Berselisih bahu bertukar salam pada yang bukan sebangsa, baru kita benar tahu, agama bukan hanya untuk satu bangsa.

Terperosok di celah pesat kota, masih ada orang mahu beramal dengan agama. Sedang, kota yang berselang seli masjid berdiri, bisa berkipas lebih dari jemaah yang bersujud.

Mungkin. Perlu sekali sekala hilang, baru tahu timbul tenggelam.

Oh

Monday, 25 February 2019

Suntuk Yang Cukup


Kita hanya mampu mencukupkan waktu pada yang kita letakkan dulu, dan tentu dari segala rimbun suasana peristiwa, pasti yang terpetik dek kita hanya seberapa.

Bukan kita ada nyiur nak di tadah, maka berpada dengan tertampung dek telapak tangan.

Memilih dengan ilmu, agar susun susuk waktu pada tempat tuju; dan lebih dari sekadar libur yang sementara.

Bertatih tidak salah, asalkan bersungguh mahu berlari.


Sunday, 24 February 2019

Faham Bukan Seorang


Fahamkan,dan betulkan kebiasaan.

Ilmu itu sendiri seluas-luasnya, maka bertebaranlah belajar dengan pelbagai guru serta alam ini. Bertalaqilah, agar fahaman kita, sefaham guru. Biar berdikit, tapi kekal melekit tak bisa hilang.

Rujuklah pada yang pakar. Bukan dari seorang. Bukan juga terima sebulat kata, kerana ilmu itu tafsiran manusia. Buka peluang belajar dan belajar semula; berkali-kali.

Tundukkan pandangan kita, dan hormat guru kita, biarpun sebiasa manapun dia.

*senyum*

Friday, 22 February 2019

Yang Kita Tempuh, Bisa Berbeza


Susuk jalan yang sama, mampu menelan seluruh waktu, sedang pada ketika yang lain seketika sahaja hujungnya kunjung tiba.

Maka, jangan dinilai manusia dengan jauh jalan dilalui mereka semata. Ada jiwa dan rasa yang membalut setiap langkah, yang menjadikan setiap langkah bermakna.

Friday, 15 February 2019

Memandang Bila Tiada


Melusuri ruang yang mana kita ini minoriti, membuat kita kenal siap diri. Berselisih bahu bertukar salam pada yang bukan sebangsa, baru kita benar tahu, agama bukanhanya untuk bangsa ku.

Terperosok di celah pesat kota, masih ada orang mahu beramal dengan agama. Sedang, kota yang berselang seli masjid berdiri, bisa berkipas lebih dari jemaah yang bersujud.

Mungkin. Perlu sekali sekala hilang, baru tahu timbul tenggelam.

Oh

Wednesday, 13 February 2019

Hidup Hari Ini


Kadang kita menjual hari ini untuk esok; sedar-sedar silap semalam tidak terbeli dek harta kita nanti.

Dalam merancang membuka serelung lagi tanah, jangan lupa menanam benih, dan memetik buah buat dicicah manisnya sama.

Hidupkan hidup mu hari ini. Syukur dengan nikmat dan duga; pasti Allah titipkan bahagia. Jangan bertangguh esok untuk senyum bahagia, kerana esok belum tentu untuk kita.

*senyum*

Tuesday, 12 February 2019

Paling Tahu Dan Betul


Dalam menongkah jalan-jalan baru, agar senget dan bengkok kita mampu luruskan, sedar-sedar, kita sendiri jadi penyusah dan penyebok yang tidak tentu pasalnya.

Oh.

Menjadi bijak tak salah. Tapi merasa kita lebih bijak, dan kita paling betul, rupanya masalah, dan tentu ia lebih besar bila kita mencari penegak pada benang-benang yang lencun dihempas hujan.

Maaf untuk ini.
Dan maaf juga untuk yang dulu-dulu.


Friday, 8 February 2019

Anak, fitrahnya berfikir; Masa


"Babah belum balik?"
"kita dah makan dan nak tidur pun babah belum balik"
Oh.
Bukan limpah buku. Bukan mainan berlonggok situ. Bukan mewah makanan tak tercatu. Setidaknya, bukan sepenuhnya.

Yang penting, hadir dalam sedikit masa mereka. Senyum yang dilihat sendiri, peluk dan usik yang dirasa sendiri, dan gelak tawa yang didengari sendiri, itu lebih penting.

Zaman kanak-kanak mereka tak lama. 'Curilah masamu selagi mampu, sebelum ianya tidak lagi laku dalam pertimbangan mereka.

Oh.

Tuesday, 5 February 2019

Belajar Pada Faham



Kita barangkali pernah terlalu muda atau terlalu beremosi, tapi ia bukan alasan untuk kekal begitu dan tidak menjadi lebih baik.

Nilaikan niat, dan nilai semula matlamat. Barangkali, ada tuju yang kita perlu hala semula, dan jadi manusia yang lebih bermakna.

Bertolak ansur tidak pernah melemahkan, andai ansur kita pada maslahat dan berdiri tetap berprinsip.

Saturday, 2 February 2019

Panggilan Pulang


Seorang lagi sahabat, masanya telah tamat. Dia telah dipanggil, untuk fasa kemudian, sebelum dihitung dipengakhiran.

Alhamdulillah, pergi dia dengan baik. Ucapan baik, dan ingatan baik.

Itu dia.
Cara dia.
Kita? Belum tentu.

Biar basah istighfar di bibir, kerana rapuh jiwa kita tidak tertampung duga tanpa Dia. Dan panggilanNya kadang tak beramaran, maka sedialah sentiasa untuk terpilih.

* * *

Kadang, aku berharap panggilan aku sesegera hari ini, agar masih ada buah baik nak dikata dan insan nak mendoa.
Tapi, buku aku masih merah kalau tidak pun masih kosong!

Oh.
Allahu.

Monday, 28 January 2019

Utamakan Dulu


Bertangguh tidak pernah menyenang tugasan di esok hari. Sebaliknya ia bisa meruntuh motivasi, membunuh prestasi.

Susun ikut keutamaan. Semua penting, tapi ada yang pentingnya sekarang, ada yang karang-karang.

Rupanya, 24 jam kita tetap sama dengan 24 jam orang yang lain.

*senyum*

Saturday, 26 January 2019

Muda Selamanya


Rupanya yang manis bukan semata senyum terukir, tapi kenangan yang terpahat.
Wajah dan waktu berubahnya tentu. Tempat dan suasana lebih cepat beralihnya.

Maka, biar sahaja memori meremajakan usia. Membalik waktu setiap kali bertemu.

*senyum*

Wednesday, 23 January 2019

Betul Yang Bisa Dibetulkan Lagi


Barangkali, gerak niat pertama berbunyi dunia, tapi lama-lama kita ketemu jalan yang lebih jitu dan nikmatnya lebih padu.

Allahu.

Rupanya, belajar ini tidak pernah berakhir. Ambil peluang berfikir dan bertalaqi selagi mungkin, kerana mungkin celik kita tak cukup celik.

*senyum*

Thursday, 17 January 2019

Anak, fitrahnya berfikir; Kata Tidak.



Pada fikir anak-anak, mereka perlu mendapat jawapan bagi setiap kenapa dan mengapa. Dan pasti, ada eksperimentasi yang harus ada untuk jawapan-jawapan lain.

Maka, setiap jatuh bangun, pecah derai dan tawa tangis ada ilmu yang melimpah. 

Harus bagaimana berkata tidak? 

*senyum*

Janganlah berkata tidak.

Sebaliknya sebut apa yang perlu dilaku. 

Bukan jangan panjat. 
Turunlah, nanti bisa jatuh. 

Bukan jangan selerakkan. 
Kemaslah sayang, esok mudah mencari dan tidak ada buku yang hilang lagi. 

Bukan woi jangan bergaduh.
Sayangku, berdamai dan berkongsilah. Kan erti hidup pada memberi. 

*senyum*


Wednesday, 16 January 2019

Baiklah Berbaik-Baik


Bila fikir kita cukup baiknya, barangkali itu permulaan kepada kejahatan kita.

Sebar sahaja kata yang, harapan yang baik, riak wajah yang baik dan niat yang baik. Pelahan-pelahan baik itu menjadi jiwa, meresap menentu rasa, dan membenih menjadi insan yang lebih baik.

Ruang terbesar adaah ruang penambahbaikan.
Santunilah orang lain seperti mana kamu minta disantuni.
Selebihnya, Allah ada.

*senyum*

Sunday, 13 January 2019

Muda Selamanya


Rupanya yang manis bukan semata senyum terukir, tapi kenangan yang terpahat.
Wajah dan waktu berubahnya tentu. Tempat dan suasana lebih cepat beralihnya.

Maka, biar sahaja memori meremajakan usia. Membalik waktu setiap kali bertemu.

*senyum*

Saturday, 12 January 2019

Payah Itu Barulah Hidup



Melangkah itu lebih payah, dari berdiri dan membiar masa meliar pergi tanpa dipandang.
Yang mudah itu mati, berbanding bangun berkali dari sakitnya jatuh.

Dan payah itu barulah hidup, kerana sesungguhnya syurga itu mahal maharnya.

Thursday, 10 January 2019

Manisnya Menghargai Hidup


Indah bila manis-manis senyum ini lahir dari hati yang berbunga dan tulus.

Rupanya, dalam pendidikan formal yang biasanya kedengaran sangat keras, masih ada ruang dan peluang mengukir senyum dan membiar bunga kembang semula jadi, harum semerbak sepelusuk suasana.

Anak gajah dirantai kaki dari kecil, bisa hilang percaya dia mampu merentap rantai itu dan berlari mencari dunia sebenar disebalik batu-batu di zoo.

Didik kecil mereka, bimbing budi dan etika, dan biar mereka berkembang dalam ilmu dan malu.

Tuesday, 8 January 2019

Anak, fitrahnya berfikir: Tegur


Setiap tegur yang diucap, biarlah alasannya dilafaz.
Agar faham anak, sefaham kita, dan membunuh segala sangka.

Biar juga alasannya kukuh. Bukan sekadar lantunan emosi, atau entah apa yang belum pasti.

Ini bukan melukis diatas pasir, tapi memateri hati yang berbutir.

*senyum*

Saturday, 5 January 2019

Momen





Yang dikira, bukan berapa banyak masa bersama, tapi berapa kita hargai kebersamaan itu biar seketika.

Yang ditimbang nanti, bukan bertingkat berkati, tapi yang tersemat di dalam hati.

Sebut-sebutlah rasa hati melalui 'tindakan dan emosi', Insya Allah sampainya lebih berisi.

*senyum*

Wednesday, 2 January 2019

Life, alive.



The true winner is the one who overcome their struggle to their best, and give all they can, regardless the standing.

Above medal, there always sportmanship. We can win game, but you should win heart more, cause thats what make soul survive.

Make life, alive! 

Friday, 28 December 2018

Perpisahan itu pasti



Tika perpisahan itu sudah terlalu jelas, pasti hati menempa jiwa agar cukup bersedia untuk menempuh saat-saat itu.

Namun pasti, bila ia benar terjadi, atmosfera rasa bisa merempuh tembok air mata dan menikam jiwa rasional dengan momen manis pahit kenangan.

Manusiakan saja rasa itu. Bebaskan seketika sebu yang lelah ditakat-takat kamu. Dakap masa itu dan biar terhenti detik untuk dirakam buat kenangan. Kemudian lepaskan. Dan senyum semula.

Doakan ini bukan perpisahan, tetapi satu peluang melafaz semoga bertemu lagi.

*senyum*

Notakaki:
Bersedia mana pun dengan satu perpisahan pasti ia terkesan bila sampai masa.
Maka, pasti lagi terhempas rasanya, jika kepergian itu tidak dirancang.
Apatah lagi, ia kepergian ke alam abadi. 

Wednesday, 26 December 2018

Anak, fitrahnya berfikir: Pilih


Jangan kerana gemarkan ketayap, hanya dibelikan ketayap pada setiap singgahan.

Sebaiknya, jemput anakmu sekali. Dukung kalau perlu. Buka mata mereka melihat segala aneka rasa dan warna, dan meletak pilihan pada kuasa mereka. Percayalah senyum dibibir mereka itu lebih bermakna.

Maka, begitu jugalah cita-cita.
Begitu juga pilihan harian.
Pilihan hidup.

Pertanggungkan pilihan atas mereka.
Andai mereka tidak sampai, dukungkan 'tahu' mereka separas perlu dan buka pilihan yang terbentang. Biar setiap pilihan itu, pilihan hidup dan mati. Baru nanti membawa erti.

*senyum*

p/s: biar salah-salah kecil membentuk peribadi besar, kerana kita bukan tidak mati untuk pilihkan seumur usia mereka nanti. 

Monday, 24 December 2018

Tingkah Laku, Berpandu Tahu



Percayakan usaha, dan bertindak sehabis daya, barulah perancangan sebaik mampu, boleh berjaya.

Berandai-andai hanya layak pada diskusi dan berlebih-lebih padanya hanya membunuh prestasi.

Beza besar pada yang tahu dengan yang laku. Jadilah keduanya, kerana ia sebaik-baik kedudukan.

*senyum*

Saturday, 22 December 2018

Anak, fitrahnya berfikir: Jawapan


Berkatalah akan kita...
"Janganlah banyak bertanya, buat sahaja."

Maka jangan dimarah, jika mereka terdidik berbuat dahulu atas naluri, mengkemudiankan fikir untuk belajar pada situasi. Meninggalkan perincian dan membetulkan bilamana ada salahnya nanti.

Rupanya, kita yang melentur buluh untuk turut saja apa kelok angin, tak payah fikir bagaimana berdiri tegak.

Oh.

Friday, 21 December 2018

Rakamkan Ibrahnya




Wahai manusia yang mengembara, pandanglah alam dengan mata hati. Menghurai setiap frame waktu dan situasi yang menjentik akal fikir, dan rakamkan buat ingatan.

Rakam, untuk ingatan.

Bukan semata berhimpit dalam simpanan bimbit atau di media sosial yang kamu hanya mengira butang kongsi dan suka dari manfaat pada bangsa.

Belajarlah untuk belajar, kerana Alam 'cikgu' yang penuh ilmu.

*senyum*

p/s: rakam itu boleh jadi dengan tulisan, dengan suara, sekadar foto atau apa sahaja, asalkan bermanfaat baik; biarpun hanya untuk kamu seorang.

Thursday, 20 December 2018

Anak, fitrahnya berfikir: Soal



Menyoal akan mereka, bukan menguji apa yang kita tahu, tapi memahat peribadi dan isi diri untuk kemudian hari.

Letakkanlah bijak dalam menyusun kata, dan berikanlah jawapan ikhlas mendidik, maka tentu saja ia tidak berbunyi
Hummm..
Yela tu..
Entah...
Eh sibuk je lah...

*senyum*

p/s: Kamu tiada masa untuk itu? Barangkali kamu lebih tiada masa membetulkan mereka bila sudah terlewat nanti.

Wednesday, 19 December 2018

Headline



Membaca dari tajuk siaran boleh menimbul pelbagai andaian.

Selidik dan halusinya dahulu. Belek mana yang mampu, baru rumuskan. Percayalah, kadang berita ada keperluan untuk memilih kata yang menarik mata dan tanya, maka tentu saja ia bukan naskah penuh, dan mana tahu ia juga bukan isi terpenting.

Tabayyun.
Baca dengan lapang dada dan susuk ilmu, insya Allah yang dicari akan ketemu.

Monday, 17 December 2018

Ibrah si kacang putih 2




Biar sebekas, isinya berbelas. Penuh mengisi balang-balang berbalang.

Kita pilih satu persatu bukan? Selesaikan yang selesa di jiwa, dan kemudiankan yang bukan citarasa, tapi tetap sebalang ini akan dihabiskan.

Begitulah rungsing dunia mu.
Pilih yang mana yang mampu kamu habiskan dahulu, baru selesaikan yang lain kemudian.

Begitulah pada peri sahabatmu.
Pilih-pilih pekerti yang kamu mahu hadam, yang lain kamu kebelakangkan.

Harusnya hidup ini adalah pilihan, dan pemilihnya kamu.

*senyum*

Sunday, 16 December 2018

Maafkanlah, Sangat.



Dengan memaafkan, kita tidak akan memanjangkan masalah. Ia adalah langkah awal untuk kebaikan sendiri.
(Kekuatan Terapi Maaf by Endah Faizal Aziz.)

Maafkan dulu.
Nak melupakan atau tidak, itu kemudian

Monday, 10 December 2018

Kita, Apa Yang Kita Usahakan



Everybody is the winner, as long as they put their heart on every effort. Take one step once, built the momentum, and believe in you.

Find what suit you best, and keep practicing like a beast. In this world, nothing is perfect but, of course, if you keep practicing, and perfecting the way you are, you can being the best version of you. After all, the biggest room in this world, is room for improvement.

Take the chance now and be the better version of you. The choice, is yours.

Thursday, 29 November 2018

Bunuhkan Andaianmu




Sering manusia membuat andaian dengan situasi, dan memberi kesimpulan pada hal yang samar-samar.

Percayalah, dibawah terik matahari tengahari pun kita bisa terlepas pandang syiling yang bergolek ke bawah bayang-bayang kerusi, bagaimanalah kita bisa jumpa kalau dalam gelap yang hanya ada gelita.

Bunuh andaian kamu dengan fakta wahai sahabat.

Tabayyun.

*senyum*

Sunday, 25 November 2018

Kisah Yang Kita Kena Ambil Kisah

Ada banyak cerita yang kita tidak tahu, kerana bonda hanya bercerita mana yang difikir perlu.

Sedangkan, masih ada seribu kisah, yang beliau biar tidak berendah.

Kisah-kisah ini rupanya lebih penting, bagi memanusiakan kita sebagai insan.

Wednesday, 21 November 2018

Ibrah si kacang putih



Jangan percaya pada gelarannya, kerana kacang-kacang di balang ini lebih hijau, kuning dan koko berbanding putih. Lantas, gelaran sang penguasa, gelaran sang manusia, atau apa saja yang terpalit gelar bukan apa-apa.

Bingkas bangunlah punggung-punggung malas yang memberatkan usaha.

Mulakanlah sesuatu.
Biarpun sesuatu kamu itu kecil, ia lebih baik, dari menumpang pada nama yang digelar orang!

Thursday, 8 November 2018

Penawar Semua


Fitrahnya, kita bisa berselimut khuatir. Segala jenis khuatir.

Lantas, sang mata-mata bermain sifat khuatir dan gusar kasar manusia itu untuk segala macam niaga.

Lakulah segala ubat kuat, ubat cantik, ubat bijak yang penawarnya sekalian jenis sakit yang bakal disebut lidah. Maka harganya tentu tidak bisa murah, kerana ia bukan biasa-biasa.

Dan kita? Percaya bulat, dan bulat?

Oh.

Patutlah entah siapa-siapa bisa sahaja menjadi kaya. Rupanya kita mahu berhabis untuk cakap-cakap mereka;biarpun perlu ditarik yang dah di mulut. 

Monday, 5 November 2018

Rindu Si Tua



Barangkali, ada anak kecil yang dirindukan ibu tua ini. Cucunya barangkali, atau mana tahu anak perempuan yang tidak diketemui puluhan tahun. Yang jelas, ada rindu,dan rindu itu berat, serta memberatkan.

Wahai manusia di luar sana, ada kerinduan yang anda sebabkan dan bisa anda ubati dengan hanya pulang bertemu?

*senyum*

Friday, 2 November 2018

Payah



Dalam dunia yang maha payah, rupanya jawapannya tetap Dia; Maha Esa Allah.

Tapi, betul, memang payah.

*senyum*

Kerana itu lah, jawapannya yang Maha Esa, bukan biasa-biasa.

Wednesday, 31 October 2018

Sedikit, tapi terus konsisnya.



Simpan la sedikit.
Sedekah la sedikit.
Jihadkan sedikit.
Sesungguhnya berbanyak-banyak bisa melemaskan dan melekakan maka berdikit-dikit dan beralas setakat mana mampu.

Friday, 19 October 2018

Timbang dan Tara



Hidup ini tentang menimbang risiko
tentang membuat pilihan,
dan bertindak.

Halangan dan dugaan itu benar;
kemenangan bagi orang yang bersabar
dan bersyukur juga benar.

Hidup mu
Jalan kamu
Kamulah memilihnya.

Wednesday, 17 October 2018

Kasut Putih



Seputih-putih ia lahir, cantik dipakai segak digaya. 

Tapi ianya tentu mudah kotor.
Basuhnya juga payah, tetapi perlu, agar kotor tak jadi degil, nanti meletak tak mahu hilang. Nanti berkapur pun masih nampak kotornya.

Begitu juga hidup.
Hati lahir seputih-putihnya, tapi mudah saja kotor berbanding payah mengekal putih. Tapi perlu sentiasa dibersih, agar yang lekat bisa hilang, yang kekal tetap fitrahnya.

Tidak akan sama seputih awal?

Tidak mengapa, kerna kita tetap berusaha, dan yang dinilai bukan siapa kita mula, tapi akhirnya bagaimana.

*senyum*