Jurutrengkas

My photo
Menulis untuk memudahkan ingatan, biarpun tahu susah itu barulah 'hidup'.

Tuesday, 21 April 2020

Buah Seulas

Dunia ini luas, dan lebih luas dari apa yang kita pandang. Maka berlapang dada lah, untuk ketemu kawan berbalah. Barangkali, ada jalan yang telah dia tempuh ketika kita masih bersila ampuh.

Senyum.
Dan kutip buah yang ditabur.
Kupas kulit dan buang sisa.
Hadam isinya.
Mana tahu, entah manis (entah kan kelat) ini takkan dijumpa lagi; dimana-mana.

*senyum*

Monday, 20 April 2020

Sulit Menelah Angin


Hal hati, rumit nya bukan alang-alang. Menelah hati sendiri juga payah, apatah lagi mengerti hati orang.

Kerana sifatnya beralih ubah. Tetapnya tidak tentu, hasratnya merebak biar yang asal belum tersebak, maka menelah hujungnya pengharapan pasti mustahil kita sampai.

Harusnya bagaimana?

Yang disandar, jangan pada angin yang bertiup. Tapi, pada 'si peniup' angin yang menembus semua kebarangkalian.

Sebab hati bukan untuk difahami, tapi didamping dan diisi; dan sebaik pengisi, hanya Dia.

*senyum*

Sunday, 19 April 2020

Peri Perjalanan


Yang dibaca bisa hilang, maka catat; moga lekuk-lekuk huruf yang kita garap menjadi asbab lebih mengingat.

Dan sebaik-baik satu ilmu, hadam dan seraplah dalam tingkah dan laku; moga terpahat membentuk sikap.

Ini bukan perlumbaan siapa paling melimpah harta ilmunya; tapi perjalanan menjadi insan paling berhikmah peri pekerti (yang tentu ilmulah bahan api dan hartalah pelincirnya).

Oh.

Saturday, 18 April 2020

Dunia Kecil


Dunia hanya kecil bagi kamu yang mengecilkannya.

Sedangkan, pada mata yang memandang, terbentang seluas-luas ruang yang bisa tercapai dek cahaya.

Pada setiap kisah yang kamu pandang, yang kamu dengar, mahupun yang kamu rasa, ada 'pesan' yang kamu bisa nukilkan, agar sisi pelupa kamu bisa ingat; tuju kita tetap satu, dan jalan akan tetap sentiasa ada.

*senyum*

Friday, 17 April 2020

Ini Hari Apa?

Kita hilang perkiraan atas hari, bila mana ia pergi tanpa kira rancang, ia datang tanpa kita undang.

Sedangkan masa yang terlalu lambat melewati kita waktu ini, jadinya cukup-cukup laju bagi orang yang mengisinya.

Benarlah.

Kosong harap kita, kosong juga rancang kita.
Malah berharap hanya sekadar mengharap, ibarat punya beribu, tapi berganda kosong; mengekal kosong juga jadinya.

Mahu dijawab apa jika tanya atas pembaziran ini nanti? Sedang yang bertanya, bukan alang-alang penanya.

Oh.

Wednesday, 15 April 2020

Pembaca Menulis


Penulis juga pembaca, dan harus terus membaca agar bisa terus menulis.

Moga, yang dicatat bukan semata kata, tapi anyam peristiwa yang disusun rapi, agar ketemu ibrah hidup biarpun kita mati.

Yang terjadi, bukan semata mengundang ketawa (dan air mata) kita. Tapi juga mengundang ingatan, agar esok, salah itu tidak kita ulang; hanya jika kita faham.

*senyum*

Tuesday, 14 April 2020

Tolong Laju


Boleh dengar apa orang kata, sebab tak semua nampak dek mata kita.
Tapi, kita ada akal dan hati, jadi jangan dengar dengan tuli.

Dengar, fikir, dan hadam.
Rumus dalam tindakan.

Esok-esok, kalau kemalangan, polis tak tanya siapa suruh laju; polis tanya, ini kereta siapa pandu?

Kalau yang 'tanya' tu, Tuhan Yang Satu, bagaimana lagi mahu tipu?

*senyum*

Monday, 13 April 2020

Air Panas Segelas

Dalam menyusun jadual hidup, jangan lupa kita manusia yang ada 'mahu' dan ada 'emosi' yang turut perlu disantuni.

Sesekali, ambik masa lepaskan lelah, dengan cara kamu.

Agar mata yang memandang, nampak dunia yang terbentang, dan tidak mati dalam sepetak dua fokus yang dihadap.

Hirup lah air panas segelas, dan mengisi ruang pandang dengan khalayak yang lalu lalang. Pasti ada ibrah untuk kita, biarpun sehalus mana.

Kata orang, jangan semata kerap berucap bermadah, sesekali menjadi pendengar agar kita lebih 'celik' dan 'berhemah'.

*senyum*

Monday, 6 April 2020

Senyum Pahit


Membenarkan hati melepaskan sesuatu yang di sayang rasa, fitrahnya amat payah.
Tapi, percayalah, bukan semua sayang itu membawa kebaikan.

Ada masa dan ketika, melangkah dengan tenang dan redho lebih baik, untuk perancangan Allah yang tentu lebih lengkap.

Payah?
Berpayah untuk kebaikan itu berat timbanganNya, kan.

*senyum*

Wednesday, 1 April 2020

Rasa Aksara


Menulislah apa yang kita faham, buat ingatan yang mampu menyuluh jalan.

Ya, kita belum cukup sempurna malah tidak akan sempurna. Tetapi, sempurna itu sendiri satu perjalanan, bukan hentian yang boleh ditanda selesai.

Jadilah pembaca dahulu, hadam, dan larutkan setiap aksara, sebelum menyusun semula mentafsir rasa.

*senyum*