Jurutrengkas
- AJ
- Menulis untuk memudahkan ingatan, biarpun tahu susah itu barulah 'hidup'.
Thursday, 8 September 2022
Ada Memberi
Wednesday, 7 September 2022
Di Bahu
Kuasa dan pengaruh bukan untuk ditatang, tapi dikendong di bahu dan bawa secermatnya. Biar terasa sakit membeban di pundak tetapi jangan sama sekali kita julang di puncak.
Berpijaklah pada lantai, tapi kita berpaut pada yang memegang langit.
Payah.
Dan tentu susah.
Tapi kalau kita yakin ia benar, setidak-tidaknya kita akan rasa manisnya.
*senyum*
Tuesday, 6 September 2022
Menyubur Segar
Perjalanan ini panjang. Janganlah ditempuh sekadar tempuh, kerana penatnya bukan kepalang. Hentian sebelah, rehat dan rawat itu untuk kita melepas lelah dan menyubur segar bagi perjalanan semula.
Setiap orang punya cara yang berbeda. Keutamaan berbeza.
Asalkan kita tahu apa kita kejar, maka berkejaranlah mengikut cara kita.
Akhirnya nanti, tetap kita perlu menjawab, bagaimana kita berTuhan. Kan.
*senyum*
Sunday, 4 September 2022
Rincih Halus
Saturday, 3 September 2022
Konsesus
Berbincang bukan mahu mencari pandai, tapi mencari yang mana paling berpada dan memulangkan yang paling bermakna.
Tentu saja makna itu berbeza pada setiap yang bertuju dan meneliti. Selagi mana ia balik pada matlamat wujud, sewajarnya mungkin ia paling baik untuk sebuah konsesus.
Biar berbeza rasa, tapi langkah kita pada akhir yang sama.
*senyum*
Friday, 2 September 2022
Secangkir Espresso
Kopi itu pahit. Sepahit-pahitnya. Dan akan kekal pahit. Melainkan dicair air atau dimanis pemanis. Dan mencair memanis perlu usaha, perlu modalnya.
Begitu juga hidup.
Menatap atau meratap, sedikitpun tidak mengubah pahitnya bancuhan.
Berusahalah. Sebaiknya.
Selebihnya, bukan kerja kita.
*senyum*
Sunday, 17 July 2022
Cukup Kilometer
Jentera ini, sampai masa, perlulah selenggara. Bukan tunggu rosak baru nak bertindak. Molek ambil waktu, ganti mana perlu, segarkan tiap satu, agar lancar nanti bila dipandu.
Sama juga macam hidup.
Jangan menunggu rosak dan punah baru nak bersesak mencari hikmah.
Susun diri untuk diteliti. Ikat yang mana longgar, tutup yang perlu berpagar. Buka untuk berfikir, sambil tegar mulut berzikir.
Hidup bukan memenuh tegur manusia, tapi ambil ambil ia setakat mana tiada sia-sia.
Sentiasa tahu, jalan mana mahu tuju. Kerana Tuhan sentiasa ada; baik masa kita sedar, atau masa kita tersandar.
Jadi yang baik untuk diri, baik masyarakat menyusul nanti, dan moga tenang menjadi benang; mengikat hati ke bumi biar tadah kita tetap ke langit tinggi.
*senyum*
Tuesday, 5 July 2022
Semana Mampu
Sahabat, sabarlah.
Tuhan bukan uji kamu seorang. Tuhan juga uji kami.
Masalah tentu ada, dan tentu saja menyesakkan dan merosakkan; andai kita biarkan ia sedemikian.
Istighfar, cari Tuhan.
Cari kebaikan semana mampu.
Jadi kebaikan semana mampu.
Selebihnya kerja Tuhan.
Dan tidak kita hidup semata hidup yang menunggu mati. Hiduplah untuk menghidupkan dan memberi; semana mampu.
*senyum*
Monday, 4 July 2022
Kelompangan
Kalau dihumban buku-buku ke dalam raga, cepat benar raga penuh tapi tetap berongga. Masih banyak buku-buku di luar raga dan terbiar tidak dijaga. Mahu juga bersepah nanti. Mahu juga rosak nanti.
Barangkali, jika dihumban juga tugas dan tanggung yang kita perlu jawabkan di dalam bakul masa, pasti cepat benar bakul masa itu penuh tapi tetap juga kelompangan. Masih banyak tugas dan tanggungan di luar bakul masa dan tidak termuat dalam sempat. Mahu juga nanti kerunsingan. Mahu juga nanti hilang dalam pemusingan.
Maka, susun.
Ikut ruang. Ikut bentuk. Padan, dan ulang.
Mana ada jawapan betul semua, kan.
Sunday, 3 July 2022
Bercakap Mudah
Seberapa banyak kita berdiri di belakang tirai, menonton, mengkritik dan mencadang baik untuk si pementas; kita tetap tidak selangkahpun lebih baik dari si pementas melainkan berdiri sendiri dan mementaskan pementasan itu sendiri.
Lampu layar, kanta fokus dan sorot kamera hanya sebahagian dari kegugupan yang bisa menjadi dugaan, selebihnya ekspetasi diri yang bisa membuat susah itu sedia payah sebelum bermula.
Yang terbaik?
Mula mementas. Dan baiki.
Percayalah. Tiada negara yang berjaya dengan hanya berkata-kata. Kalau tiada yang baik, kita jadilah baik yang pemula.
Wednesday, 29 June 2022
Bergelimpangan
Friday, 10 June 2022
Keluar Jendela
Ketika kamu keluar menyingkap jendela melihat dunia terbentang luas pandang, jangan lupa dunia juga bisa melihat kamu dari luar.
Maka pilihlah sisi mana kamu mahu dilihat, kerana kita punya banyak sisi dan masih banyak perlu untuk diisi sebelum menjengah ke pengetahuan orang.
Kita, apa yang kita pilih.
*senyum*
Monday, 6 June 2022
Belum Turun
Ada hari, langit yang gelap gempita juga bisa surut dan cerah tanpa hujan. Sedang tadi segelap-gelapnya langit.
Mustahil?
Tidak.
Selagi tidak turun hujan, wujud kebarangkalian untuk hujan kekal tidak turun; biarpun turunnya hampir sangat pasti.
Kerana semuanya Allah yang susun, dan kita? Susun usaha kita.
*senyum*
Sunday, 5 June 2022
Bukan Sekadar Rasa
Kita mungkin kagum dengan pencapaian manusia, tapi jangan kekaguman itu menjadi kunci untuk kita gumam. Belajarlah untuk menerima, tapi bukan sebulat kata ditelan tanpa dikunyah dihadam. Kalau pahit, tanya. Kalau lemak, tanya. Baru kita belajar dan jadi lebih baik, bukan semata angguk dan kemudian tunduk.
Saturday, 4 June 2022
Jalan Panjang
Hujan lebat kemudian berhenti. Kadang banjir, kadang tidak. Serta banjir itu juga surut.
Panas terik juga akan berganti malam dan begitulah alam.
Tiada tinggi yang tidak pernah jatuh dan tentu saja tiada yang di bawah yang tidak boleh mendaki tinggi.
Semuanya tidak kekal dan tidak akan selamanya.
Maka, janganlah kita berbangga atau berduka yang tidak bertepi. Berpada-pada untuk seketika, kemudian kembali ke petak mula.
Kita mula semua semula, kerana semalam tetap semalam. Kita hidup untuk hari ini dan insya Allah esok-esok nanti.
*senyum*
Sunday, 29 May 2022
Menelah Uji
Benarlah kata seorang asatizah di corong IKIM FM. Sabar ini anugerah, Allah memilih siapa makluknya yang ingin diberikan anugerah ini.
Allah beri ujian pada siapa yang mampu dan layak. Maka sebaiknya tidak menelah ujian orang, sebab kita belun tahu sekuat mana kita dalam ujian yang sama.
Kan.
Saturday, 28 May 2022
Kita Pilih
Kalaupun ditakdirkan kita bukan insan yang terpilih mahupun terbaik, pilihlah untuk menjadi manusia yang punya rasa dan ada bila perlu.
Kita mungkin bukan tiang seri yang segak dipuji, tapi memadailah memilih menjadi kunci-kunci yang mengikat pasak tiang agar tidak jatuh.
Friday, 27 May 2022
Membaris Hidup
Pembaris bukan semua perlu keras lurus dan mati. Ada pembaris melengkung. Ada pembaris yang memang lembut dibentuk. Namun sifat semuanya masih membaris dan mengukur dengan benar; dalam fungsi yang berbeza.
Maka jadilah pembaris yang membaris, tetapi kekal hidup dengan situasi.
*senyum*
Thursday, 26 May 2022
Jadi Tanda
Kita bukan perlu mengajar bagaimana untuk manusia itu menghadap hal hati dan rasa.
Sebaiknya, beri saja petanda, kita sentiasa ada jika perlu apa-apa.
Percayalah.
Manusia tentu perlu masa. Tapi, manusia juga perlu bahu untuk berpaut dan lembayung untuk menumpang teduh, biar seketika.
Kan.
Wednesday, 25 May 2022
Runtuh
Maaf tidak akan mengubah apa-apa yang telah runtuh. Namun setidaknya, ia mampu membantu agar tiada lagi runtuhan pada jambatan yang berbaki, atau setidaknya kita sudah mampu untuk bergerak melintasi runtuhan itu.
Kan.
Tuesday, 24 May 2022
Yang Mahal
Kadang-kadang, tenunan dan bahannya memang setara, malah seia sepadan. Namun harganya jauh berbeza. Benarlah mungkin, yang mahal hanya jenamanya.
Begitu juga manusia barangkali. Kita mungkin sebaris setara, tapi mungkin tidak 'mahal' di mata. Ada jenama yang dinilai manusia lain.
Boleh jadi jenama ayah ibu. Boleh jadi jenama tempat kita menimba ilmu. Boleh jadi jenama si tuan guru. Boleh jadi juga jenama persona yang kita ada.
Apa juga jenama yang kita tumpang, pastikan kita punya isi dan tidak berlompang. Kerana akhirnya, yang berguna hanya yang lasak dilanyak dan sedap berkhidmat, bukan yang dipamer disimpan hanya untuk pentaksub baru membeli mahal.
Monday, 23 May 2022
Mengutip Kisah
Pada setiap kisah yang kita tembung dalam hidup, ada ibrah yang boleh kita kutip.
Ambillah sebanyak mana yang kita mampu untuk baiki diri, kerana ia sebaik-baik pengajaran; kerana mustahil kita mampu belajar membaiki diri dari kematian kita sendiri, kan.
*senyum*
Sunday, 22 May 2022
Gelas Di Tangan
Ada orang yang hadir untuk menunggu waktu berlalu, sedangkan mengisi waktu itu lebih perlu dan padu. Gelas kosong ada di tangan, kita yang pilih apa isinya, kan.
Thursday, 19 May 2022
Rasalah
Hidup ini berwarna bila kita mampu mengenal rasa dan hanya yang memiliki jiwa mampu mengenalnya. Jadilah manusia, untuk punya manis dan pahit pada lidah.
Wednesday, 18 May 2022
Memimpin Manusia
Biarpun menjadi pemimpin, kita masih manusia yang bisa salah, bisa silap dan bisa jatuh tergelincir dari jalan-jalan yang terang. Malah lebih malang kalau kita lupa bertapa manusianya kita; jatuhnya bisa lebih sakit menyakitkan.
Maka jadilah seperti manusia. Belajar, berunding, bertindak, menilai dan menambah baik.
Kita tentu saja bukan paling istimewa, tapi tanggungjawab di bahu menuntut tempat yang istimewa dalam pertimbangan kita.
Biarpun manusia, kita masih mampu jadi sebaik-baik manusia dari semata wujud, kan.
Tuesday, 17 May 2022
Simpan Sedikit
Monday, 16 May 2022
Membina Tugu
Telefon ini bisa jadi jam ke-25 untuk kita lunaskan segala macam rancang dan atur; atau jika gagal, ia bisa menjadi anai-anai yang mengurai 24 jam kita menjadi surut.
Hal hidup bukan kisah untuk perkakasan, tapi bagaimana kita memangkas waktu menjadi tugu kita di sana.
Saturday, 14 May 2022
Negative LCD Display
Ketika mana yang di atas dan di bawah nampak rosak, yang kiri dan kanan nampak rosak, baik kita semak cara kita pandang.
Kadang-kadang, kita membalik filem gambar sampai semua warna nampak 'terbalik' (invertered) dan kita saja yang nampak benar bercahaya, sedangkan tiada siapa yang berubah mahupun merubah; kecuali mekanisma kita memandang.
Kan.
Friday, 13 May 2022
Yang Nampak
Tidaklah salah untuk celana hitam yang tertetas jahitannya kita jahit dengan bebenang putih, merah jambu atau apa segala warna bukan hitam. Yang carik kembali terjalin, dan celana bisa sedia diulang guna.
Cumanya, lumrah pada setiap kelainan, menarik perhatian dan membuah bual.
Maka, yang kita perlu tahu, biarpun berbeza, selagi betul itu betul, betullah jadinya; tapi mungkin ada cara lebih hikmah membuat hal yang betul tadi.
Dan yang kita juga perlu tahu, biarpun berbeza, kalau ianya salah tetap akan salah, biarpun ia paling terang menonjol.
*senyum*
Thursday, 12 May 2022
Gelanggang Lelong
Wednesday, 11 May 2022
Jom main!
Anak, fitrahnya meneroka. Mencari jawapan pada soalan yang berlegar. Menyelongkar sebarang kebarangkalian agar minda yang tertanya jumpa jawapan yang menokhtahkan. Maka tentu saja, mengarah dan meletak marah tidak membantu menjawab apa-apa. Tidak juga membina bata percaya, malah mungkin menghakis rasa kebergantungan yang mana ada.
Isilah pada mereka dengan jawapan. Kalau jawapan tidak ada dengan kita, bukakan lampu-lampu agar mereka nampak mana la ruang teroka yang belum di jelajah.
Bolehkan.
*senyum*
Tuesday, 10 May 2022
Pintu
Ayat pertama yang turun bacalah.
Barangkali, ia manifestasi bahawa 'membaca' itu pintu segala jenis ilmu dan penyelesaian.
Biarpun ada insan mula membaca dengan niat keburukan, niat mencari 'bilah pisau' untuk melibas dalam perdebatan, tapi nanti akhirnya ia akan jadi wasilah mereka berjumpa dengan kebenaran atas izin Allah.
Apatah lagi, kalau kita benar membaca dengan mencari lampu penyuluh kehidupan.
Kan.
Monday, 9 May 2022
Yang Terbaik
Yang terbaik, bukan semata menutup aib, tetapi beranjak lak biar seperlahan mana pun untuk meninggalkan apa yang bisa menjadi keaiban kita.
Biarpun tidak sempurna, biarlah tidak terhina. Berusahalah, biarpun payah.
Kan.
Sunday, 8 May 2022
Syiling
Nampak dan percaya adalah dua sisi pada satu syiling.
Kita boleh memilih satu sisi sahaja untuk satu masa; sehingga sampai masa kita yakin, seluruh syiling itu sudah milik kita!
Saturday, 7 May 2022
Selangkah Dulu
Friday, 6 May 2022
Dinding-dinding Alang
Jangan kita semata mengemas kertas dinding dan menganti chandelier mewah di alang ruang sedang kita biar dinding-dinding dan alang merekah menanti rebah.
Benar belum ramai yang nampak rekah dan kosong pada lohong-lohong dinding/alang itu kerana jika ramai, pasti ianya sudah terlalu lewat untuk suatu pembetulan (kerana ia sudah rebah).
Thursday, 5 May 2022
Petunjuk
Wednesday, 4 May 2022
Bukan Tunggu Baik
Berkongsi dengan hikmah, tidak pernah akan rugi. Barangkali, ada pintu-pintu kebaikan yang Allah mahu buka atas asbab kita; sedangkan kita sendiri belum tentu baik sepenuhnya.
Maka, selepas selesai satu kebaikan, bertebaranlah di muka bumi dan buat kebaikan lagi; kerana kita belum tahu mana satu yang benar-benar pintu untuk kita.
Tuesday, 3 May 2022
Ulang
Monday, 2 May 2022
Tempat Kita
Allah dah susun, maka percayalah dengan iman.
Ujian hadir dalam cara yang pelbagai, tapi hasratnya hanya untuk tempatkan kita pada tempat yang lebih baik.
Kan.
Maka berlapang dada dan mudahkanlah buat orang lain. Insya Allah, mudahnya sampai untuk kita.
*senyum*
Semoga Semua Diberkati Maha Esa
Sunday, 1 May 2022
Beza
Perbezaan di antara apa yang kita faham dengan apa yang lain faham (kerapnya) hanyalah komunikasi.
Jika bezanya jauh dan besar, betulkan dahulu komunikasi kita.
Jika bezanya masih kecil atau baru merekah, yang perlu dibetulkan juga adalah komunikasi.
Ya, mungkin bukan semua, tapi setidaknya sebahagian dari nya.
*senyum*
Saturday, 30 April 2022
Sebalang Buah Potong
Naskah ini bukan menghurai rasa masam-masam buah pelam muda yang segar dipotong panjang bergaul asam boi dan rencah gaul yang membuat kita kecur liur. Terasa-rasa nikmat masamnya yang subahanallah sedap seperti selalu.
Tapi.
Ia naskah yang kisahkan sebalangan jeruk buah ini punya banyak realiti lebih dari semata pilih, bersih, hiris dan gaul.
Ia cerita payah orang berpanas hujan di lampu isyarat tepi jalan, bertebal muka mengantung papan iklan di dada.
Ia kisah dinding tuntutan hidup yang menyempit lagi ruang nafas yang sedia sempit.
Dan ia dibalangkan kemas diletak hias atas meja untuk kita.
Pilih.
Ya, pilih cara kita mencicipnya, dan rasalah buah jeruk asam boi kita sendiri; bukan semata mendengar segala rencam rasa dari orang hingga kecur liur dan kemudian puas tanpa benar menikmati kunyahannya.
Kunyahlah. Dengan hati. Kita belum tamat.
Friday, 29 April 2022
Susun Semula
Thursday, 28 April 2022
Belon Kita
Berpuas hati, berfikir tentang apa yang susah dan terlalu khuatir untuk jatuh adalah antara akar-akar yang bisa mengikat belon-belon kehidupan dari terbang tinggi memenuhi potensi.
Kan.
Selesaikan satu mimpi dengan jadikan ia satu kebenaran.
Dan kemudian bermimpilah semula dengan mimpi baru; kerana kita masih punya kehidupan yang tidak terjangka.
*senyum*
Wednesday, 27 April 2022
Pemula
Tuesday, 26 April 2022
Biarpun Sekuntum
Senyumlah.
Mana tahu, ada insan yang punya serabut melangit dan kusut yang berselirat mampu sedikit reda pada senyum yang percuma dari kita.
Atau setidaknya, kita senyum untuk percaya, Allah tetap ada dalam susah mana pun yang kita hadap.
Kan.
Monday, 25 April 2022
Bersangka-sangka
Kereta kerap rosak bila bonus keluar.
Bateri pula habis ketika elaun lebih masa masuk.
Dapat duit insentif sikit, pagar rumah pula rabak.
Memang asal ada duit je mai musibah ka? Aduh..
* * *
Atau.
Allah 'tahan' musibah tu dari hadir awal, kerana kita 'belum mampu'?
Atau mungkin.
Musibah hadir sedikit awal, berbanding tiba ketika kewangan kita surut?
Rupa-rupanya, kita boleh memilih mahu bersangka baik atau bersangka buruk kan?
*senyum*
Sunday, 24 April 2022
NOTA: Mengusahakan Yang Lebih Baik
Tabiat menjadi institusi dalam diri bila mana kita menjadi selesa dan puas pada manfaatnya. Maka tentu saja yang senang dan 'malas' lebih mengundang selesa dari bersungguh menyelesai susah dan berpayah mengurai keringat.
Maka bagaimana mengajar diri puas pada manfaat yang baik berbanding manfaat yang pendek sifatnya?
Pudarkan kegembiraan bertabiat buruk dan timbulkan kepayahan padanya.
Wujudkan gembira pada bertabiat baik dan wujudkan kemudahan kepadanya.
*senyum*
Inspired by Atomic Habits Chapter 3
Saturday, 23 April 2022
Melaras Paras
Jangan kita pernah menghukum manusia yang tidak mencapai aras yang kita susun, sekiranya tidak terlebih dahulu kita membentuk mereka ke aras yang itu.
Manusia itu berbeza, maka tentu pandangnya berbeza. Maka laraskan dulu pandangan ke sudut yang sama, baru boleh dibentuk dan dilentur mengikut irama
Jangan gagal menjadi kepala, tapi disalah kepada tubuh dan anggota.
Kan.
Friday, 22 April 2022
Sampai Mahal
Thursday, 21 April 2022
Mempelam
Yang diizin jiran, mempelam yang ranum itu diambil dan dicicah makan; bukan pokoknya untuk dijarah dan dipanjat naik.
Ambil tahu batu sempadan dan izin tuan. Hidup biar bertentu adat, tingkah biar bertentu tampi. Baru disimpan, diusung orang.
*senyum*
Wednesday, 20 April 2022
Pasak Percaya
Perubahan, pasaknya pada identiti diri yang kita percaya, baru kemudian lahir keputusan yang kita rencana.
Membetul diri, mulakan dengan membetul percaya; dan mempercayai diri.
*senyum*
Inspired by Atomic Habits Chapter 2.
Tuesday, 19 April 2022
Matahari Yang Sama
Monday, 18 April 2022
Tuang Ke Acu
Thursday, 31 March 2022
Sebahagiannya
Kenangan manis bukan wujudnya untuk kita ungkit dan banding. Ia wujud untuk mengabsahkan yang hidup ini sebenarnya manis dan ada sebahagianya memang untuk kita.
*senyum*