Jurutrengkas
- AJ
- Menulis untuk memudahkan ingatan, biarpun tahu susah itu barulah 'hidup'.
Wednesday, 27 February 2019
Memandang Bila Tiada 2
Melusuri ruang yang mana kita ini minoriti, membuat kita kenal siap diri. Berselisih bahu bertukar salam pada yang bukan sebangsa, baru kita benar tahu, agama bukan hanya untuk satu bangsa.
Terperosok di celah pesat kota, masih ada orang mahu beramal dengan agama. Sedang, kota yang berselang seli masjid berdiri, bisa berkipas lebih dari jemaah yang bersujud.
Mungkin. Perlu sekali sekala hilang, baru tahu timbul tenggelam.
Oh
Monday, 25 February 2019
Suntuk Yang Cukup
Kita hanya mampu mencukupkan waktu pada yang kita letakkan dulu, dan tentu dari segala rimbun suasana peristiwa, pasti yang terpetik dek kita hanya seberapa.
Bukan kita ada nyiur nak di tadah, maka berpada dengan tertampung dek telapak tangan.
Memilih dengan ilmu, agar susun susuk waktu pada tempat tuju; dan lebih dari sekadar libur yang sementara.
Bertatih tidak salah, asalkan bersungguh mahu berlari.
Sunday, 24 February 2019
Faham Bukan Seorang
Fahamkan,dan betulkan kebiasaan.
Ilmu itu sendiri seluas-luasnya, maka bertebaranlah belajar dengan pelbagai guru serta alam ini. Bertalaqilah, agar fahaman kita, sefaham guru. Biar berdikit, tapi kekal melekit tak bisa hilang.
Rujuklah pada yang pakar. Bukan dari seorang. Bukan juga terima sebulat kata, kerana ilmu itu tafsiran manusia. Buka peluang belajar dan belajar semula; berkali-kali.
Tundukkan pandangan kita, dan hormat guru kita, biarpun sebiasa manapun dia.
*senyum*
Friday, 22 February 2019
Yang Kita Tempuh, Bisa Berbeza
Susuk jalan yang sama, mampu menelan seluruh waktu, sedang pada ketika yang lain seketika sahaja hujungnya kunjung tiba.
Maka, jangan dinilai manusia dengan jauh jalan dilalui mereka semata. Ada jiwa dan rasa yang membalut setiap langkah, yang menjadikan setiap langkah bermakna.
Friday, 15 February 2019
Memandang Bila Tiada
Melusuri ruang yang mana kita ini minoriti, membuat kita kenal siap diri. Berselisih bahu bertukar salam pada yang bukan sebangsa, baru kita benar tahu, agama bukanhanya untuk bangsa ku.
Terperosok di celah pesat kota, masih ada orang mahu beramal dengan agama. Sedang, kota yang berselang seli masjid berdiri, bisa berkipas lebih dari jemaah yang bersujud.
Mungkin. Perlu sekali sekala hilang, baru tahu timbul tenggelam.
Oh
Wednesday, 13 February 2019
Hidup Hari Ini
Kadang kita menjual hari ini untuk esok; sedar-sedar silap semalam tidak terbeli dek harta kita nanti.
Dalam merancang membuka serelung lagi tanah, jangan lupa menanam benih, dan memetik buah buat dicicah manisnya sama.
Hidupkan hidup mu hari ini. Syukur dengan nikmat dan duga; pasti Allah titipkan bahagia. Jangan bertangguh esok untuk senyum bahagia, kerana esok belum tentu untuk kita.
*senyum*
Tuesday, 12 February 2019
Paling Tahu Dan Betul
Dalam menongkah jalan-jalan baru, agar senget dan bengkok kita mampu luruskan, sedar-sedar, kita sendiri jadi penyusah dan penyebok yang tidak tentu pasalnya.
Oh.
Menjadi bijak tak salah. Tapi merasa kita lebih bijak, dan kita paling betul, rupanya masalah, dan tentu ia lebih besar bila kita mencari penegak pada benang-benang yang lencun dihempas hujan.
Maaf untuk ini.
Dan maaf juga untuk yang dulu-dulu.
Friday, 8 February 2019
Anak, fitrahnya berfikir; Masa
"Babah belum balik?"
"kita dah makan dan nak tidur pun babah belum balik"
Oh.
Bukan limpah buku. Bukan mainan berlonggok situ. Bukan mewah makanan tak tercatu. Setidaknya, bukan sepenuhnya.
Yang penting, hadir dalam sedikit masa mereka. Senyum yang dilihat sendiri, peluk dan usik yang dirasa sendiri, dan gelak tawa yang didengari sendiri, itu lebih penting.
Zaman kanak-kanak mereka tak lama. 'Curilah masamu selagi mampu, sebelum ianya tidak lagi laku dalam pertimbangan mereka.
Oh.
Tuesday, 5 February 2019
Belajar Pada Faham
Kita barangkali pernah terlalu muda atau terlalu beremosi, tapi ia bukan alasan untuk kekal begitu dan tidak menjadi lebih baik.
Nilaikan niat, dan nilai semula matlamat. Barangkali, ada tuju yang kita perlu hala semula, dan jadi manusia yang lebih bermakna.
Bertolak ansur tidak pernah melemahkan, andai ansur kita pada maslahat dan berdiri tetap berprinsip.
Saturday, 2 February 2019
Panggilan Pulang
Seorang lagi sahabat, masanya telah tamat. Dia telah dipanggil, untuk fasa kemudian, sebelum dihitung dipengakhiran.
Alhamdulillah, pergi dia dengan baik. Ucapan baik, dan ingatan baik.
Itu dia.
Cara dia.
Kita? Belum tentu.
Biar basah istighfar di bibir, kerana rapuh jiwa kita tidak tertampung duga tanpa Dia. Dan panggilanNya kadang tak beramaran, maka sedialah sentiasa untuk terpilih.
* * *
Kadang, aku berharap panggilan aku sesegera hari ini, agar masih ada buah baik nak dikata dan insan nak mendoa.
Tapi, buku aku masih merah kalau tidak pun masih kosong!
Oh.
Allahu.
Subscribe to:
Posts (Atom)