Jurutrengkas

My photo
Menulis untuk memudahkan ingatan, biarpun tahu susah itu barulah 'hidup'.

Tuesday, 23 January 2024

Susun di Balang-Balang

Penat. Ia menuntut rehat.

Hujan pun turun, dan seluruh bumi basah. Setidaknya, seluas yang nampak dek mata, dengar dek telinga.

Hidup ini ada dua puluh empat jam sehari.

Kebanyakkan hari, ia seperti tidak pernah cukup dan masih lagi tetap jauh dari yang dikejarkan.

Tetapi ada hari, ia agak perlahan, dan ada lapang yang belum kita isi dengan keperluan mahupun kehendak.

Maka benarlah mungkin, masa itu ibarat balang yang berdinding. Kita isi dengan bongkah-bongkah waktu yang pelbagai bentuk, warna dan segala rupa. Seandai benar susunnya, bisa kemas, kejap dan padat berisi penuh. Seandainya kusut susunnya, jadi berkecamuk dan campakkan saja semua sampai ia tetap penuh biarpun tidak pada hakikat.

Oh.

Pengalaman mengajar.

Mengajar untuk lebih cermat, berhikmah dan berdamai.

Itu aku yakin.

Cuma aku belum tahu; pengalaman mana yang bakal buat aku benar-benar faham, setelah yang lepas-lepas hanya mampu buat aku sedar sekejap, sebelum tersodok mengantuk dan hanyut kembali.

*senyum*

Wednesday, 17 January 2024

Pinjamkan Telinga


Rugilah kita mendengar hanya semata kerana kita wujud dalam situasi.

Dengarlah untuk mengubah prestasi.

Barulah berbaloi meminjamkan telinga dan masa.


Biar saja pesanan-pesanan yang baik mengetuk kita berkali-kali agar kita bangun dari leka.

Baik ia pesan yang selembut sapaan angin atau kadang keras bak dipukul-pukul.


Belajarlah untuk terima. Meneliti, dan membaiki.

Hidup ini terlalu pendek.

Tetapi selagi belum tamat, ia masih sangat panjang untuk dilengkap.


kan.

Monday, 15 January 2024

Kadangnya Terlewat Masa, Bukan Terlewat Sedar

 




Saban pagi, ada sahaja barisan kereta besar-kecil-sedang yang kita perlu hadapi dengan tenang dan jiwa hamba. Kerana tahu, setiap pemandu mahu lekas laju.

Tambahan pula,
bila segala macam kereta turun bertimpa-timpa ke jalanan dari langit bersama butir hujan yang menghempap deras di bumbung terracotta subuh tadi.
Habis semua jiwa 'rider' kini diikat dengan selempang tali pinggang (yang tidak pernah disarungkan melainkan ketemu 'sarjan misai' di jalanan),
sambil terpaksa memaksa diri mendengar radio berbahasa kebangsaan yang lebih ketawa mati dari mengisi jiwa dan hati.

Benarlah.

Ada 'masa' yang kita mahu kejarkan, tapi rupanya, ada sabar yang Allah nak ajarkan.

*senyum*



29072023

Sunday, 14 January 2024

Pinggan

Dalam banyak-banyak yang dihidang, bukan semua untuk kita.

Ambil apa yang kita perlu. Isi apa yang kita mahu.

Pinggan kita tidak besar, maka berpada dalam memilih.

Baik ia kebaikan, mahupun tanggungan yang kita mahu jawabkan nanti.

Berpada dan memberilah.

Memberilah, sebelum yang dihidangan itu mula sejuk kehangatannya.

kan.

*senyum*




10062023


Wednesday, 10 January 2024

Secukup Rasa


Fitrahnya manusia, tertarik dengan hal jiwa, hal rasa dan tentu sahaja yang molek di kaca mata. Maka tentu sahaja melahir suka itu mudah. Jatuh suka lagi tentu terasa mudah.

Namun hal suka ini hanya kulitnya sebuah naskah kehidupan.
Kita perlu membuat keputusan bagi setiap helai lembaran-lembaran waktu yang masih menunggu.
Komitmen rasa.
Membahagi masa.
Melepaskan sebahagian sambil memegang sebahagian.
Itu semua rencah wajib dalam menghidang kehidupan berpasangan.

Gula bukan semata-mata manis.

Ia juga bersemut, melekit bila cair dan bisa merompak kakimu jika dibiar berlebih-lebih.

Maka memilihlah untuk bergelumang hanya jika kamu tahu hidup dalam bersukatan dan mahu bersungguh membakarnya dengan gerak usahamu yang tentu berterusan.

Sukar?

Simpan saja rasa suka diam-diam, dan hidup saja dalam rencah tidak mahu susah.
Itu lebih mudah.

Kan.

*senyum*

Tuesday, 9 January 2024

Bila Lagi?



Hidup ini satu jalan yang cukup panjang, tetapi benar-benar pendek. Melihat waktu yang berlalu buat kita fikir punya sebanyak itu lagi untuk ditempuh, tapi entah sebentar sahaja, peruntukan untuk hidup itu kita telah lengkapkan sepenuhnya.

Kita tidak punya dua hati, dua fikir dan dua usaha dalam satu waktu. Maka, mengasingkan usaha mengunyah laba dunia dengan mengutip lampu penyinar syurga pasti menjadi sulit dan merenyahkan. Apa lagi belum tentu ada esok, dan semalam kita pasti penuh compang-camping yang tidak sempurna.
Hanya waktu ini yang benar-benar kita ada untuk merancang dan kemudian menghidupkan perancangan kita.

Kita kian tua.
Kian susut sihatnya.
Susut lagi dayanya.

Mahu tidak mahu, perlu bernyawa biarpun berpayah setiap hari. Perlu hidup bertuhan, biarpun masih goyang apa yang kita pegang. Setidaknya dipanggil nanti, ada usaha untuk menjadi hamba yang kita boleh cagarkan, biarpun ia hanya masih satu perjalanan.

Bangun. dan mula.

*senyum*

Tuesday, 1 August 2023

Menumpang Teduh Bucida

I.

Bucida itu perlu rimbun, namun bukan dengan semua dahannya. Ada yang perlu dipangkas, agar tumbuhnya jadi, hidupnya bererti. Biar mampu menumpang teduhnya barang sekejap.

Bucida itu daun merimbun, perlu dikemas. Agar adanya dia seperti dijaga, bukan semata-mata tumbuh meliar bersuka-suka.

Hidup ini juga begitu.

Bukan kita mampu hidupkan semua dahan kehidupan dan kekal menjadi yang paling sempurna. Pasti ada yang diutamakan dan mungkin ada terpaksa dipangkas untuk mengekal imbang. Pilihlah dahan yang benar-benar untuk kita. Dahan yang kita benar akan perjuangkan, biarpun puluhan tahun mendatang.

Hiduplah lebih dari semata hidup. Bawalah erti. Sumbang dengan memberi. Maka, mempunyailah sesuatu, supaya kita mampu memberi; dengan bijak. Sebutan yang baik, pesan yang baik dan berbuat kebaikan barangkali modal yang mudah tetapi cukup-cukup mahal.

Duduk, merancanglah. Kerana sekali kita pangkas buang, tidak akan sesekali dahan itu kembali seperti sebelum.

Kan.

Thursday, 8 September 2022

Ada Memberi

Apa yang kita tahu hari ini, sudah menjadi 'sejarah' dan bukan lagi benda baharu. Mungkin juga, ia mula surut dari senarai keutamaan dan mula menjadi ilmu yang ketinggalan.

Maka, jangan berheboh dengan apa yang kita ada, kerana lebih banyak yang penting belum kita peroleh.

Belajarlah dari segenap peluang dan gunalah segala macam ruang. Beri manfaat sebaiknya dan merendah diri agar jiwa lebih mudah menerima.

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil kata, erti hidup pada memberi. Hanya orang yang punya rasa 'ada' mampu memberi, dan tentu sahaja kita semua 'ada', jika kita mahu melihat.

*senyum* 

Wednesday, 7 September 2022

Di Bahu

Kuasa dan pengaruh bukan untuk ditatang, tapi dikendong di bahu dan bawa secermatnya. Biar terasa sakit membeban di pundak tetapi jangan sama sekali kita julang di puncak.

Berpijaklah pada lantai, tapi kita berpaut pada yang memegang langit.

Payah.

Dan tentu susah.

Tapi kalau kita yakin ia benar, setidak-tidaknya kita akan rasa manisnya.

*senyum*

Tuesday, 6 September 2022

Menyubur Segar

Perjalanan ini panjang. Janganlah ditempuh sekadar tempuh, kerana penatnya bukan kepalang. Hentian sebelah, rehat dan rawat itu untuk kita melepas lelah dan menyubur segar bagi perjalanan semula.

Setiap orang punya cara yang berbeda. Keutamaan berbeza.

Asalkan kita tahu apa kita kejar, maka berkejaranlah mengikut cara kita.

Akhirnya nanti, tetap kita perlu menjawab, bagaimana kita berTuhan. Kan.

*senyum*

Sunday, 4 September 2022

Rincih Halus

Bukan semua tempat yang diserbu manusia itu untuk kita. Ada ketika, molek membiar surut dan kita menongkah arus berbeza.

Yang penting bukan apa yang orang terima, tapi setakat mana kita bahagia dengan cara kita. Masa yang ada bukan untuk dilalaikan, tapi dirincih halus untuk setiap satunya meresap baik-baik dek deria kita.

*senyum*

Saturday, 3 September 2022

Konsesus

Berbincang bukan mahu mencari pandai, tapi mencari yang mana paling berpada dan memulangkan yang paling bermakna.

Tentu saja makna itu berbeza pada setiap yang bertuju dan meneliti. Selagi mana ia balik pada matlamat wujud, sewajarnya mungkin ia paling baik untuk sebuah konsesus.

Biar berbeza rasa, tapi langkah kita pada akhir yang sama.

 *senyum*

Friday, 2 September 2022

Secangkir Espresso

Kopi itu pahit. Sepahit-pahitnya. Dan akan kekal pahit. Melainkan dicair air atau dimanis pemanis. Dan mencair memanis perlu usaha, perlu modalnya.

Begitu juga hidup.

Menatap atau meratap, sedikitpun tidak mengubah pahitnya bancuhan.

Berusahalah. Sebaiknya.

Selebihnya, bukan kerja kita.


*senyum* 

Sunday, 17 July 2022

Cukup Kilometer

Jentera ini, sampai masa, perlulah selenggara. Bukan tunggu rosak baru nak bertindak. Molek ambil waktu, ganti mana perlu, segarkan tiap satu, agar lancar nanti bila dipandu.

Sama juga macam hidup. 

Jangan menunggu rosak dan punah baru nak bersesak mencari hikmah. 

Susun diri untuk diteliti. Ikat yang mana longgar, tutup yang perlu berpagar. Buka untuk berfikir, sambil tegar mulut berzikir. 

Hidup bukan memenuh tegur manusia, tapi ambil ambil ia setakat mana tiada sia-sia. 

Sentiasa tahu, jalan mana mahu tuju. Kerana Tuhan sentiasa ada; baik masa kita sedar, atau masa kita tersandar. 

Jadi yang baik untuk diri, baik masyarakat menyusul nanti, dan moga tenang menjadi benang; mengikat hati ke bumi biar tadah kita tetap ke langit tinggi. 


*senyum*

Tuesday, 5 July 2022

Semana Mampu

Sahabat, sabarlah.

Tuhan bukan uji kamu seorang. Tuhan juga uji kami.

Masalah tentu ada, dan tentu saja menyesakkan dan merosakkan; andai kita biarkan ia sedemikian.

Istighfar, cari Tuhan.

Cari kebaikan semana mampu. 

Jadi kebaikan semana mampu.

Selebihnya kerja Tuhan.

Dan tidak kita hidup semata hidup yang menunggu mati. Hiduplah untuk menghidupkan dan memberi; semana mampu.

*senyum*

Monday, 4 July 2022

Kelompangan

Kalau dihumban buku-buku ke dalam raga, cepat benar raga penuh tapi tetap berongga. Masih banyak buku-buku di luar raga dan terbiar tidak dijaga. Mahu juga bersepah nanti. Mahu juga rosak nanti.

Barangkali, jika dihumban juga tugas dan tanggung yang kita perlu jawabkan di dalam bakul masa, pasti cepat benar bakul masa itu penuh tapi tetap juga kelompangan. Masih banyak tugas dan tanggungan di luar bakul masa dan tidak termuat dalam sempat. Mahu juga nanti kerunsingan. Mahu juga nanti hilang dalam pemusingan.

Maka, susun.

Ikut ruang. Ikut bentuk. Padan, dan ulang.


Mana ada jawapan betul semua, kan. 

Sunday, 3 July 2022

Bercakap Mudah

Seberapa banyak kita berdiri di belakang tirai, menonton, mengkritik dan mencadang baik untuk si pementas; kita tetap tidak selangkahpun lebih baik dari si pementas melainkan berdiri sendiri dan mementaskan pementasan itu sendiri.

Lampu layar, kanta fokus dan sorot kamera hanya sebahagian dari kegugupan yang bisa menjadi dugaan, selebihnya ekspetasi diri yang bisa membuat susah itu sedia payah sebelum bermula.

Yang terbaik?

Mula mementas. Dan baiki.

Percayalah. Tiada negara yang berjaya dengan hanya berkata-kata. Kalau tiada yang baik, kita jadilah baik yang pemula. 

Wednesday, 29 June 2022

Bergelimpangan

Telah banyak yang kita buang.
Membiar berdetik pada ketika masih terbongkang-bangking.
Sedangkan, Allah beri masa bukan untuk kita hitung, kerana belum tahu di mana ia akan berhujung.
Masih kita rasa akan punya masa selepas semua pembaziran itu? 

Oh. 

Belajarlah wahai hati, untuk mengisi waktu, kerana penilaian pada setiap itu adalah tentu.

Friday, 10 June 2022

Keluar Jendela

Ketika kamu keluar menyingkap jendela melihat dunia terbentang luas pandang, jangan lupa dunia juga bisa melihat kamu dari luar.

Maka pilihlah sisi mana kamu mahu dilihat, kerana kita punya banyak sisi dan masih banyak perlu untuk diisi sebelum menjengah ke pengetahuan orang.

Kita, apa yang kita pilih. 

*senyum*

Monday, 6 June 2022

Belum Turun

Ada hari, langit yang gelap gempita juga bisa surut dan cerah tanpa hujan. Sedang tadi segelap-gelapnya langit.

Mustahil?

Tidak.

Selagi tidak turun hujan, wujud kebarangkalian untuk hujan kekal tidak turun; biarpun turunnya hampir sangat pasti.

Kerana semuanya Allah yang susun, dan kita? Susun usaha kita.

*senyum*



Sunday, 5 June 2022

Bukan Sekadar Rasa

Kita mungkin kagum dengan pencapaian manusia, tapi jangan kekaguman itu menjadi kunci untuk kita gumam. Belajarlah untuk menerima, tapi bukan sebulat kata ditelan tanpa dikunyah dihadam. Kalau pahit, tanya. Kalau lemak, tanya. Baru kita belajar dan jadi lebih baik, bukan semata angguk dan kemudian tunduk.



Saturday, 4 June 2022

Jalan Panjang

Hujan lebat kemudian berhenti. Kadang banjir, kadang tidak. Serta banjir itu juga surut.

Panas terik juga akan berganti malam dan begitulah alam.

Tiada tinggi yang tidak pernah jatuh dan tentu saja tiada yang di bawah yang tidak boleh mendaki tinggi.

Semuanya tidak kekal dan tidak akan selamanya. 

Maka, janganlah kita berbangga atau berduka yang tidak bertepi. Berpada-pada untuk seketika, kemudian kembali ke petak mula.

Kita mula semua semula, kerana semalam tetap semalam. Kita hidup untuk hari ini dan insya Allah esok-esok nanti. 

*senyum*



Sunday, 29 May 2022

Menelah Uji

Benarlah kata seorang asatizah di corong IKIM FM. Sabar ini anugerah, Allah memilih siapa makluknya yang ingin diberikan anugerah ini. 

Allah beri ujian pada siapa yang mampu dan layak. Maka sebaiknya tidak menelah ujian orang, sebab kita belun tahu sekuat mana kita dalam ujian yang sama. 


Kan. 


 

Saturday, 28 May 2022

Kita Pilih

Kalaupun ditakdirkan kita bukan insan yang terpilih mahupun terbaik, pilihlah untuk menjadi manusia yang punya rasa dan ada bila perlu.

Kita mungkin bukan tiang seri yang segak dipuji, tapi memadailah memilih menjadi kunci-kunci yang mengikat pasak tiang agar tidak jatuh.

Friday, 27 May 2022

Membaris Hidup

Pembaris bukan semua perlu keras lurus dan mati. Ada pembaris melengkung. Ada pembaris yang memang lembut dibentuk. Namun sifat semuanya masih membaris dan mengukur dengan benar; dalam fungsi yang berbeza.

Maka jadilah pembaris yang membaris, tetapi kekal hidup dengan situasi.


*senyum*

Thursday, 26 May 2022

Jadi Tanda

Kita bukan perlu mengajar bagaimana untuk manusia itu menghadap hal hati dan rasa.

Sebaiknya, beri saja petanda, kita sentiasa ada jika perlu apa-apa. 

Percayalah. 

Manusia tentu perlu masa. Tapi, manusia juga perlu bahu untuk berpaut dan lembayung untuk menumpang teduh, biar seketika.

Kan.

Wednesday, 25 May 2022

Runtuh

Maaf tidak akan mengubah apa-apa yang telah runtuh. Namun setidaknya, ia mampu membantu agar tiada lagi runtuhan pada jambatan yang berbaki, atau setidaknya kita sudah mampu untuk bergerak melintasi runtuhan itu.

Kan. 

Tuesday, 24 May 2022

Yang Mahal

Kadang-kadang, tenunan dan bahannya memang setara, malah seia sepadan. Namun harganya jauh berbeza. Benarlah mungkin, yang mahal hanya jenamanya.

Begitu juga manusia barangkali. Kita mungkin sebaris setara, tapi mungkin tidak 'mahal' di mata. Ada jenama yang dinilai manusia lain. 

Boleh jadi jenama ayah ibu. Boleh jadi jenama tempat kita menimba ilmu. Boleh jadi jenama si tuan guru. Boleh jadi juga jenama persona yang kita ada.

Apa juga jenama yang kita tumpang, pastikan kita punya isi dan tidak berlompang. Kerana akhirnya, yang berguna hanya yang lasak dilanyak dan sedap berkhidmat, bukan yang dipamer disimpan hanya untuk pentaksub baru membeli mahal. 


Monday, 23 May 2022

Mengutip Kisah

Pada setiap kisah yang kita tembung dalam hidup, ada ibrah yang boleh kita kutip.

Ambillah sebanyak mana yang kita mampu untuk baiki diri, kerana ia sebaik-baik pengajaran; kerana mustahil kita mampu belajar membaiki diri dari kematian kita sendiri, kan.

*senyum*


Sunday, 22 May 2022

Gelas Di Tangan

Ada orang yang hadir untuk menunggu waktu berlalu, sedangkan mengisi waktu itu lebih perlu dan padu. Gelas kosong ada di tangan, kita yang pilih apa isinya, kan. 

Thursday, 19 May 2022

Rasalah

Hidup ini berwarna bila kita mampu mengenal rasa dan hanya yang memiliki jiwa mampu mengenalnya. Jadilah manusia, untuk punya manis dan pahit pada lidah.

Wednesday, 18 May 2022

Memimpin Manusia

Biarpun menjadi pemimpin, kita masih manusia yang bisa salah, bisa silap dan bisa jatuh tergelincir dari jalan-jalan yang terang. Malah lebih malang kalau kita lupa bertapa manusianya kita; jatuhnya bisa lebih sakit menyakitkan. 

Maka jadilah seperti manusia. Belajar, berunding, bertindak, menilai dan menambah baik.

Kita tentu saja bukan paling istimewa, tapi tanggungjawab di bahu menuntut tempat yang istimewa dalam pertimbangan kita.

Biarpun manusia, kita masih mampu jadi sebaik-baik manusia dari semata wujud, kan. 

Tuesday, 17 May 2022

Simpan Sedikit

Keterujaan itu, simpan sikit

Ya benar, hidup banyak keterujaan yang didamba hati melambung memenuh rasa; tapi benar-benarlah memilih keterujaan mana mahu diutama.

Berfikirlah sejenak dengan ilmu. 

Jangan kedepankan kurang bijaknya kita, kerana masih banyak yang kita sorok boleh dijumpa orang, inikan yang kita bongkar.

Kan.

Monday, 16 May 2022

Membina Tugu

Telefon ini bisa jadi jam ke-25 untuk kita lunaskan segala macam rancang dan atur; atau jika gagal, ia bisa menjadi anai-anai yang mengurai 24 jam kita menjadi surut.

Hal hidup bukan kisah untuk perkakasan, tapi bagaimana kita memangkas waktu menjadi tugu kita di sana.  

Saturday, 14 May 2022

Negative LCD Display

Ketika mana yang di atas dan di bawah nampak rosak, yang kiri dan kanan nampak rosak, baik kita semak cara kita pandang.

Kadang-kadang, kita membalik filem gambar sampai semua warna nampak 'terbalik' (invertered) dan kita saja yang nampak benar bercahaya, sedangkan tiada siapa yang berubah mahupun merubah; kecuali mekanisma kita memandang. 

Kan. 

Friday, 13 May 2022

Yang Nampak

Tidaklah salah untuk celana hitam yang tertetas jahitannya kita jahit dengan bebenang putih, merah jambu atau apa segala warna bukan hitam. Yang carik kembali terjalin, dan celana bisa sedia diulang guna.

Cumanya, lumrah pada setiap kelainan, menarik perhatian dan membuah bual.

Maka, yang kita perlu tahu, biarpun berbeza, selagi betul itu betul, betullah jadinya; tapi mungkin ada cara lebih hikmah membuat hal yang betul tadi.

Dan yang kita juga perlu tahu, biarpun berbeza, kalau ianya salah tetap akan salah, biarpun ia paling terang menonjol.

 *senyum*

Thursday, 12 May 2022

Gelanggang Lelong

Leka melihat sesi niaga lelong. Sakan berbicara dan menutur lancar segala. Semua barang jualan paling murah dan paling gah. Yang cepat dan tangkas saja beruntungan, sedang yang lewat membeli akan ketinggalan.

Tapi, sisi kita mana yang membeli sebenarnya?

Sisi rasional yang teliti dan tekun mengira keluar masuk wang yang ada, atau semata sisi emosional yang teruja dan terpesona pada lagak dan gaya.

*senyum*

Kalau sengaja ke gelanggang lelong, pasti satu hari jerat akan mengena juga. Berjauhlah selagi sedar.

Wahai diri, persona lelong pun kita bisa tumbang membeli apatah lagi duga uji yang lebih meninggi. Berjauhlah selagi sedar, dan berpautlah pada yang benar tegar.

Kan. 

Wednesday, 11 May 2022

Jom main!

Anak, fitrahnya meneroka. Mencari jawapan pada soalan yang berlegar. Menyelongkar sebarang kebarangkalian agar minda yang tertanya jumpa jawapan yang menokhtahkan. Maka tentu saja, mengarah dan meletak marah tidak membantu menjawab apa-apa. Tidak juga membina bata percaya, malah mungkin menghakis rasa kebergantungan yang mana ada.

Isilah pada mereka dengan jawapan. Kalau jawapan tidak ada dengan kita, bukakan lampu-lampu agar mereka nampak mana la ruang teroka yang belum di jelajah.

Bolehkan.

*senyum*

Tuesday, 10 May 2022

Pintu

Ayat pertama yang turun bacalah.

Barangkali, ia manifestasi bahawa 'membaca' itu pintu segala jenis ilmu dan penyelesaian.

Biarpun ada insan mula membaca dengan niat keburukan, niat mencari 'bilah pisau' untuk melibas dalam perdebatan, tapi nanti akhirnya ia akan jadi wasilah mereka berjumpa dengan kebenaran atas izin Allah.

Apatah lagi, kalau kita benar membaca dengan mencari lampu penyuluh kehidupan.

Kan.  

Monday, 9 May 2022

Yang Terbaik

Yang terbaik, bukan semata menutup aib, tetapi beranjak lak biar seperlahan mana pun untuk meninggalkan apa yang bisa menjadi keaiban kita.

Biarpun tidak sempurna, biarlah tidak terhina. Berusahalah, biarpun payah.

Kan. 

Sunday, 8 May 2022

Syiling

Nampak dan percaya adalah dua sisi pada satu syiling. 

Kita boleh memilih satu sisi sahaja untuk satu masa; sehingga sampai masa kita yakin, seluruh syiling itu sudah milik kita!  

Saturday, 7 May 2022

Selangkah Dulu

Berpagi-pagi menikmati hijau bumi sedikit sebanyak membuat pandang. Bukan semata apa yang di mata, tapi yang terasa di sepelusuk anggota nafas dan sendi-sendi tubuh yang beraksi merubah pandang pada menghadap pagi.

Berubah pasti payah, dan lagi payah jika tidak pernah bermula. 

Jika Maha Esa izinkan kita terdetik untuk menjadi lebih baik, pegang sahaja rasa itu dan panas bakarkan menjadi unggun dari semata percik kecil. 

Mulalah. Biarpun selangkah dulu. 

Friday, 6 May 2022

Dinding-dinding Alang

Jangan kita semata mengemas kertas dinding dan menganti chandelier mewah di alang ruang sedang kita biar dinding-dinding dan alang merekah menanti rebah.

Benar belum ramai yang nampak rekah dan kosong pada lohong-lohong dinding/alang itu kerana jika ramai, pasti ianya sudah terlalu lewat untuk suatu pembetulan (kerana ia sudah rebah). 

Thursday, 5 May 2022

Petunjuk

Yang kita pohon, petunjuk.
Petunjuk pada simpang yang timbang beratnya kita gagal memutus. Juga petunjuk, pada yakin kita kepada Dia; Yang Maha Mengetahui.

Maka ya Tuhan, jauhkan sombong kami pada ketika kami meminta dan jauhkan kami dari menyempitkan kuasaMu dengan tanggapan kami semata. 

Perkenankanlah Ya Rabbi. 

Wednesday, 4 May 2022

Bukan Tunggu Baik

Berkongsi dengan hikmah, tidak pernah akan rugi. Barangkali, ada pintu-pintu kebaikan yang Allah mahu buka atas asbab kita; sedangkan kita sendiri belum tentu baik sepenuhnya.

Maka, selepas selesai satu kebaikan, bertebaranlah di muka bumi dan buat kebaikan lagi; kerana kita belum tahu mana satu yang benar-benar pintu untuk kita. 

Tuesday, 3 May 2022

Ulang

Kita akan datang berulang jika satu tempat itu buat kita selesa dan diterima. Baik ianya bengkel kereta, kaunter bank mahupun kedai makan. Murah/mahal boleh cari, sedap boleh cari, tapi budi dan senang hati paling mahal. 

*senyum*

Payah?
Mula dulu.
Mula menyelesakan. 
Mula terbuka menerima. 

Kan.

Monday, 2 May 2022

Tempat Kita

Allah dah susun, maka percayalah dengan iman.

Ujian hadir dalam cara yang pelbagai, tapi hasratnya hanya untuk tempatkan kita pada tempat yang lebih baik.

Kan.

Maka berlapang dada dan mudahkanlah buat orang lain. Insya Allah, mudahnya sampai untuk kita. 

*senyum*


Semoga Semua Diberkati Maha Esa

Raya tak datang awal, cuma mungkin kita yang menjangkannya lewat.

*senyum*

Sahabat, mati kita juga begitu. Tiba-tiba. Kan.

Benarlah, Allahlah Maha Perancang yang lagi Maha Mengetahui. Semoga Allah pelihara semua yang bertebaran di muka bumi dan berikan kesabaran buat hati-hati yang terusik dengan ujian ini. 

Sunday, 1 May 2022

Beza

Perbezaan di antara apa yang kita faham dengan apa yang lain faham (kerapnya) hanyalah komunikasi.

Jika bezanya jauh dan besar, betulkan dahulu komunikasi kita.

Jika bezanya masih kecil atau baru merekah, yang perlu dibetulkan juga adalah komunikasi.

Ya, mungkin bukan semua, tapi setidaknya sebahagian dari nya.

*senyum*

Saturday, 30 April 2022

Sebalang Buah Potong

Naskah ini bukan menghurai rasa masam-masam buah pelam muda yang segar dipotong panjang bergaul asam boi dan rencah gaul yang membuat kita kecur liur. Terasa-rasa nikmat masamnya yang subahanallah sedap seperti selalu.

Tapi.

Ia naskah yang kisahkan sebalangan jeruk buah ini punya banyak realiti lebih dari semata pilih, bersih, hiris dan gaul.

Ia cerita payah orang berpanas hujan di lampu isyarat tepi jalan, bertebal muka mengantung papan iklan di dada.

Ia kisah dinding tuntutan hidup yang menyempit lagi ruang nafas yang sedia sempit.

Dan ia dibalangkan kemas diletak hias atas meja untuk kita.

Pilih.

Ya, pilih cara kita mencicipnya, dan rasalah buah jeruk asam boi kita sendiri; bukan semata mendengar segala rencam rasa dari orang hingga kecur liur dan kemudian puas tanpa benar menikmati kunyahannya.

Kunyahlah. Dengan hati. Kita belum tamat.