Jurutrengkas

My photo
Menulis untuk memudahkan ingatan, biarpun tahu susah itu barulah 'hidup'.

Saturday 24 September 2011

^ Hantaran


Rendah tinggi iman bukan disukat dengan redup pandang pada hantaran yang disusun kemas berhias, serta naskah Al-Quran yang berhias cermat - tetapi pada 'kemas' mana jiwa yang menghantar sekalian dulang hantaran itu.

Apakah setinggi duduk simpuh sahajakan darjat tinggi kitab suci itu di mata kita? Atau, nilainya hanya serendah susunnya dulang-dulang lain, yang manalah tahu, bisa dilangkah dilanggar dek insan-insan naif yang balighnya belum sampai (mahupun yang dewasa usia juga barangkali, tanpa sedar).

Andai yang merendahkan yang tinggi itu kita, siapalah agaknya yang diharap nanti tinggikan kita yang sedia 'rendah' duduk ini nanti?

Friday 23 September 2011

^ Janji

 Berselilih sentuh pada jemari sang pasangan tanpa ikatan yang menghalalkan, dan berjanji sehidup semati - sedang permulaan hidup dulu berjanji dia pada Allah untuk patuh pada aturan.

Pastilah tak ganjil apabila asas janji itu adalah dengan satu pemungkiran janji, dan putus akhirnya juga adalah kecundangnya segunung janji-janji.


Apalah sangat nak disedihkan, kalau kita sendiri tahu- bilamana kita sendiri gagal menghargai diri (dan mana tahu, dengan Allah juga kita tidak cukup menghargai-Nya) pasti saja nanti, kita akan GAGAL dihargai orang.

Wednesday 21 September 2011

^ Patuh


Kewajipan bertalipinggang keledar itu hanyalah pada tika kamu beratur menuju roadblock, atau mana-mana saja diketika-ketika lain yang 'tok' polis dan 'abang' JPJ hadir. Selain dari itu, talipinggang keledar yang di kereta itu biarlah tak digunakan.

Itulah yang kita percaya. Pemandu 'patrol car' pun percaya perkara yang sama (rasanya).

Hampir semua kita percaya yang patuh itu hanya perlu bertempat, dan bukan menyeluruh.

Mungkin sebab itu, bertudung litup hanya perlu ketika solat dan di surau, atau bagi sesetengah di sekolah dan di pejabat. Kerana dipercayai, Tuhan tidak ada di sesak-sesak pasar malam dan pasar ramadhan, tak ada di majlis rumah terbuka syawal, mahupun di facebook.

Barangkali lah.
Atau setidakpun, itu yang 'kelihatan' seperti kita percaya.

Tuhan lah.
Kalau Allah, pasti ada saja di mana-mana.

Tuesday 20 September 2011

^ Gelap


Kegelapan itu hanya hadir bilamana tiadanya 'cahaya', dan bukannya dek wujud datangnya satu jisim yang bisa kita gelarkan kegelapan itu sendiri.

Seperti juga hidup.

Hidup juga bisa gelap kerana tiadanya cahaya yang sebenarnya berdefinasi cahaya, dan tentu saja bukan dek wujudnya zarah-zarah 'gelap' menyeliputi hidup ini.